Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hormatlah peniaga pasar malam, solat tak perlu dipaksa

April 21, 2017

Orang politik yang cuba tunjuk alim sebelum pilihan raya sebenarnya adalah pemimpin yang tidak berguna.

KOMEN

Zaid-Ibrahim_pasar-alam_tutup_600

Oleh Zaid Ibrahim

Bila keluar berita yang saya akan menyaman kerajaan negeri Kelantan kerana mengeluarkan arahan supaya peniaga pasar malam berhenti berniaga dan menutup kedai untuk solat Maghrib, ramai kawan bertanya, apa sudah jadi dengan Zaid Ibrahim?

Mengapa pula beliau mahu peniaga pasar malam tidak melakukan solat Maghrib?

Berikutan timbul kekecohan dan kekeliruan, maka saya perlu memberi sedikit penjelasan mengenainya.

Soalan yang saya timbulkan ialah mengapa peraturan sedemikian hanya dikenakan kepada peniaga pasar malam sahaja? Mengapa tidak peniaga di Tesco dan kedai-kedai besar di Kota Bharu dikuatkuasakan peraturan yang sama?

Mengapa tidak disabitkan juga sebagai suatu kesalahan kepada mereka yang membawa bas ekspres, teksi dan kereta sewa? Mengapa pesawat tak perlu berhenti waktu Maghrib? Mengapa kedai-kedai di lapangan terbang bebas dibuka waktu itu?

Bukankah mereka semua pun berniaga juga? Selain itu, saya turut ingin tahu, mengapa waktu Maghrib sahaja, mengapa tidak Zohor dan Asar?

Sunnah dan hadis mana yang digunakan pemimpin PAS Kelantan? Saya percaya Rasulullah sendiri pun tidak membuat arahan sedemikian. Bila cukai pintu, cukai bakul dan cukai tanah dikenakan, apakah kerajaan negeri boleh memberi “rebate” kepada peniaga ini kerana terpaksa tutup kedai mereka? Mereka yang membuat dasar ini tidak faham betapa sukarnya peniaga pasar malam mencari rezeki.

Semata-mata kerana mereka membuka kedai pada waktu Maghrib tidak bererti mereka tidak sembahyang. Lagipun, bukankah peniaga-peniaga pasar malam boleh melakukan sembahyang secara bergilir supaya tidak menimbulkan kesusahan kepada pelanggan yang tidak boleh sembahyang atau pembeli bukan Islam? Kalau mereka tidak menunaikan sembahyang Maghrib pun biarlah mereka yang tanggung dosa itu. Apakah Exco Kelantan, Abdul Fattah Mahmood dan Mustapa Mohamed tak ada dosa?

Malulah sikit kepada orang beragama lain. Nampaknya orang Islam Kelantan kena dipaksa untuk sembahyang. Itu pun belum tentu mereka akan sembahyang. Tidak bolehkah kita menghormati mereka yang seagama dengan kita dan beri kepercayaan mereka tahu tanggungjawab sendiri terhadap agama dan akhirat, tanpa perlu menggunakan undang-undang untuk mereka laksanakan tanggungjawab itu?

Inikah yang PAS dan Umno mahu tunjuk kapada masyarakat umum, bahawa orang Melayu mesti dipaksa dan dikuatkuasakan undang-undang untuk melakukan tanggungjawab agama mereka sendiri? Ada kita dengar orang agama lain diarah dan dipaksa oleh undang-undaang tentang cara mereka berpakaian dan cara nak berniaga di pasar malam?

Mustapa Mohamed dan PAS Kelantan kata rakyat negeri itu sendiri mahu peraturan tersebut dilaksanakan. Mungkin, tetapi rakyat Kelantan juga mahu menteri dan exco, isteri serta adik-beradik turut mengisytihar harta mereka. Apa macam, berani?

Bolehkah pemimpin Kelantan yang tidak ada dosa itu membuat pengakuan mengenai kekayaan dan pemilikan harta mereka serta mendedahkannya dengan telus kepada umum? Rakyat Kelantan juga mahu janji pilihan raya yang lepas dilaksanakan, maka bolehkah kita tanya rakyat Kelantan apa selera sebenar mereka pada pilihan raya kali ini?

Orang nak berniaga pasar malam usahlah kita ganggu. Mereka hanya ada 3 jam, antara 6 petang hingga 9 malam untuk mencari rezeki. Banyak lagi kerja kebajikan yang Fattah Mahmood dan Mustapa Mohamed boleh fikir dan lakukan untuk kebaikan mereka.

Soal dosa dan pahala ini biarlah kita serah kepada malaikat saja untuk kira dan simpan rekod mereka. Orang politik yang cuba tunjuk alim sebelum pilihan raya ini sebenarnya adalah pemimpin yang tak berguna. Usahalah bersungguh-sungguh supaya orang kita boleh mencari rezeki dengan halal.

Hormatlah sikit orang biasa seperti peniaga pasar malam. Peraturan sembahyang kepada mereka itu seharusnya hanya berupa galakan, bukannya paksaan. Jangan susahkan mereka.

Datuk Zaid Ibrahim merupakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Henti niaga waktu Maghrib: Tanya peniaga Kelantan dahulu, kata Zaid


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments