Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kesalahan bunuh diri perlu dibuang dari Kanun Keseksaan

April 21, 2017

Sebarang percubaan membunuh diri perlu dilihat sebagai isyarat meminta pertolongan.

KOMEN

bunuh-diriOleh Muzaffar Syah Mallow

Sudah sampai masanya pihak kerajaan mempertimbangkan dengan serius saranan ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan serta pakar yang berkaitan, untuk memansuhkan kesalahan berkaitan dengan bunuh diri yang tertera di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Ini kerana ia dilihat tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa yang terlibat.

Bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah berkenaan, malah akan memburukkan lagi keadaan mangsa kerana mereka tidak memperolehi bantuan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka.

Di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574), cubaan membunuh diri boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah.

Seksyen tersebut sudah lama wujud dalam Kanun Keseksaan (Akta 574) negara kita. Ianya dwujudkan sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada pada mana-mana pihak tidak mengambil langkah membunuh diri.

Ada pihak mengatakan seksyen berkenaan membantu menghalang percubaan bunuh diri, tetapi kebanyakannya termasuk pakar perubatan percaya kewujudan undang-undang itu hanya akan menghukum mereka yang memerlukan rawatan dan pertolongan yang sewajarnya.

Oleh kerana terdapat hukuman penjara yang bakal dihadapi oleh mereka yang tidak berjaya membunuh diri, mereka yang ingin membunuh diri akan mengambil langkah yang lebih drastik lagi bagi memastikan usaha membunuh diri mereka berjaya dilakukan.

Ini menunjukkan kepada kita kewujudan undang-undang berkaitan dengan bunuh diri dalam negara kita tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi mengatasi isu berkenaan.

Mangsa yang terlibat memerlukan bantuan dari pakar professional seperti pakar perubatan, psikologi, kaunselor, bijak pandai agama dan lain-lain bagi membantu mereka hadapi masalah yang menjerumuskan diri mereka untuk membunuh diri, bukannya dihukum.

Malaysia adalah antara negara yang masih mengkategorikan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah. Adalah penting untuk kita ketahui juga bahawa untuk menahan dan mengambil tindakan terhadap orang yang cuba membunuh diri adalah perbuatan menafikan hak mereka menerima rawatan yang sesuai dan yang sepatutnya.

Golongan ini seharusnya dianggap pesakit, bukan penjenayah.

Sebarang usaha atau percubaan untuk membunuh diri boleh dilihat sebagai satu isyarat oleh pihak pelaku untuk meminta pertolongan kita, bukannya meminta untuk dihukum dan ditambahkan lagi bebanan yang mereka lalui.

Dr Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments