Faktor emosi punca Trump menang, Ahok kalah
Rakyat Malaysia sememangnya beremosi dan semua parti politik di negara ini mengambil risiko amat tinggi pada PRU14 jika memilih untuk memandang rendah faktor emosi.
Seorang pemuda yang kesempitan wang membeli sebuah telefon bimbit yang baru kerana suka.
Seorang yang alim meninggikan suara terhadap seorang yang jahil kerana tidak berpakaian tertib ketika hadir di masjid.
Bagaimanakah rakyat Malaysia akan memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14?
Profesor Dr Redzuan Othman daripada Institut Darul Ehsan (IDE) berkata, isu keperluan harian mereka termasuk kenaikan kos sara hidup dan juga Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan menjadi faktor penentu berbanding isu antara kaum dan agama.
Namun, kemenangan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat dan kekalahan Basuki Tjahaja Purnama yang lebih dikenali sebagai Ahok sebagai gabenor Jakarta mengajar kita emosi adalah faktor utama.
Faktor emosi tidak terhad kerana faktor kaum dan agama sahaja, ia meliputi semua perkara yang boleh menjana emosi. Dan emosi yang dimaksudkan di sini bukan sahaja emosi marah, ia juga meliputi perasaan kesian, terhutang budi dan perasaan lega kerana ada orang yang berani sebut apa yang tidak berani disebut olehnya.
Trump memenangi presiden Amerika meskipun dilanyak kiri kanan hampir semua media dan diramalkan tewas oleh semua penganalisis politik. Hillary Clinton, seorang wanita, cuba mengambil kesempatan terhadap kekalahan Trump di debat presiden dan sikap dan percakapan melampau Trump terhadap wanita, taktik ini berjaya, akan tetapi tidak dapat mengatasi faktor emosi rakyat Amerika Syarikat.
Silap jika kita menganggap Hillary tewas kerana faktor agama, sikapnya yang pro pendatang dan faktor ekonomi. Hillary tewas kerana faktor emosi yang berjaya dicungkil Trump di dalam siri ceramahnya mengenai “wajah Amerika sebenar” yang diingini rakyat Amerika.
Bagaimana pula dengan Ahok? Tidak semua yang menolak Ahok, menolaknya atas faktor agama. Ahok juga pernah dikritik daripada pelbagai sudut pentadbiran, tetapi tiada siapa yang boleh menafikan faktor agama mempunyai peranannya.
Selain faktor emosi umat Islam sebagai majoriti di Indonesia, Ahok juga dilihat sebagai calon yang didokong media antarabangsa sering menggunakan perkataan konservatif, keras dan puak kanan ketika memberikan deskripsi kepada pencabar Ahok, iaitu Anies Baswedan.
Faktor emosi penentu kemenangan
Mahu ataupun tidak, faktor emosi menjadi sebahagian daripada faktor yang menentukan kemenangan melalui demokrasi.
Berbalik kepada Malaysia, kita boleh melihat faktor emosi jauh lebih dominan berbanding faktor lain.
Melihat nasib yang menimpa Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin kerana puisi kontroversinya untuk mempertahankan Dr Zakir Naik, kita boleh melihat bagaimana usaha-usaha Asri membantu mempertikai RUU 355 terus dilupakan pengkritiknya.
Jika Asri mengumumkan diri sebagai calon PRU14, percayalah ramai orang yang tersinggung hari ini akan mengisytiharkan mereka tidak akan mengundi Asri, yang selama ini menjadi idola mereka dalam melawan pihak yang memperjuangkan ciri agama Islam tidak disukai mereka.
Melihat Asri terpaksa menggunakan ayat: “Ulasan-ulasan mereka dalam dunia maya tentang Islam amat membangkitkan sensitiviti orang Islam. Ditambah dengan kelompok yang mengaku Islam tapi..” di dalam kenyataan terbarunya, sukar disangkal Asri kini merasai apa dilalui mereka yang memperjuangkan RUU 355.
Contoh ini sahaja sudah cukup untuk memberi amaran kepada semua parti politik di Malaysia, rakyat Malaysia sememangnya beremosi dan mereka akan mengambil risiko amat tinggi jika mereka memilih untuk memandang rendah faktor emosi seperti yang disaran penganalisis politik yang tidak mampu membuat ramalan Trump akan menang.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.
Puisi saya kecam PM India bukan komuniti Hindu Malaysia, kata Asri
Asri bidas penyembah ‘lembu’ yang halang ‘pendakwah kita’
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram