Logik Islam, logik Hindu dan keharmonian agama
Kontroversi ‘puisi pagi Jumaat’ oleh mufti Perlis menimbulkan persoalan bagaimana keharmonian agama boleh dicapai.
Minggu lepas, satu Malaysia terkejut. Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menukilkan puisi di laman Facebooknya, dilihat penghinaan terhadap agama Hindu.
Dia menyebut tentang golongan yang mempertuhankan lembu, amalan kuno Sati yang sudah diharamkan, dan sistem kasta yang juga banyak direformasi.
Respon terhadapnya amatlah lantang. Asri dikritik kerana tidak sensitif kepada rakyat Malaysia beragama Hindu. Beliau kemudian cuba memberi alasan yang puisinya itu merujuk Perdana Menteri India, Narenda Modi tetapi kebanyakan orang menolak alasan itu.
Akhirnya, Asri terpaksa ‘delete’ postingnya.
Saya terharu bila membaca komen daripada golongan Melayu Islam sendiri yang mempertahankan penganut Hindu. Masih ada lagi harapan untuk Malaysia.
Tetapi sekarang, kita perlu bertanya, bagaimana kita boleh menjana dan mengekalkan keharmonian dalam masyarakat?
Ada banyak anasir politik yang bertujuan untuk memecah-belahkan masyarakat kita hanya kerana kepentingan politik mereka. Dengan komen yang tidak sensitif atau sememangnya menghina, mereka boleh mengapi-apikan rakyat dengan mudah.
Ini sepatutnya tidak berlaku. Jika masyarakat kita matang, provokasi tahap mana pun tidak boleh mengganggu kedamaian dalaman (inner peace) kita. Malangnya, masyarakat Malaysia belum lagi sampai tahap itu.
Untuk menjana keharmonian antara agama, yang paling penting perlu kita lakukan ialah menguatkan kesedaran tentang kemanusiaan kita. Kesedaran inilah yang berpotensi menyatukan semua orang iaitu hakikat kemanusiaan mereka.
Semua orang ada keperluan seperti makan, pakaian dan tempat tinggal. Adakah keperluan ini dipenuhi? Jika tidak, maka perasaan mereka tidak akan tenteram. Mereka akan terpaksa berhempas pulas mencari sesuap nasi dan tempat berteduh.
Semua orang tidak kira bangsa dan agama mempunyai keperluan ini tetapi disebabkan bangsa dan agama, sesetengah golongan mendapat kelebihan. Ini boleh mendatangkan perasaan kurang puas hati, terutama kerana semua orang mempunyai keperluan yang sama.
Langkah kedua yang patut kita ambil ialah untuk berlaku adil dalam menilai semua agama. Dalam suasana di Malaysia, Islam diberi kedudukan sebagai agama persekutuan dan juga agama yang dianuti hampir 70% rakyat. Kerana faktor ini, Islam banyak ditunggangi dan dipolitikkan.
Banyak agamawan yang mempunyai kepentingan dalam bidang Islam maka, seperti juga pasaran lain, mereka perlu mengekalkan daya saing mereka.
Lalu mereka akan menghentam agama lain sebagai “kufr” dan memfokus hanya kepada kebenaran Islam. Ini mewujudkan perasaan bermegah diri di kalangan umat Islam dan kita boleh lihat di media sosial, bagaimana retorik umat Islam kepada “orang kafir”.
Bagaimana kita boleh membawa keadilan dalam penilaian agama?
Pertama, kita perlu memahami yang semua agama adalah interpretasi manusia. Walaupun kita sebagai orang agama mempercayai yang agama itu berasal daripada wahyu, tetapi manusia yang berinteraksi dengan wahyu tersebut akan membawa hukum-hakam yang terdiri daripada interpretasinya.
Budaya India, budaya Arab
Contohnya, dalam Islam, Al-Quran adalah wahyu tetapi hukum-hukum syariah adalah hasil daripada interpretasi manusia ke atas teks itu yang turut bersandarkan hadis. Maka ini proses daripada manusia, bukan Tuhan.
Jika kita memahami hakikat ini, kita dapat memahami yang semua interpretasi juga tertakluk kepada budaya.
Contohnya, budaya Hindu India lebih kepada ekspresi visual, maka mereka menyampaikan sifat Tuhan dengan gambaran atau patung. Adakah gambaran ini benar-benar Atman, iaitu Tuhan yang dikatakan “jiwa” alam semesta? Tidak! Orang Hindu yang saya tanya kesemuanya mengaku yang ini adalah representasi mereka tentang sifat dan realiti Tuhan. Itulah hasil budaya Hindu India.
Budaya Arab Islam yang begitu menyanjung bahasa pula mempunyai Al-Quran, dan ini mencetuskan tradisi ilmu dan bahasa yang amat tinggi. Inilah hasil interpretasi dan budaya.
Begitu juga dengan amalan dalam agama. Kalau dalam agama Hindu ada tradisi menyanjung (dan bukan mempertuhankan) lembu, maka dalam agama Islam pun ada amalan yang pada zahirnya nampak sebagai mempertuhankan, tetapi menurut umat Islam, hanya menunjukkan hormat.
Misalnya dalam sembahyang, orang Islam disuruh bersujud dalam arah kiblat iatu Kaabah di Mekah. Kepada orang luar, amalan ini nampak sebagai orang Islam memuja Kaabah tetapi menurut orang Islam, mereka bersujud kepada Kaabah sebagai titik fokus dan bukan sebagai objek.
Kita punyai logik kita, kita juga patut akur yang golongan lain juga mempunyai logik mereka. Jangan kita hanya menyanjung logik sendiri sahaja.
Sebenarnya, keharmonian antara agama bukanlah sasaran yang tidak boleh dicapai. Ia sangat dekat kalau kita mempunyai sikap yang sesuai.
Dalam kes mufti Perlis, walaupun dia mengaku kesilapannya, namun permohonan maafnya menurutnya adalah kerana golongan Hindu “salah faham” sasaran puisinya dan juga pemahaman istilah “mempertuhankan”.
Permohonan maaf begini sebenarnya tidak lebih daripada membuat alasan sahaja. Asri sudah silap, mengaku sahaja dan mintalah maaf dengan baik.
Kita bukannya maksum. Kita perlu sedar yang apa sahaja hak yang kita tuntut, orang lain pun mempunyai tuntutan yang sama. Jika kita berat sebelah, maka tidak dapatlah kita menikmati keharmonian agama.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.