PLUS wajib beri kad TnG percuma, subsidi SmartTag
Yang menggeramkan ialah pengguna lebuhraya yang “melabur” untuk menggunakan sistem TnG dan SmartTag masih berdepan pelbagai masalah kesesakan.
Oleh Timmy Say
Lorong tunai sering menjadi punca kesesakan di plaza tol seluruh negara tetapi semua itu sudah menjadi sejarah.
Tahniah perlu diucapkan kepada PLUS Malaysia Berhad yang akhirnya berjaya melaksanakan sistem transaksi tol tanpa tunai (100% elektronik) di semua plaza tol PLUS mulai 26 April 2017.
Menurut Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail, sistem tol tanpa tunai ini adalah 300% lebih cepat berbanding tol tunai.
Katanya, laluan tunai hanya mampu mengendalikan 180 kenderaan sejam, manakala laluan “Touch n Go” (TnG) dan “SmartTag” pula dapat memproses 600 dan 1000 kenderaan sejam.
Namun begitu, penggunaan TnG dan SmartTag matlamatnya bukan untuk memudahkan pengguna lebuhraya. Realitinya, pengguna lebuhraya “melabur” untuk menggunakan sistem ini untuk mengatasi kelemahan PLUS yang tidak mampu menguruskan kesesakan lalulintas akibat tol tunai setelah sekian lama.
Sebenarnya, penggunaan TnG membebankan pengguna lebuhraya. Pengguna lebuhraya terpaksa membayar dahulu, dan biasanya jumlah diisi lebih daripada apa yang perlu dibelanjakan.
Ini bermakna pengguna lebuhraya “melaburkan” tunai hadapan (future money) sebelum pengguna dapat menggunakannya. Ini berbeza dengan transaksi tunai di mana pengguna lebuhraya hanya membayar apabila perlu.
Apa yang lebih menggeramkan ialah pengguna lebuhraya yang “melabur” untuk menggunakan sistem TnG dan SmartTag masih berdepan pelbagai masalah kesesakan yang berpunca daripada sistem ini.
Antaranya, kegagalan sistem SmartTag untuk membaca kad TnG menyebabkan pemandu terpaksa mengulang cuba dengan pelbagai cara agar kadnya dibaca.
Jika kad masih gagal dibaca, dan bantuan pula lambat datang atau tidak datang sama sekali, laluan SmartTag menjadi lebih lembap daripada laluan transaksi TnG walaupun pelaburan menggunakan laluan SmartTag 13 kali ganda berbanding laluan TnG.
Bahkan, sering terjadi pemandu di belakang perlu mengundurkan kenderaan mereka dan beralih ke lorong lain supaya pemandu yang tersekat di laluan SmartTag boleh menukar lorong.
Pengguna laluan TnG pula sering berdepan dengan masalah pemandu tidak dapat melepasi halangan tol kerana baki di kad TnG tidak mencukupi. Jika kakitangan tol lambat memberikan bantuan, pengguna lain pula akan teraniaya. Mereka pula akan terasa tol tunai yang sepatutnya lebih lambat menjadi jauh lebih cepat daripada pemilik kad TnG bernilai RM10.60.
Walaupun dengan perlaksanaan sistem tol tanpa tunai, PLUS perlu beringat kesesakan lebuhraya PLUS akan tetap berpunca daripada laluan transaksi tunai, iaitu laluan tambah nilai untuk kad TnG.
Pihak yang mendapat durian runtuh daripada perlaksanaan sistem tol tanpa tunai PLUS ialah syarikat Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnGSB).
Hari ini, semua pengguna lebuhraya PLUS terpaksa menjadi pelanggan TnGSB kerana mereka sekurang-kurangnya perlu memiliki 1 kad TnG.
Apa yang memilukan ialah sikap TnGSB yang bersifat tamak dengan mengekalkan harga jualan kad TnG dan SmartTag.
Meskipun dengan durian runtuh yang diberikan PLUS, CEO TnGSB Syahrunizam Samsudin baru-baru ini menegaskan harga kad TnG kekal pada paras RM10.60 manakala SmartTag pada harga RM127.20, termasuk 6% GST.
Demi pengguna setia lebuhraya, sepatutnya PLUS mendesak TnGSB menurunkan harga kad TnG dan SmartTag.
Jika PLUS gagal berbuat demikian, dengan keuntungan beratus juta setiap tahun, PLUS sepatutnya mampu memberikan kad TnG secara percuma dan juga memberikan subsidi kepada mereka yang berkemampuan memiliki SmartTag.
Ini kerana PLUS boleh membeli kad TnG dan SmartTag secara pukal pada harga yang jauh lebih rendah daripada TnGSB berbanding pengguna lebuhraya yang terpaksa membeli secara individu.
PLUS perlu mengakui segala “pelaburan” pengguna lebuhraya dalam kad TnG dan SmartTag bukanlah untuk memudahkan mereka, sebaliknya untuk meringankan masalah PLUS menghadapi kesesakan lebuhraya yang berpunca daripada plaza tol.
Jadi, ia hanya adil untuk PLUS membekalkan kad TnG secara percuma dan memberikan subsidi pembelian SmartTag kepada para pelanggannya yang setia.
Betul tak, para pelanggan PLUS?
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.