Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Sosialisasi politik di media sosial hakis perpaduan kaum

May 10, 2017

Apa jua insiden yang merenggangkan hubungan kaum akan mewujudkan satu pola politik tidak sihat dan mampu menghakis perasaan hormat sesama kaum.

KOMEN

Sosialisasi-politik

Oleh Edwin Michael

Saya menyokong penuh kenyataan Prof Tajuddin Rasdi mengenai penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk mengenal pasti punca ketegangan kaum di negara ini.

Walaupun pada dasarnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja ini amat penting dalam memberikan gambaran sebenar akan hubungan sosialisasi melibatkan rakyat Malaysia berlainan kaum, namun realitinya punca utama yang menyumbang kepada ketegangan kaum di negara ini tidak lain tidak bukan ialah sistem parti politik itu sendiri.

Insiden pergaduhan yang berlaku di depan sebuah masjid di Johor baru-baru ini harus dijadikan indikator yang penting dalam menentukan hala tuju hubungan kaum di negara ini.

Impaknya ialah apabila pengguna media sosial yang juga boleh dikategorikan sebagai pengundi ini bersosialisasi politik dengan menunjukkan perasaan tidak puas hati, kebencian dan kejengkelan terhadap kepercayaan agama, budaya kaum lain di laman media sosial.

Persoalannya ialah, sedalam manakah perasaan kebencian dan kejengkelan ini?

Sosialisasi politik pengundi Cina

Ironinya, apa jua insiden ketegangan kaum yang berlaku di negara ini seringkali beban kesalahannya diletakkan kepada kerajaan dan pada masa yang sama parti pembangkang akan bertindak sebagai mediator rakyat. Hakikatnya, seringkali kedua-dua belah pihak amat gemar menggunakan isu ketegangan kaum ini sebagai platform bagi meraih undi.

Bezanya ialah parti pembangkang amat kuat dalam menggalakkan sosialisasi politik dalam kalangan penyokongnya di media sosial dan dalam konteks insiden pergaduhan di Johor ini, kita boleh andaikan sosialisasi politik pengundi cina menunjukkan penolakan keras terhadap parti pemerintah.

Sosialisasi politik sangat penting bagi perkembangan budaya politik dalam sesebuah kumpulan etnik kerana ianya akan menentukan hala tuju perkembangan politik negara tersebut. Apa jua insiden yang merenggangkan hubungan kaum akan mewujudkan satu pola politik tidak sihat dan mampu menghakis perasaan hormat sesama kaum.

Selagi Barisan Nasional tidak memberikan perhatian yang serius dalam soal sosialisasi politik anak muda dalam media sosial, selagi itulah Barisan Nasional akan dilihat sebagai faktor yang menjurus kepada ketegangan agama walaupun hakikatnya mungkin tidak.

Apa yang kita gagal fahami ialah segala persepsi dan mentaliti anti sesuatu kaum itu dibentuk melalui proses sosialisasi politik di media sosial dan dalam erti kata lain semakin terhakislah kesepaduan sesama kaum akibat proses sosialisasi politik ini.

Maka, andaian yang mengatakan kemungkinan untuk berulang kembali insiden 13 Mei 1969 ini tidak lagi harus dipandang sepi.

Edwin Michael ialah pensyarah Sains Politik dan Kewartawanan di Universiti Tunku Abdul Rahman, Perak.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Pensyarah cadang tubuh RCI cari punca ketegangan kaum


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments