Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dilema kekal atau singkir PAS Selangor

May 15, 2017

PAS keluar dari kerajaan akan beri kelebihan kepada BN untuk membuat serangan berunsur perkauman dan agama kerana bilangan Adun Melayu dalam PH kurang daripada Adun bukan Melayu

KOMEN

PAS-selangorOleh Mohd Azhar Abd Rahman

Keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan parti sekutunya sebelum ini, PKR, disusuli dengan keputusan yang sama oleh Majlis Syura Ulama PAS dan kemudian dikembalikan kepada AJK PAS Pusat untuk menentukan sikap dalam gabungan kerajaan Selangor telah menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat dan pemerhati politik tanah air.

Hujah diberi dari pelbagai sudut pandang mencerminkan bagaimana sesebuah kerajaan boleh dibentuk, diselamatkan, ditukar menteri besar, dipecat exco, dan bermacam-macam lagi kemungkinan, dengan hanya disebabkan pendirian dan keputusan pimpinan sesebuah parti.

Di Selangor, perkembangan ini membawa implikasi paling besar. Berikut merupakan kedudukan dan bilangan kerusi yang mewakili setiap parti di Selangor,

  • PAS – 13 (semua Melayu)
  • PKR – 13 (10 Melayu, 3 bukan Melayu)
  • Amanah – 2 (semua Melayu)
  • DAP – 14 (semua bukan Melayu)
  • BN – 12 (semua Melayu. Seorang meninggal dunia)
  • Bebas – 2 (1 Melayu, 1 bukan Melayu)

Kedudukan semasa menyaksikan gabungan PH-PAS mempunyai 32 kerusi, BN 12 dan Bebas 2.

Sekiranya PAS keluar dari kerajaan dengan perletakan jawatan 3 exco dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan timbalan speaker bersama Adun yang lain, bermakna Azmin Ali mempunyai 29 kerusi termasuk dirinya manakala pembangkang yang terdiri daripada BN dan PAS mempunyai 25 kerusi. Dengan mengandaikan Tan Sri Khalid Ibrahim (Pelabuhan Klang) condong kepada PAS, pembangkang mempunyai 26 kerusi.

Kedudukan kerajaan dan pembangkang mungkin adalah seperti berikut :

  • PH – 29 ( 12 Melayu, 17 bukan Melayu)
  • PAS-BN + TSKI – 26 (26 Melayu)
  • BEBAS – 1 (bukan Melayu)

Kedudukan Adun begini walaupun sah dari sudut perlembagaan untuk membolehkan sebuah kerajaan dibentuk, akan memberi kelebihan kepada BN untuk membuat serangan dan persepsi berunsur perkauman dan agama apabila bilangan Adun Melayu kurang daripada Adun bukan Melayu.

Pengalaman ini berdasarkan senario yang berlaku di Perak pada tahun 2008 pasca PRU-12 di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika itu diserang habis-habisan dengan menuduh menteri besar ketika itu, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar boneka DAP akibat kedudukan Adun yang tidak seimbang dalam Pakatan Rakyat.

Ketika itu PR mendapat majoriti 31 kerusi di mana DAP-18, PAS-6 dan PKR-7 (3 Melayu 4 bukan Melayu) menjadikan bilangan Adun Melayu sebanyak 9 dan bukan Melayu 22. Ketidakseimbangan inilah menjadi modal besar BN melemparkan pelbagai tohmahan bagi menggoncang kerajaan Perak ketika itu.

Akhirnya hasil kerja keras BN memancing Adun Pakatan Rakyat, Behrang dan Changkat Jering berpaling tadah menjadi Adun bebas tetapi menyokong BN, disusuli dengan Jelapang dari DAP yang juga mengisytiharkan dirinya Adun bebas. BN kemudian mengambil alih kerajaan Perak.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Sekiranya dilihat pula pelantikan baru Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), satu lagi pendebatan akan berlaku untuk menentukan 3 kerusi exco dan timbalan speaker yang sebelum ini diberi kepada PAS.

Oleh kerana ada 4 kekosongan, maka jawatan tersebut boleh diagih secara adil dengan memberi 2 kepada PKR dan 2 kepada DAP. Amanah? Jika melihat kepada nisbah bilangan kerusi, mereka mungkin segan untuk minta jawatan dalam MMKN, namun sekiranya PH benar-benar sebuah gabungan setiakawan, mungkin 1 kerusi exco atau timbalan speaker diberikan kepada mereka. Di sini akan terlihat sejauh mana perkongsian kuasa dan setiakawan itu ditunjukkan.

Ini belum dikira lagi jawatan lain seperti di dalam syarikat milik kerajaan, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan lain-lain yang lebih merumitkan.

Apapun ia sememangnya membuang banyak masa yang sepatutnya digunakan untuk merancakkan pembangunan negeri yang kaya itu. Saya kira mungkin ramai rakyat Selangor perlu menggunakan kad peduli sihat untuk mengambil paracetamol selepas melihat situasi di Selangor ini.

Tetapi kerana politik, semua itu bahan api untuk enjin mereka terus hidup. Di sinilah yang memeningkan rakyat di bawah, sehinggakan kita keliru sama ada ini masalah atau maslahah.

Maka saya melihat apa yang disuarakan bekas pesuruhjaya PAS negeri sebelum ini, Datuk Iskandar Samad, bahawa beliau secara peribadi berat hati untuk memutuskan hubungan dengan PKR ada asasnya. Walaupun alasan yang diberikan adalah bimbang Amanah menggantikan tempat PAS di dalam pentadbiran negeri Selangor adalah satu andaian, menurut presiden PAS perkara bersifat andaian tidak semestinya berlaku.

Saya melihat, senario analisis yang ditimbulkan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki ketika krisis menteri besar beberapa tahun lalu, walaupun tidak berlaku pada ketika itu tetapi proses ke arahnya seakan-akan sedang berjalan dan mungkin perlu ditinjau semula semua Adun yang ada dalam PH supaya krisis Perak tidak berulang, yang secara kebetulan melibatkan Behrang, tempat asal Zuhdi, dan bekas Adun Jamaludin Radzi.

Mohd Azhar Abd Rahman adalah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments