Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

11 Mei, 13 Mei dan pengajarannya

 | May 16, 2017

Hakikat peristiwa 13 Mei itu berlaku menunjukkan sistem yang diletakkan sejak penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 mengandungi unsur bom jangka.

KOMEN

13 mei

Minggu lalu, dua ulang tahun peristiwa dalam sejarah negara, satu untuk diingati, satu untuk dilupai.

Peristiwa pertama adalah ulang tahun penubuhan Umno pada 11 Mei, sementara yang satu lagi tragedi 13 Mei.

Sungguhpun begitu kedua-duanya mempunyai kaitan dalam sejarah dan ia memberi pengajaran bahawa penduduk negara ini hendaklah mengawal diri demi perpaduan kaum.

Prinsipnya ialah jangan sekali-kali bermain dengan sentimen kaum dan agama. Ini kerana manusia mudah terpengaruh dan terbawa-bawa dalam isu kaum dan agama.

Walaupun pada mulanya tuntutan terhadap hak sesuatu kaum dan agama itu wajar tetapi perbalahan mengenainya tidak ada kesudahan hingga boleh membawa kepada pergaduhan yang merugikan semua pihak.

Kunci di sini terletak pada kawalan diri setiap kaum daripada terbawa-bawa mengikut sentimen hingga mendatangkan kesan yang melebihi apa yang dijangkakan.

Umpamanya kejadian membunyikan hon kereta dan serangan oleh jemaah masjid di Johor Bahru baru-baru ini. Ia menunjukkan betapa mudah sentimen kaum dan agama menjadi sensitif dan boleh membawa perbalahan lebih luas.

Pada masa ini pula terdapat media sosial yang mudah menyebar maklumat berbentuk gambar dan video. Walaupun ada kalanya maklumat itu benar tetapi kewajarannya disiarkan patut dipertikaikan. Ini kerana perkara yang menyentuh sentimen kaum dan agama hanya mendatangkan perbalahan.

NGO kaum

Peristiwa 13 Mei sudah lama berlalu. Rakyat negara ini yang hidup pada 1969 dan masih ingat mengenai peristiwa itu semakin berkurangan. Mungkin generasi kemudian tidak berasakan kepentingan mempertahankan perpaduan kaum.

Pada masa ini, sudah ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan apa yang mereka sebut sebagai hak kaum atau agama. NGO ini adalah fenomena baru. Ia tidak wujud 10 tahun dulu.

Walaupun ada hujah mereka boleh diterima tetapi menampilkan isu berkaitan kaum dan agama boleh menyentuh sentimen yang sensitif.

Ini belum dikira lagi laman web atau posting yang bernada perkauman dan keagamaan tetapi menjurus kepada menyentuh sentimen sensitif. Mereka mungkin berasa diri mereka sebagai wira atau pejuang kaum dan agama, tetapi pendekatan itu hanya menimbulkan rasa tidak selesa dalam hubungan antara kaum.

Begitu juga dengan kuatnya pengaruh sentimen kaum dan agama, ada parti politik yang bersedia untuk memperalatkan sentimen ini untuk mendapatkan sokongan, meraih undi dan seterusnya memperoleh kekuasaan.

Tindakan menggerakkan sentimen kaum dan agama ini dibuat dalam bentuk perhimpunan besar yang akhirnya akan mengundang tindak balas juga.

13 Mei

Semasa peristiwa 13 Mei 1969, saya berusia 10 tahun dan tinggal di Kuala Lumpur. Saya perhatikan dari jauh bangunan terbakar dan kerosakan harta benda.

Itu belum dikira nyawa orang yang tidak bersalah hilang begitu saja. Pengalaman saya itu, sebagai anak kecil pada masa itu, memberi kesedaran bahawa perpaduan kaum adalah perkara paling penting bagi negara ini.

Adalah sukar bagi kerajaan untuk menyemaikan kembali hubungan baik antara kaum setelah berlaku perbalahan. Untuk merosakkannya adalah lebih mudah daripada membinanya.

Kerajaan menubuhkan Jabatan Perpaduan Negara yang memperkenalkan program memupuk hubungan baik antara kaum. Lagu Muhibbah digubah dan diarahkan semua sekolah supaya pelajar mereka menyanyikannya.

Kerajaan juga memperkenalkan Rukunegara sebagai ideologi bangsa Malaysia. Malah Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga diperkenalkan untuk mewujudkan perpaduan kaum.
Penggalakan penggunaan bahasa kebangsaan adalah kesemuanya untuk menyemai perpaduan kaum. Ia sama sekali bukan bertujuan untuk mewujudkan dominasi orang Melayu terhadap kaum lain tetapi mahu mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

Bom jangka

Adalah satu kejayaan bagi negara ini dapat mengelak peristiwa seumpama 13 Mei itu berulang. Tetapi ancaman perbalahan kaum tetap ada. Semua pihak, kerajaan atau pembangkang perlu berwaspada terhadap ancaman ini dan bertindak segera bagi memadamkan sebarang bibit-bibit perbalahan antara kaum dan agama.

Lebih-lebih lagi mengenai agama. Ini kerana bagi orang Melayu yang agamanya Islam, sentimen mengenainya amat sensitif dan mudah tercuit hingga boleh terheret kepada kekerasan. Sebab itu isu seperti hudud boleh menimbulkan perbalahan yang penuh dengan perasaan sentimen kaum dan agama.

Tetapi hakikat peristiwa 13 Mei itu berlaku menunjukkan sistem yang diletakkan sejak penubuhan Umno pada 11 Mei 1946 mengandungi unsur bom jangka.

Banyak penyelidik mengkaji dan membuat rumusan mengenainya. Tetapi banyak maklumat mengenai peristiwa itu masih tersembunyi.

Ada baiknya untuk melayan peristiwa itu sebagai sejarah yang sudah berlalu, dan keutamaan diberikan pada masa depan. Jika didapati ada yang boleh menjejaskan perpaduan kaum, maka pelajaran dan iktibar perlu diambil daripada peristiwa itu.

Tunku Abdul Rahman Putra tidak mahu menyalahkan orang Melayu atau Cina. Walaupun ada juga disebut mengenai kesan buruk perbuatan ekstremis Melayu dan cauvinis Cina.

Tetapi Tunku lebih menyalahkan anasir komunis yang mengambil kesempatan daripada sebarang perbalahan kaum.

Sudah tentu apabila berlaku ketegangan kaum pada zaman ini, tidak sesiapa boleh menyalahkan komunis kerana mereka tidak lagi menjadi isu apatah lagi ancaman.

Maka jika berlaku perbalahan kaum, ia boleh datang dari ekstremis kaum, atau sekurang-kurangnys pemikirannya.

Parti kaum

Tetapi dalam sejarah Malaya, pergaduhan kaum bermula dengan tentera Bintang Tiga membalas dendam kepada mereka yang disyaki sebagai tali barut Jepun. Perkara ini berlaku pada 1945 sebaik saja Jepun meninggalkan negara ini.

Tentera Bintang Tiga itu adalah pasukan komunis. Lambang Bintang Tiga itu seharusnya mencerminkan perpaduan tiga kaum Malaya iaitu Melayu, Cina dan India.

Tetapi pelakuan mereka yang kejam itu menusnahkan segala hubungan baik antara kaum yang wujud sebelum Perang Dunia Kedua itu.

Kebimbangan terhadap penguasaan kaum Cina dan pihak komunis turut mendorong orang Melayu membantah gagasan Malayan Union dan seterusnya menubuhkan Umno.

Sejak itu sebarang usaha untuk menubuhkan parti berbilang kaum tetapi dipimpin oleh orang Melayu didapati gagal. Usaha Dato Onn Jaafar untuk membuka Umno kepada bukan Melayu ditolak. Begitu juga dengan parti yang ditubuhkan seperti Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan Parti Negara.

Hanya pada 1998, apabila Parti Keadilan Nasional ditubuhkan, barulah rakyat negara ini dapat menerima sebuah parti berbilang kaum tetapi dipimpin oleh orang Melayu.

Maknanya, Keadilan berjaya mengubah corak politik untuk tidak berasaskan pada kaum semata-mata. Begitu juga apabila Parti Amanah Negara ditubuhkan, ia juga bersifat berbilang kaum. Hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu meneruskan tradisi Umno untuk tampil sebagai parti untuk satu kaum.

Tetapi begitulah, jika negara ini hendak memiliki perpaduan kaum secara kental dan berpanjangan, kesedaran untuk mewujudkan negara bersatu dengan perpaduan harus terus dilakukan sepanjang masa, hinggalah pada satu hari kelak di mana perbezaan tidak menjadi isu.

Masing-masing kaum hidup dengan identiti sendiri tanpa berlaku pertembungan atau perbalahan dengan kaum lain.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments