Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Perlu wacana segar daripada ulama mengenai LGBT

May 18, 2017

Apabila isu khilaf lain diraikan dan dipromosi tentang keterbukaan dan kekayaan khazanah ilmu Islam, ruang perbincangan isu LGBT masih di takuk lama.

KOMEN

lgbt-bgOleh Ahmad Salami

Perbincangan mengenai “Homoseksualiti dan Islam” oleh pelbagai pihak terutama golongan agamawan menjadikannya sebuah perdebatan teologi.

Kenyataan Mufti Perlis di laman Facebook dan Mufti Wilayah Persekutuan dalam blog “Bayan Linnas” masing-masing jelas mengambil pendekatan “borong” atau hentam keromo dengan ulang siar kembali stigma dan mitos atas diskusi kompleks yang perlukan perbincangan secara akademik.

Ia petanda kurang baik pada beberapa sudut. Sewajarnya mereka mengambil kira pelbagai elemen hujah seperti perkembangan pendapat ulama kontemporari, aspek ilmu psikologi, ilmu seksualiti (SOGIE), sampel buah fikir komuniti minoriti seksual, aktivis sosial, termasuk juga kajian sains semasa yang gagal dibahaskan dalam mengeluarkan hukum berkenaan isu homoseksualiti ini.

Sebagai contoh, tidak dibezakan antara perbuatan liwat dan homoseksualiti yang merujuk kepada orientasi seksual. Juga tidak dinyatakan apakah ia bersifat “mutaghayyirat” (flexible) ataupun “thawabit” (tetap), apakah kekuatan adillahnya, dan pelbagai lagi perkembangan sains sosial sebagaimana diambil kira dalam fatwa baharu yang tidak pernah dibincangkan ulama terdahulu.

Bukankah Allah menyuruh supaya merujuk pihak yang pakar dalam bidangnya jika kurang arif?

Dalam surah An-Nahl dan Al-Anbiya, Allah berfirman: “Maka bertanyalah kepada ahl az-zikr (pakar) jika kamu tidak menngetahui”.

Sayang apabila dalam isu khilaf lain diraikan dan dipromosi tentang keterbukaan serta kepelbagaian pemikiran sebagai bukti kayanya khazanah umat Islam dalam naratifnya, tetapi gagal dibuka ruang perbincangan ini dalam dunia ledakan maklumat semasa.

Usah pelik jika penafian dan kejahilan berterusan sesetengah agamawan berinteraksi menyebabkan masyarakat awam mencemuh keilmuan institusi keagamaan.

Sedia maklum, bukanlah ciri-ciri mujtahid yang mustaqil (bebas) dalam berpendapat jika masih terikat dogma dan taqlid teks klasik yang dikira sudah lagi tidak mampu menyantuni dan memahami kehendak peredaran zaman.

Pendekatan integrasi teks-konteks, fiqh “taisir” (memudahkan), rasional dalam memahami nas naqli Al-Quran dan Sunnah, dan fiqh muqaranah (perbandingan) amat mendesak untuk diaplikasi dalam diskusi pada masa ini.

Tidaklah saya mendambakan lebih melainkan untuk menawarkan sebuah perbincangan sihat supaya ia berjalan tanpa gopoh membuat konklusi.

Al-Quran sekali lagi dengungkan keterbukaan untuk perbincangan matang sebagai tanda insan Ulul Albab dalam surah Az-Zumar: “Mereka yang berusaha mendengar pendapat-pendapat (yang sampai kepadanya) lalu mereka memilih yang terbaik daripadanya; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna (Ulul Albab)”.

Para mufti atau ulama sepatutnya terkehadapan bersolidariti bersama golongan minoriti tertindas dalam dunia yang penuh penindasan ini.

Pada pandangan saya, kenyataan mufti pada Hari Sedunia Menolak Homofobia dan Transfobia adalah tidak wajar.

Kita ada kes serangan peringkat antarabangsa seperti di Orlando dek perbezaan seksualiti dan di tanah air tercinta kita sendiri pula kedapatan kes-kes melibatkan penguatkuasa agama saban hari saban tahun tanpa kenal erti apa itu kesengsaraan dan diskriminasi golongan minoriti ini.

Saya akhiri ribuan kemaafan atas perbezaan saya yang terdedah kepada kritikan ini tanpa merendah sedikitpun taraf keilmuan yang selayaknya bagi tokoh agama.

Penulis adalah lulusan jurusan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments