Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Serang Hannah Yeoh malang buat Malaysia

May 20, 2017

Melihat kepada kenyataan pertama yang dibuat oleh Kamarul di FBnya, bukankah ruang peribadi Hannah juga telah diceroboh?

KOMEN

Miswary-Ramli-hannahOleh Nor Miswary Ramli

Sampai saat ini, kita masih lagi diheret dengan persoalan sia-sia yang dicetuskan oleh Dr Kamarul Yusoff, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bukan sahaja membuang masa kita dengan kegagalan pemahaman beliau, malah lagak bagai jurucakap parti korup yang mahu kekal korup.

Malah, Kamarul Yusoff bukan saja gagal menilai harga dirinya sebagai pensyarah dengan aksi isu agama ini, malah beliau juga telah berjaya menarik sokongan PAS untuk turut serta dalam skim pembodohan ini.

Tidak keterlaluan untuk saya membayangkan, andai Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat masih memimpin PAS, kenyataan seperti yang dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini pastinya telah dibakulsampahkan. Politik matang dan sejahtera PAS dan Umno hampir saja tidak boleh dibezakan; kedua-duanya mempertaruhkan isu bangsa dan agama untuk sekupang-dua harga kuasa.

Pemimpin Pemuda PAS seperti terkial-kial memposisikan diri berdepan rakyat yang mula menampakkan kesediaan menolak politik perkauman dan politik menunggang agama demi menyelamatkan saki baki hayat terakhir Umno-BN.

Tindakan melucukan

Kenyataan terbaru Kamarul Yusoff cuba membandingkan laporan polis yang dibuat antara beliau dan Hannah Yeoh kononnya sebagai satu tindakan yang kabur.

Apa yang tambah melucukan, beliau pula yang meminta Hannah menarik balik laporan polis dan memohon maaf kepadanya!

Beliau seolah-olah memaksa orang yang kena tampar memohon maaf! Lucu bangat!

Walhal, persoalan sia-sia ini asalnya pun datang dari beliau sendiri yang gagal menghadam intipati perjalanan seorang ahli politik yang cuma berkongsi nilai-nilai universal yang baik di dalam agamanya menerusi sebuah buku. Itu sahaja.

Malah, ia adalah ideologi kebangsaan yang terpateri dalam Rukun Negara Malaysia sejak tahun 1970 lagi – Kepercayaan Kepada Tuhan!

Jika beliau menganggap komentar di FB beliau itu bersifat peribadi dan tidak sepatutnya diberi respons dengan laporan polis, lalu mengapakah beliau melanggar batas ruang peribadi Hannah dengan bertindak balas membuat laporan polis juga?

Hannah cuma menulis buku berkongsi kisah hidupnya, tidak terkecuali menyebut keyakinan kepada agamanya yang telah membentuk peribadinya hari ini.

Melihat kepada kenyataan pertama yang dibuat oleh Kamarul di FBnya, bukankah ruang peribadi Hannah juga telah diceroboh?

Buku Hannah telah dijual meluas dan bukannya secara diam-diam diseludup bagai mempunyai agenda jahat untuk mempengaruhi orang Islam.

Malah, buku tersebut juga tidak pula diharamkan atau boleh menyebabkan sesiapa pun ditangkap disebabkan pengaruhnya.

Sekiranya kita menyemak kesemua penulisan beliau sebelum ini, kita pastinya tidak akan terkejut mengapa polemik ini boleh diheret sampai ke peringkat ini.

Apa yang dibangkitkan oleh Kamarul semenjak hari pertama lagi boleh dilihat bertujuan membina prejudis dan prasangka sesama kita.

Kalaupun beliau tidak diarahkan secara langsung oleh mana-mana pihak sekalipun, saya yakin dan percaya ia datang dari kelemahan beliau dalam mengurus perbezaan di antara mereka yang berlainan agama dan bangsa dengannya.

Apa yang menjadi persoalan kita tentunya bagaimana beliau boleh menepis tanggapan awam mengenai kelayakan beliau sebagai pensyarah sebuah universiti awam dengan sikap dan prasangka sebegitu?

Boleh kita bayangkan bagaimanakah bentuk graduan universiti yang akan dihasilkan daripada tangannya kelak?

Adakah beliau boleh diharap dapat mendidik dan melahirkan graduan yang boleh menerima dan mampu mengurus perbezaan jika beliau sendiri pun gagal membezakan di antara sebuah buku mengenai ahli politik yang taat kepada agamanya berbanding kertas-kertas pertuduhan yang membelenggu pemimpin besar negara?

Malang buat masa depan Malaysia.

Nor Miswary Ramli adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments