Di sebalik dakapan Saudi-Trump, sejarah ganas Wahhabisme
Golongan korup mudah menelan ‘Islam Petrol’ dibawa Saudi demi kelangsungan mereka. Islam jenis ini penuh dengan hamburan kemilau wang, seperti dilihat ketika lawatan Raja Salman ke Malaysia.
Ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku di Timur Tengah sejak beberapa hari lalu.
Pencetus dan penggagas keganasan di dalam dunia Islam sedang membujuk rayu sekumpulan badut dunia agar melupakan keganasan yang ia taja. Ia adalah satu purbawara, yang membingungkan tetapi tidak sukar dimengerti.
Sejak 20 Mei lalu, satu tonil palsu dengan lebih 50 aktor yang malangnya mengaku Islam, bersama-sama Presiden Donald Trump dan Raja Salman Abdulaziz Al-Saud untuk membincangkan perihal bagaimana membasmi keganasan.
Pertemuan yang dinamakan “Arab-Islamic-US Summit” itu adalah usaha Saudi.
Tentu sahaja Presiden Trump tidak pernah terlintas membaca laporan “The Islamic Traditions of Wahhabism and Salafiyya” oleh Christopher M. Blanchard kepada Kongres Amerika Syarikat, bagaimana Wahhabi berbeza daripada kita: “The puritanical and iconoclastic philosophies reflected in this sect historically have resulted in conflict with other Muslim groups. Wahhabism opposes most popular religious practices such as saint veneration, the celebration of the Prophet’s birthday, and practices associated with the mystical teachings of Sufism.”
Pemerhatian Blanchard, penganalisis politik Timur Tengah untuk Divisyen Hal Ehwal Luar, Pertahanan dan Perdagangan Amerika Syarikat menjelaskan sikap keras dan perasan benar Wahhabisme yang menyebabkan konflik dalam Islam.
Blanchard menekankan Islam Wahhabi adalah sinonim dengan kumpulan militan.
Wahhabi dan sejarah keganasan
Secara teologinya, Wahhabisme mengikut kerangka Ibnu Taimiyyah (728 Hijrah) dan mazhab Hanbali. Selain itu rujukan utama pengikut Wahhabi adalah Kitab al-Tawhid oleh Muhammad Abdul Wahab yang mana nama Wahhabism itu muncul.
Terma Salafi yang mereka sering gunakan adalah hasil propaganda seorang ulama Wahhabi yang lain bernama Muhammad Nasiruddin al-Albani.
Strategi mengubah nama ini adalah untuk meredam sejarah keganasan dan terorisme gerakan tersebut yang mana pengikut Abdul Wahab, pengasas Wahhabisme, telah menyerang antara lain kota Karbala pada 1801 dan membunuh lebih 5,000 penduduknya.
Dokumen sejarah yang diterbitkan kerajaan Saudi sendiri memperakukan fakta ini menerusi sejarawan mereka, Usman Ibn Abdullah Ibn Bisyr dalam “Unwan al Majd fi Tarikh Najd”.
Tidak cukup membunuh minoriti Syiah, pada 1802, sekumpulan tentera di bawah pimpinan anak Muhammad Abdul Wahab dan Muhammad ibn Saud menyerang kota Taif dan memulakan kempen ganas dengan menumpah darah.
Setahun kemudian kota Mekah dikuasai, dan pada 1804 menyerang pula kota Madinah.
Pada 21 April 1925, pengikut Wahhabi memusnahkan perkuburan Baqi’ dan banyak lagi warisan sejarah Islam dengan alasan membanteras kekufuran, kesyirikan dan bid’ah. Kemudian pada 1932 gerakan Wahhabi menguasai Mekah dan Madinah secara penuh.
Pada 1933, minyak ditemui dan menjelang tahun 1950an Saudi dilanda kemewahan sehingga sekarang, yang membolehkan ia menaja pelbagai program untuk membadutkan seisi dunia.
Keganasan Wahhabisme di alam Melayu
Kita tidak dapat memisahkan Arab Saudi dari fahaman Wahhabisme. Sebut Saudi terbayang Wahhabisme, seperti mana sukar untuk kita memisahkan fahaman Syiah dari Iran.
Dalam 4 kali muzakarah, para ulama dan mufti kita tak tergamak untuk menolak Wahhabisme meskipun sejarahnya penuh darah di Mekah dan Madinah. Bimbang kuota haji terhad, atau kesukaran menunaikan umrah dan haji mengakibatkan (mungkin) fatwa atau keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sekadar mengatakan Wahhabisme “tidak sesuai” di Malaysia.
Fatwa longgar dan tak bermaya ini hanya mampu dinyatakan dalam muzakarah pada 1985, 1986, 1996, dan 1998 dalam mesyuarat ke 42.
Mengapakah berbeza dengan fatwa-fatwa keras dari Majlis Fatwa Kebangsaan terhadap Syiah, Wahhabisme sering dilayan dengan lunak?
Sebagai contoh, pelbagai pihak hari ini mudah menyalahkan Iran, kerana kononnya ia mengeksport Syiahisme ke pelbagai rantau selepas 1979 dan mengganggu kestabilan.
Mereka silap. Mereka, para badut ini, buta sejarah.
Satu hakikat yang kurang diketahui umum ialah Wahhabisme mengeksport keganasan ke rantau Melayu sejak tahun 1803-1838.
Profesor Ahmad Ibrahim dalam “Islamic Law in Malaysia” menyatakan kejadian malang ini berlaku ketika tercetusnya Perang Paderi yang mana jemaah haji yang pulang dari Mekah telah terpengaruh dengan Wahhabisme dan kembali ke Minangkabau membanteras kaum tradisional dengan cara kasar, ganas dan teror.
Berpusat di Bukit Kamang, gerakan Paderi yang dipimpin oleh Haji Miskin, dan Haji Tuanku Nan Renceh mengucar-kacirkan Sumatera Barat dengan membunuh pengikut tarekat Shattariyah.
Tuanku Nan Renceh malah membunuh ibu saudaranya untuk menunjukkan mereka serius untuk memadamkan fahaman adat perpatih.
Pada 1815, selepas satu rundingan yang gagal di Pagaruyung, mereka mengisyitiharkan kaum tradisionalis pimpinan Tuanku Nan Tuo dan Syekh Jalaluddin sebagai kafir.
Ia merupakan gejala takfiri yang pertama di alam Melayu. Ia tidak melibatkan Syiahisme tentunya. Fakta ini boleh ditemui dalam kajian Hafiz Zakariya dan Mohd Afandi Salleh, “From Makkah to Bukit Kamang?: The Moderate versus Radical Reforms in West Sumatra (ca. 1784-1819)”, dan tulisan Jeffrey Hadler dalam “A Historiography of Violence and the Secular State in Indonesia: Tuanku Imam Bondjol and the Uses of History”.
Gangguan Wahhabisme
Apabila Saudi kukuh, mereka mulai galak menghantar Wahhabisme ke rantau lain, termasuklah Tanah Melayu, dan sejak itu mengganggu keharmonian umat Islam di negara ini.
Menurut Asmady Idris dari Universiti Malaysia Sabah, dalam “Wahabi Doctrine in Malaysia-Saudi Relations”, pada 1920an, ulama Wahhabi dari Saudi, Sheikh Hassan dan Sheikh Nur al-Surur atau dikenali sebagai Tuan Guru Haji Ismail Haji Muhammad, menyebarkan fahaman ini di Perlis dan memberinya nama Ahlus Sunnah Perlis.
Seperti gerakan Wahhabisme di Mekah dan Madinah, Ahlus Sunnah meratakan kuburan ulama tempatan, antara lain pusara Haji Muhammad Salleh, Tok Sheikh Muda, Tok Lebai Salim dan Tok Jernih. Sejak itu terdapat banyak pergeseran antara umat Islam apabila kaum Wahhabisme ini mengacau ritual tradisi pengikut Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Dua insiden dalam sejarah ini menunjukkan tanpa dapat disangkal, siapakah atau pihak manakah yang mula-mula menebar cara fikir dan gaya hidupnya keluar dari gurun padang pasir kontang. Konflik ini bermula dari Wahhabisme.
Jika demikian, mengapakah Majlis Fatwa Kebangsaan melayan Wahhabisme dengan lunak berbanding Syiahisme?
Wahhabisme, Islam versi ganas
Mengapakah gerakan ganas yang menaja ketidakstabilan di rantau Melayu ini sejak lama dahulu, tidak dikecam sebaliknya Arab-Islamic-US Summit yang ditaja Saudi itu mengecam pihak yang salah, iaitu Iran dan Syria?
Di pihak kita, kaum murbawan dan kelas Muslim yang tertindas, kita dapat menyorot 2 perkara.
Pertama, seperti yang telah kita maklum, Wahhabisme tergagas oleh keganasan, perasan benar dan dibantu oleh kuasa politik. Sejarah menunjukkan Wahhabisme adalah sejenis Islam hibrid dengan feudalisme. Ia muncul ganas, didokongi kaum Badwi yang menggunakan agama semberono.
Perlu diingatkan Islam yang digagaskan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) tidak dicemari oleh feudalisme. Islam oleh Rasulullah adalah Islam kasih sayang yang menekankan perihal ihsan.
Islam jenis Wahhabisme ini sesuai dan cocok untuk mana-mana kuasa yang ingin menonjolkan imej atau citra keIslaman dan dalam masa yang sama menggunakannya untuk menekan mana-mana kumpulan penentang. Ia seperti yang dilakukan oleh gerakan Wahhabisme di Taif, Mekah dan Madinah satu masa dahulu. Ia persis gerakan Padri.
Agama ganas ini memberi pewajaran untuk mereka yeng berkuasa menindas dan melanyak suara alternatif atau oposisi.
Hari ini, Wahhabisme, Islam versi ganas, adalah alat untuk sesetengah pihak terus berkuasa. Tentu, mereka boleh bersekongkol dengan Trump yang juga selalu menerbalikkan fakta untuk kelangsungan kuasa tersebut. Ini kerana mereka berkongsi DNA.
‘Islam Petrol’
Kedua, seperti dinukil Fouad Ajami, profesor Amerika yang juga pakar Timur Tengah, label Islam Wahhabi ini adalah “Islam Petrol” yang mana Saudi menyimbah dan menabur sebanyaknya wang kepada negara-negara terdesak agar kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi.
Pelaburan di Asia Tenggara, misalnya, dilihat oleh sesetengah penganalisis politik sebagai penyebaran Islam versi Wahhabisme. Pemerintah yang korup akan dengan mudah menelan Islam Petrol ini demi kelangsungan dan kemudahan mereka.
Rakyat yang dibutakan oleh korupsi akan mengangguk, dan penindasan serta hak asasi manusia dikesampingkan. Islam jenis ini penuh dengan kemewahan dan hamburan kemilau wang.
Lihat sahaja bagaimana ramai terlongo oleh tuhan baharu (baca: wang ringgit) yang dibawa bersama ke Asia Tenggara ketika lawatan Raja Salman ke daerah ini Mac lalu. Ramai yang terhegeh mengucup dahi dan menciumi tangannya sudah tentu.
Dajal dan badut
Akibat yang sangat menggerunkan daripada 2 faktor di atas ialah penjelmaan sejenis dajal yang mana kepak kanan adalah kekuasaan dan keganasan sementara kepak kirinya adalah ultra-kapitalisme. Tentu sahaja raksaksa seperti ini mudah menggula-gulakan badut, dan mereka yang jahil.
Hari ini, tonil palsu berlangsung lagi. Terlalu banyak hipokrasi yang tidak terbendung dilihat oleh orang awam, oleh individu yang tiada kepentingan dan tiada kuasa seperti kita semua. Seolah-olah dunia akan terus dicengkam oleh sihir jahat ini.
Kita tidak akan tertipu. Ini kerana satu fakta yang sukar mereka padamkan: Sejarah tidak memihak mereka.
Dan sejarah akan menjadi beban kepada mereka. Sejarah yang benar tidak ada wajah kemunafikan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.