Suasana Hari Raya (pilihan raya)
Hari Raya menjelang pilihan raya seringkali menjadi medan bagi pertukaran maklumat politik yang tidak dapat disampaikan melalui media lain.
Ada spekulasi yang menyatakan pilihan raya umum akan diadakan pada Oktober ini tetapi banyak pihak pula menjangka kerajaan Barisan Nasional (BN) akan menghabiskan tempoh mandatnya sehingga tarikh akhir iaitu 24 Jun 2018.
Semasa menyambut Hari Raya, keutamaan seseorang adalah bergembira dan merapatkan silatur rahim antara sanak saudara dengan mengelak perbincangan mengenai politik.
Namun bagi mereka yang berkongsi kecenderongan politik dan menyokong kumpulan parti yang sama, pertemuan pada Hari Raya ini merupakan medan bertukar-tukar maklumat dan pendapat mengenai perkembangan semasa. Sama ada maklumat yang disampaikan itu benar atau tidak, ia adalah suatu perkara lain.
Tetapi adalah suatu kebiasaan bahawa Hari Raya menjelang pilihan raya seringkali menjadi medan bagi pertukaran maklumat politik yang tidak dapat disampaikan melalui media masa dan media sosial.
Pada Ramadan lalu, BN menghadapi pelbagai isu besar yang menyukarkan mereka. Antaranya ialah pengumuman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mengenai 1MDB, isu Felda dan syarikatnya, Felda Global Ventures (FGV), pengumuman cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas 60 barangan makanan yang kemudian ditarik balik dan cukai pelancongan yang membawa kepada rasa tidak puas hati kerajaan negeri Sarawak.
Sementara di pihak pembangkang pula, soal siapakah yang patut menjadi ketua dan seterusnya dicadangkan sebagai bakal perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) menang menjadi bahan perbincangan tanpa ada penyelesaian jelas.
Sementara itu kesan daripada kenyataan pihak pembangkang berkaitan isu ini menguntungkan kerajaan BN dan mengganggu PH. Maknanya pihak BN berada dalam keadaan bersatu sementara H mengalami perpecahan.
Suasana pilihan raya
Pada hari-hari menghampiri Hari Raya itu, rakyat di kawasan tertentu di negara ini boleh merasakan mereka bukan saja berada pada suasana menjelang Hari Raya tetapi juga pilihan raya.
Paling ketara ialah sambutan yang diterima oleh anak-anak Kelantan yang pulang ke negeri mereka beberapa hari sebelum Hari Raya dengan kemuncaknya pada malam sebelum perayaan itu.
Perantau Kelantan pulang melalui jalan darat dan udara. Dari udara, mereka tentunya melalui Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu. Mereka akan melalui Jalan Pengkalan Chepa untuk pulang ke jajahan masing-masing.
Mereka yang menggunakan jalan raya memasuki Kelantan melalui 3 pintu masuk iaitu Pasir Puteh jika dari Terengganu, Lebuh Raya Timur Barat jika dari Kedah dan melalui Gua Musang jika melalui Pahang.
Maka perantau ini disambut dengan bendera-bendera BN, PAS dan Amanah yang merupakan sebahagian usaha parti politik untuk mengingatkan para perantau tentang kehadiran mereka pada pilihan raya umum akan datang.
Bukan saja bendera, ketika kereta bergerak perlahan merangkak masuk ke Kelantan, mereka diberikan buah tangan oleh petugas-perugas parti politik. Umpamanya ada sebuah parti yang mengedarkan buah tangan telah memaparkan gambar pemimpin-pemimpin mereka pada bungkusannya. Pemimpin itu dipercayai bakal bertanding dalam pilihan raya akan datang itu.
Perantau perantau Kelantan yang melalui Gua Musang itu datangnya dari Pahang, Selangor, Perak, Negeri Sembilan. Tetapi perhatian utama adalah kepada perantau dari Kelantan yang tinggal di Lembah Klang. Bilangan mereka banyak dan lebih penting lagi anak anak Kelantan itu adalah pengundi berdaftar di negeri itu.
Dari Lembah Klang mereka memasuki Lebuh Raya Karak. Untuk ke situ, ada antara mereka yang melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), di depan Taman Melawati dan Taman Permata dari arah selatan, dan Taman Seri Gombak dan Taman Samudera dari arah utara.
Taman-taman ini terletak di kawasan Parlimen Gombak yang kini diwakili oleh Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor dan Timbalan Presiden PKR. Beliau menang kawasan itu pada pilihan raya umum ke-13 sebagai mewakili Pakatan Rakyat yang ketika itu dianggotai oleh partinya, DAP dan PAS.
Untuk kawasan DUN, Azmin bertanding di kawasan Bukit Antarabangsa. Kawasan DUN lain dalam Gombak ialah Hulu Kelang dan Gombak Setia yang dimenangi oleh calon-calon PAS.
Tetapi kini PAS sudah berpecah.
Ahli DUN Hulu Kelang kini adalah anggota Amanah. Sementara Pakatan Rakyat sudah terbubar. Penggantinya, PH kini dianggotai oleh PKR, DAP dan 2 parti baharu iaitu Amanah dan PPBM.
Kain rentang
Maka ketika menjelang Hari Raya, sekitar kawasan Parlimen Gombak dihiasi dengan bendera-bendera BN, Umno, PKR, PAS, Amanah dan PPBM. Di MRR2 depan Taman Melawati kelihatan sederet bendera PKR, Amanah dan DAP.
Selain itu terdapat kain rentang dan gantung memaparkan gambar-gambar pemimpin tempatan Umno, PAS, Amanah menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka mungkin menjadi calon bagi kawasan-kawasan itu.
Terdapat juga kain-kain rentang ucapan bagi sambutan Ramadan dan Hari Raya.
Dari Amanah dipaparkan pemimpin tempatan parti itu. Dari PPBM pula, ada kain rentang yang menampilkan gambar penasihat parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kain rentang mengumumkan majlis penerangan parti juga dipaparkan sepanjang bulan Ramadan. Parti juga mengadakan majils berbuka puasa. Nampaknya aktiviti parti bertambah rancak yang menunjukkan bahawa mereka sedang bersedia untuk pilihan raya umum.
Namun soal pembahagian kerusi belum selesai dibuat khususnya pada pihak pembangkang. Di pihak BN, ia lebih mudah kerana kedudukan Umno yang dominan. Tetapi di pihak pembangkang, keadaan menjadi keliru.
Umpamanya, persoalan siapakah akan bertanding bagi pihak pembangkang di situ masih belum selesai. Malah harapan pihak pembangkang supaya berlaku pertandingan satu lawan kelihatan tidak tercapai. Maka kemungkinannya berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu PH, PAS dan BN.
Keadaan ini berkait pula tentang kedudukan PAS. Apakah ia masih mahu jadi pembangkang tulen, atau sudah mesra dengan Umno? Jika PAS masih mahu jadi pemmbangkang, maka adakah ia mahu jadi mesra PH atau tidak. Jika PAS mahu mesra Umno, maka satu lawan satu akan jadi antara BN lawan BN-PAS. Jika mahu mesra PH, satu lawan satu adalah PH-PAS lawan BN.
Tetapi jika PH-PAS lawan BN, peruntukan kerusi pihak pembangkang perlu pembahagian yang sukar. PAS mahu bertanding di semua kerusi yang ia masuk pada pilihan raya umum ke-13. Ini akan menjadi masalah apabila berdepan dengan Amanah dan PPBM.
Namun jika PAS-BN lawan PH, pembahagiannya ialah kedua-dua parti mahu mempertahankan kerusi-kerusi yang mereka menangi ketika pilihan raya umum ke-13. Masalah timbul apabila siapakah yang mewakili PAS-BN bagi kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PKR.
Tetapi masalah lebih besar ialah pembahagian antara parti dalam PH. Pada asasnya PKR mahukan kerusi yang pernah mereka tandingi dalam pilihan raya umum ke13.
Amanah pula mahukan kerusi yang PAS tandingi dalam pilihan raya itu. Jadi, di manakah PPBM boleh tanding?
Penyelesaiannya adalah mungkin rundingan dibuat menurut setiap satu kes. Iaitu pertimbangan dibuat menurut siapa yang lebih mampu menang. Pertimbangan bukan saja mengenai parti yang diwakili, tetapi juga calon.
Maka dalam keadaan ini, tidaklah ada kepastian siapa akan bertanding di Parlimen Gombak dan kawasan DUN di dalamnya. Maka tidak hairanlah bendera BN, Umno, PAS, PKR, Amanah dan PPBM dikibarkan di kawasan itu menjelang Hari Raya.
Pada Hari Raya, acara rumah terbuka juga dijadikan sebahagian daripada kempen menjelang pilihan raya. Ini dapat dilihat apabila sebuah stesen televisyen membuat liputan terhadap rumah terbuka perdana menteri.
Kehadiran bilangan besar orang ramai dalam majlis itu dinyatakan sebagai bukti sokongan rakyat kepada perdana menteri. Ia merupakan kempen menjelang pilihan raya pada Hari Raya.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.