Nasib umat Islam di Barat seperti Yahudi era Nazi
Selepas pelbagai serangan ganas dilakukan umat Islam, mereka kini menjadi mangsa rasisme dalam gerakan yang mahukan ‘penyelesaian terakhir’.
Rumah itu diduduki keluarga Islam, seorang bapa kepada 3 orang kanak-kanak. Dia sedang membuat kerja renovasi apabila beberapa orang lelaki mencoroboh masuk. Mereka memukulnya sehingga pengsan. Bukan itu sahaja – mereka juga menulis grafiti di dindingnya. Grafiti ini berbunyi “Pakis out. We need a final solution”.
“Paki” ialah nama cemuhan untuk orang Asia selatan (Pakistan, India dan Bangladesh) dan “final solution” (penyelesaian terakhir) adalah frasa kontroversial dicetuskan komentar susulan serangan pengganas di Manchester bulan lepas.
Pemberi komentar itu mengatakan perlu ada “final solution”, frasa yang digunakan rejim Nazi ke atas orang Yahudi.
Implikasinya ialah orang Islam patut dilenyapkan dengan total (mungkin daripada Britain ataupun secara global).
Serangan di atas ialah serangan pertama melibatkan pencerobohan ke dalam rumah kediaman. Selalunya serangan dilakukan di masjid menggunakan grafiti, daging khinzir dan sebagainya ataupun serangan ke atas orang-orang Islam di luar rumah.
Tetapi sekarang, tahap baru sudah dicapai. Mungkin inilah masa umat Islam bangun dan menyedari yang nasib mereka sudah berubah.
Arus geopolitik sememangnya berubah. Presiden Donald Trump, seorang yang tidak segan silu menggunakan Islamofobia untuk melonjakkan dirinya ke White House, menebalkan perasaan benci terhadap umat Islam.
Akan tetapi, Trump sendiri ahli politik yang lick. Selepas percubaan mengharamkan kemasukan orang Islam dari beberapa negara, Trump membuat lawatan ke Arab Saudi untuk menjual senjata bernilai AS$100 bilion!
Trump sebenarnya tidak beriman kepada apa-apa kecuali wang. Masalahnya, penyokongnya yang kuat “beriman” itu jahat.
Dalam pada itu, sentimen mengenai umat Islam kian teruk. Mac lepas, berlaku serangan di Westminster, kawasan Parlimen di London. Seorang fanatik Islam merempuh keretanya ke arah pelancong, sebelum menikam mereka.
Bulan lepas, berlaku serangan di Manchester di mana seorang teroris keturunan Libya membunuh lebih 20 orang di konsert Ariana Grande. Inilah serangan yang mengakibatkan pemberi komentar itu menyeru kepada “final solution”.
Tetapi semacam serangan tak berkesudahan, di London Bridge pula berlaku serangan di mana 8 orang terbunuh dan berpuluh orang cedera. Serangan ini berlaku hanya 3 minggu yang lepas.
Walaupun saya sering mengkritik umat Islam kerana sikap acuh tak acuh mereka, saya dengan bangganya mengakui mereka menangani situasi terrorime dengan amat baik. Semasa serangan di Westminster, kedai milik orang Islam memberi makan minum kepada orang yang mengalami serangan itu. Pemandu teksi Islam pula membawa penumpang secara percuma semasa serang teroris di Manchester. Restoran kepunyaan orang Islam pula memberi makanan percuma kepada petugas seperti polis dan ambulans.
Namun, semua faktor di atas tidak dapat menghalang hakikat yang serangan terorisme sekarang berlaku ke atas umat Islam sendiri, seperti di Finsbury Park, London.
Imam yang menghalang umat Islam yang mahu menyerang lelaki yang merempuh van putihnya patut dipuji. Dia melindungi pemandu itu sementara menunggu ketibaan pihak polis.
Sebab utama sentimen Islamofobia meningkat dan serangan teroris berlaku ialah propaganda Islamofobia. Seperti yang saya katakan, Islamofobia itu satu industri.
Perlu ingat, Islamofobia tidak sama dengan kritikan terhadap Islam. Bezanya ialah kritikan terhadap Islam itu mengambil kira keluasan dalam perbezaan pendapat dalam tradisi ilmu Islam.
Penganut Islamofobia mungkin tidak cukup ilmu untuk memahami keluasan ini atau mungkin sengaja mahu menyembunyikan hakikat ini kerana ia tidak menyokong hasrat sebenar mereka.
Itulah peranan umat Islam sebenarnya. Bukan berolok-olok buat baik untuk menyelamatkan diri dan imej Islam! Tetapi hanya untuk menegakkan prinsip Islam. Buatlah baik kepada jiran, fakir miskin, anak yatim tanpa mengira bangsa dan agama. Ini sememangnya tuntutan Al-Quran tetapi sering dibelakangkan sementara kita terlalu taksub kepada ritual.
Minggu lepas, seroang tokong rasis kulit putih, Tommy Robinson muncul di kaca TV Britain dalam sebuah program ala “Malaysia Hari Ini” dan mengatakan bahawa Al-Quran itu buku jahat dan mempunyai lebih 100 ayat yang menyuruh orang Islam membunuh bukan Islam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Dakwaan ini merepek sahaja dan hos program itu menyanggah Tommy dengan keras. Namun, saya tertanya, berapa lama sebelum masyarakat umum yang sering mengalami serangan teroris akan mengubah pendapat? Wajarlah umat Islam bangkit sekarang.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.