Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Tugas terbesar Dr Mahathir di waktu ‘kecederaan’

July 16, 2017

Tugas terbesar Dr Mahathir perlu pembelaan. Bercakap dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang percaya keada metos, bukan hal yang mudah.

KOMEN

mahathir-rakyata

Oleh Mahdzir Ibrahim

Kita sudah melihat formasi pasukan Pakatan Harapan (PH) yang telah dipersetujui bersama oleh pimpinan tertinggi parti-parti oposisi dalam mempersiapkan pasukan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada bila-bila masa mulai sekarang. Selesai satu hal.

Kelebihan atau kekurangannya akan kita hadapi bersama selepas ini. Tidak akan ada benda yang sempurna, hanya ‘harapan’ yang masih terus bulat di hati rakyat.

Saya juga telah meneliti kerangka kerja sasaran 100 hari yang akan dilaksanakan jika mendapat mandat dari rakyat menggantikan kerajaan kleptokrasi Datuk Seri Najib Razak.

Saya kira rangka kerja 100 ini adalah asas yang cukup jelas dan cukup besar maknanya. Namun, tugas paling besar dan mencabar adalah peranan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu untuk memecahkan taboo pemikiran orang Melayu daripada ketakutan kepada berani, yakin dan melakukan perubahan.

Pada hakikatnya tugas itu digalas oleh semua pemimpin, bukan Dr Mahathir seorang saja.

Sebaliknya, apa yang saya maksudkan ialah bagaimana Dr Mahathir sebagai seorang tokoh yang suatu ketika dahulu, sebagai perdana menteri yang paling lama berkuasa dan sebagai presiden untuk 2 parti (Umno 46 dan Umno Baru ) telah membina tembok-tembok hagemoni ketakutan kepada rakyat khususnya orang Melayu, untuk bukan sahaja mengekalkan status quo kuasa partinya tetapi membina pemikiran yang percaya bahawa Umno adalah tiang seri kuasa politik orang Melayu.

Itulah maksud saya.

Di sebalik misi besar 100 hari selepas mengambil alih kuasa kerajaan kleptokrasi Najib, tugas memecah ketakutan orang Melayu inilah tugas terbesar bagi Dr Mahathir khususnya, ketika ini.

Dalam berdepan dengan hakikat pemikiran orang Melayu yang ditanamnya selama ini, Dr Mahathir pastinya akan berdepan tugas getir yang bukan semua pemimpin sanggup dan mampu melaksanakannya.

Beliau sewaktu berkuasa telah mencipta banyak undang-undang yang menyekat kebebasan dengan maksud untuk menghalang apa-apa perubahan politik, di dalam Umno mahupun di luar Umno.

Jika Dr Mahathir diibaratkan seorang warden yang berkuasa, suatu waktu dahulu beliau membina, memasukkan, mengunci sel dan memenjarakan rakyatnya. Kini beliau perlu berusaha membuka kembali kunci sel itu, malah beliau perlu mengajak rakyatnya agar keluar membebaskan diri mereka.

Saya kira tidak ada buku manual atau buku panduan untuk keadaan ini. Ia tergantung kepada kebolehan unik Dr Mahathir untuk melakukannya.

Apa yang ada di tangannya ketika ini, baik skandal 1MDB, kesan GST, masalah FGV dan Felda, mungkin hanya akan menjadi isu-isu yang boleh menggegar perhatian orang Melayu, tetapi ia mungkin belum cukup untuk menjadi kunci membebaskan taboo ketakutan yang telah tertanam dibenak orang Malayu sejak sekian lama.

Kini, beliau sebagai salah seorang tokoh pembangkang yang berada di saf paling depan akan bersemuka bukan sahaja dengan Umno, malah beliau akan berdepan dengan metos pemikiran orang Melayu ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa obor reformasi dengan lenggok gaya dan strateginya, namun belum cukup ampuh mengubah metos tersebut.

Begitu juga dengan kempen Ubah, belum berupaya memecah taboo tersebut. Malah, ada yang berpendapat pakej ‘ubah’ ini juga membawa ton nada yang negatif, ia jadi senjata makan tuan apatah lagi DAP dilihat terkehadapan berkempen.

Justeru, adakah pakej-pakej yang sama ini, jika dibawa oleh Dr Mahathir dengan gaya bahasa dan strateginya akan mampu menjadi sebab metos tersebut pecah? Atau adakah kita perlu merangka naratif baru bersama Dr Mahathir untuk mencapai maksud tersebut? Kita belum tahu.

Saya tidak dapat menganalisis pemikiran Dr Mahathir yang sangat berpengalaman luas dan licik berpolitik. Tetapi apa yang kita semua boleh jangka ialah Dr Mahathir tidak akan mudah berundur dari hajatnya.

Dahulu, beliau berhajat untuk mengekalkan Umno di tampuk kuasa dan beliau mengotakan kata-katanya hingga setelah Umno dan negera dirampas oleh rejim kleptokrasi Najib.

Dan pada hari ini, hajat beliau yang baharu ialah menghumban Najib dan Umno dari Putrajaya. Saya yakin hajat beliau ini juga akan dikotakannya. Soal berjaya atau tidak, kita belum tahu.

Politik, akhirnya tentang berkongsi hajat dan musuh yang sama.

Tugas berat Dr Mahathir ini sudah semestinya memerlukan sokongan rakan-rakan gabungan PH.

Adakah rakan-rakan Dr Mahathir yang baharu ini memahami naratif politik ini? Sebelum mengizinkan politik pembangkang diolah kembali agar kunci perubahan pemikiran orang Melayu dapat dibuka hingga perubahan politik dapat berlaku.

Jika ini sebuah perlawanan bola sepak, kita sedang berada di waktu kecederaan.

Bagi Dr Mahathir, barangkali inilah detik terakhir dan paling penting dalam karier politiknya. Ini mungkin menjadi ‘momen’ bagaimana beliau dapat membantu meluruskan kembali naratif politik kita.

Bagi Anwar, ini juga adalah waktu terakhir beliau menyumbang semangat dan sisa-sisa karismanya untuk membuat perubahan politik.

Bagi Lim Kit Siang, saya kira ini juga akan menjadi titik penting bagi beliau dalam usahanya puluhan tahunnya untuk menjadikan DAP sebagai parti bagi semua kaum di Malaysia dalam naratif kewujudan sebuah Negara Bangsa.

Kita belum menang. Tugas terbesar Dr Mahathir perlu pembelaan. Bercakap dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang percaya keada metos, bukan hal yang mudah.

Mahdzir Ibrahim adalah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments