Syabas, Pulau Pinang hargai jasa Pak Samad
Kalau Rusia ada Tolstoy, Pasternak dan Nabokov Malaysia juga perlu ramai lagi sasterawan seperti Pak Samad untuk membersihkan udara kotor yang menyelimut diri kita hari ini.
Oleh Datuk Zaid Ibrahim
Saya mengalu-alukan usaha kerajaan negeri Pulau Pinang yang memberi penghormatan yang tepat kepada Sasterawan Negara Pak Samad Said dengan menganugerahkan pingat kebesaran Darjah Gemilang Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato Seri sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-79 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Anugerah yang diberi kepada sasterawan negara kerana jasa dan kebolehannya jarang sekali dibuat.
Lazimnya anugerah diberi kapada mereka yang memegang jawatan-jawatan tinggi dalam kerajaaan dan juga jawatan politik dalam parti yang memerintah. Pak Samad sudah tentunya dihormati kerana jasa beliau kepada dunia sastera dan penglibatannya yang aktif dalam mencari keadilan sosial di negara ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kerana peka dan prihatin terhadap jasa dan kebolehan luar biasa Pak Samad
Penulis novel dan penyair Melayu yang serius bertaraf antarabangsa, yang juga ingin melihat demokrasi bertapak makin sehari makin berkurangan.
Tidak ada lagi Shahnon Ahmad, Keris Mas, Aziz Ishak pada hari ini. Hari ini ramai “intelek dan akademik ” Melayu mencari jalan mudah untuk menjadi terkenal di kalangan masyarakat. Ahli akademik dan penulis lebih berminat menjadi penyokong dan pengampu pemimpin tertentu dengan harapan mendapat liputan di media arus perdana serta pengiktirafan dan pangkat dari pemerintah.
Akhirnya mereka menjadi penulis, penyair dan pengkritik murahan tanpa mengeluarkan apa-apa hasil yang bermutu.
Mereka lebih rela menjadi golongan “mediocre” asalkan dapat publisiti segera walaupun tidak berkekalan.
Pak Samad adalah penulis dan penyair yang banyak mengeluarkan hasil yang bermutu, yang menjadi bacaan di seluruh nusantara. Salina (1961) adalah novelnya yang termasyur walaupun agak sukar dibaca. Salina menggambarkan pertindihan dan konflik hidup seorang wanita Melayu di Singapura selepas Perang Dunia Kedua.
Tekanan kemiskinan dalam kehidupan seharian dan dilema mencari panduan hidup “bermoral” dan menjaga maruah diri dalam masa yang sama amat sukar sekali.
Kegigihan peribadi dan harga diri menjadi penyelamat akhirnya. Inilah jenis buku dan asuhan yang patut ditawarkan kepada anak-anak Melayu dan rakyat Malaysia umumnya pada masa ini.
Sayang sekali di sebuah negara yang tidak tahu membezakan putih dan hitam ini, beberapa kerat sahaja dari mereka yang membaca buku-buku karya Pak Samad. Realiti dunia tidak lagi menjadi perkara yang penting untuk mereka halusi dan atasi segala kemungkaran, tetapi lebih suka berfoya dan mendengar ajaran dan nasihat yang tidak ada guna bagi kebaikan kehidupan harian. Mereka lebih seronok mendengar omong kosong dari mereka yang pandai bercerita.
Dengan berlakunya pertukaran kerajaan selepas pilihan raya kali ini, kita berharap penulis novel dan golongan akademik yang serius dapat berkembang semula.
Nadi dan nyawa sesebuah masyarakat dan negara bergantung kepada penulis yang tulin, di mana mereka tidak disekat oleh propaganda, upahan dan tekanan politik untuk mereka mencipta dan terus bersuara. Rakyat memerlukan nafas baru yang membawa kepada perubahan. Kalau Rusia ada Tolstoy, Pasternak dan Nabokov Malaysia juga perlu ramai lagi sasterawan seperti Pak Samad untuk membersihkan udara kotor yang menyelimut diri kita hari ini.
Datuk Zaid Ibrahim merupakan bekas menteri Kabinet.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.