Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Penyanyi Aliff Aziz perlu belajar daripada Dr M, Anwar

August 2, 2017

Aristotle pernah menyifatkan kita semua binatang yang berpolitik, maka secara lumrah seorang manusia harus berpolitik dan berfikir secara binatang untuk berdepan dengannya.

KOMEN

alif-aziz

Oleh Jefry Musa

Ketika tulisan ini ditulis, saya baru sahaja membaca satu laporan berita menceritakan bagaimana deritanya kehidupan seorang lelaki yang menerima lebih 7 ribu mesej memaki hamunnya kerana dianggap Aliff Aziz. Tujuh ribu tuan-tuan dan puan-puan, ini satu tanda solidariti dan kepedulian yang tinggi rakyat negara kita untuk membela Bella Astillah.

Kita seolah-olah dapat merasakan bagaimana sakitnya hati seorang isteri yang belum habis pantang mengetahui suaminya mempunyai kekasih gelap. Kita seperti dapat membayangkan setiap daya pukulan yang dilepaskan Aliff kepada isterinya ketika ditangkap bersama kekasih gelapnya.

Mungkin ada di antara kita merasakan bercerita atau bergosip tentang kehidupan rumah tangga selebriti ini perkara yang sia-sia, tidak mendatangkan faedah, tidak boleh membangunkan negara. Anak muda yang “cool” harus ambil tahu hal politik, turun ke jalan raya atau menggelar dirinya aktivis masyarakat.

Aristotle pernah menyifatkan kita semua binatang yang berpolitik, maka secara lumrah seorang manusia harus berpolitik dan berfikir secara binatang untuk berdepan dengannya.

Maka mengambil tahu hal selebriti ini merupakan satu aktiviti yang masih tidak cukup kebinatangan. Lihatlah bagaimana Aliff menyelesaikan konflik di antara isterinya, sangat tidak cukup sifat kebinatangan!

Selepas dibebaskan dari lokap polis, dia memohon maaf kepada isteri dan peminat yang sedang marah. Sangat tidak “cool”, ini bukan sifat binatang, binatang tidak memohon maaf. Binatang ketika menguasai sesebuah kawasan, membunuh satu sama lain, tidak pernah binatang memohon maaf untuk apa yang ia lakukan, apatah lagi dihukum.

Untuk gambaran lebih jelas, mari kita lihat peristiwa yang berlaku 20 tahun dahulu di negara kita. Peristiwa yang diberi nama reformasi, gerakan menuntut satu pembelaan yang adil kepada tokoh politik tanah air kita, Anwar Ibrahim.

Tidak perlu saya bercerita panjang tentang kisah ini, saya yakin kita semua, walaupun daripada generasi “raver” tahu tentang gerakan bersejarah ini. Gerakan ini buat pertama kalinya berjaya memaksa rakyat turun ke jalan mengadakan satu protes terpanjang dalam sejarah Malaysia ketika itu.

Kita dapat merasai bagaimana sakitnya dipukul apabila melihat risalah yang memaparkan mata Anwar lebam dipukul ketika di dalam tahanan polis. Kita menangis melihat wajah anak dan isteri Anwar yang tabah menghadapi fitnah memalukan itu.

Maka hampir 100,000 orang yang turun ke jalan raya memaki hamun perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Rakyat disambut dengan meriam air, gas pemedih mata, dipukul dan ramai juga yang ditahan polis.

Situasi ini sama dengan apa yang dihadapi Aliff, namun yang membezakan Aliff dengan Dr Mahathir adalah ketidakbinatangan. Jika Aliff dan isterinya cakna politik, membaca banyak buku politik dan berkelakuan seperti binatang, maka tidak perlu memohon maaf dan disumbat ke dalam penjara.

Contohi kisah romantis Mahathir dan Anwar yang hanya menunjuk muka di mahkamah dan bersalaman, maka kisah 20 tahun itu semuanya berakhir menjadi “luka kecil”.

Inilah sikap binatang ketika berkuasa dan ketika tidak berkuasa. Jika kita tidak berjiwa binatang, kita tidak akan faham perjalanan kisah romantis ini. Kita akan dianggap tidak beradab binatang, kita akan dianggap “pseudowarrior”. Kepada Bella pula, belajarlah dengan orang politik ini untuk menjadi binatang, baru boleh dianggap berguna dan bijaksana.

Dalam politik binatang ini hanya ada dua, berkuasa dan tidak berkuasa. Sifat, etika, adab manusia itu hanya khayalan, berpegang kepada prinsip itu hanya mitos yang dicipta dukun. Hakikatnya kita hanya binatang, baru dikatakan pejuang.

Jefry Musa ialah aktivis mahasiswa.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments