Tiba-tiba buku itu diharamkan!
Apakah sebenarnya kandungan buku G25 yang menyinggung perasaan golongan konservatif?
Dua tahun lalu, apabila buku “Breaking the Silence: Voices of Moderation: Islam in a Consititutional Democracy” diterbitkan kumpulan G25, ia mendapat reaksi negatif daripada golongan konservatif Islam.
Salah satu daripada reaksi negatif ini datang daripada Utusan Malaysia.
Seperti yang dijangkakan, pengulas tidak bersetuju langsung dengan pandangan dalam buku itu.
Pandangan saya sendiri, di mana saya menjelaskan pluralisme agama selari dengan Al-Quran, dianggap “agak serius” oleh penguluas tetapi tidak satu pun jawapan diberikan untuk menyanggah pandangan tersebut.
Inilah masalah dengan segelintir umat Islam di Malaysia. Tahap pemikiran amat cetek tetapi tahap pengharaman amat tinggi.
Pepatah Inggeris mengatakan, “timing is everything”. Buku G25 yang selama ini ada di pasaran tidak membawa sebarang masalah pun. Tetapi, 2 tahun selepas diterbitkan, tiba-tiba ia diharamkan pula!
Ada yang tak kena di sini, rasanya. Situasi ini tidak berbeza dengan komen pensyarah Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusoff terhadap buku pemimpin DAP, Hannah Yeoh, “Becoming Hannah”.
Beberapa bulan yang lalu, Kamarul mendakwa kononnya buku Hannah boleh mengancam keimanan umat Islam. Tetapi, “timing is everything”. Buku Hannah diterbitkan 3 tahun lalu. Kenapa hanya sekarang Kamarul buat kecoh? Samalah juga dengan kes buku G25.
Wasatiyah
Apakah sebabnya buku G25 diharamkan? Kalau hendak diukur dari segi isi kandungannya, buku ini menggesa ke arah kesederhanaan, atau dalam bahasa Arab yang trending, “wasatiyyah”. Istilah ini digunakan menteri sendiri, jadi mengapa tidak boleh disarankan oleh G25?
Mungkin sebab sebenar pengharaman buku ini ialah kerana kerajaan mahu menaikkan imejnya di mata golongan Islam konservatif. Kumpulan G25 dilekatkan dengan label “liberal” iaitu suatu tohmahan dalam kamus Melayu Islam, maka dengan mengharamkan buku mereka, kerajaan boleh memenangi hati golongan konservatif Islam.
Walaupun mungkin benar yang kerajaan dapat memenangi sokongan golongan konservatif, namun mereka lupa bahawa menyekat pengedaran sesebuah teks tidak mungkin boleh dilakukan.
Kalau zaman sebelum internet pun susah, apatah lagi sekarang. Teringat saya buku Kassim Ahmad, “Hadis: Satu Penilaian Semula” yang diharamkan sejurus selepas ia diterbitkan pada 1986. Saya mendapat senaskhah buku itu dalam bentuk fotostat lebih 10 tahun kemudian.
Itu dulu! Sekarang ini hanya perlu mengambil PDF-nya sahaja. Dalam beberapa saat, fail PDF itu boleh dihantar ke serata dunia. Jadi pengharaman ini mungkin akan menaikkan populariti buku ini!
Apa dibincangkan buku itu
Apakah kandungan buku G25 yang menyinggung perasaan golongan konservatif? Saya sendiri tidak begitu faham kerana semua karangan dalam buku itu adalah bersifat positif terhadap Perlembagaan Persekutuan dalam konteks status Islam.
Bukankah ini sepatutnya matlamat rakyat Malaysia, iaitu untuk memelihara perlembagaan negara?
Kandungan buku G25 terbahagi kepada beberapa bahagian. Prakata oleh bekas perdana menteri, Tun Abdullah Badawi memuji konsep buku ini.
Bahagian pertama ialah mengenai undang-undang, hak dan prinsip dan bagaimana ketiga-tiga beroperasi dalam negara moden dan demokratik. Dalam bahagian ini, kita boleh mengenali maqasid (tujuan utama) syariah, prinsip keadilan dalam Al-Quran dan juga posisi mahkamah syariah dalam sistem perundangan Malaysia. Maklumat ini amatlah penting untuk memahami bagaimana ekstremisme boleh membiak di negara kita jika kita tidak berhati-hati.
Dalam bahagian kedua, kita boleh mengenali dimensi sosio-politik dalam masalah ini. Persoalan sama ada Islam boleh berfungsi dalam suasana negara sekular dibincangkan.
Karangan saya membincangkan pluralisme dalam Islam. Saya berpendapat, apabila Al-Quran mengiktiraf “Islam” sebagai “ad-din”, ia merujuk kepada prinsip kedamaian dalam semua agama dan bukannya hanya terhad kepada agama Islam.
Bahagian ketiga dan terakhir pula membincangkan implikasi budaya dan ekonomi. Persoalan utama ialah siapa itu Melayu sebagai kaum majoriti dalam negara kita dan juga kaum yang selalu disamakan dengan orang Islam. Isu wanita dan bagaimana mereka boleh membangun dan mencapai kesaksamaan juga dibincangkan.
Hala tuju puak konservatif
Kalau pun ide-ide dalam buku G25 tidak menepati Islam pada hemah golongan konservatif, adakah patut ia diharamkan begitu sahaja? Mengapa tidak diadakan debat dengan G25 sendiri? Sudah tentu ramai meminati topik ini. Debat ini boleh membabitkan isu seperti bagaimana Islam boleh berfungsi dalam sebuah masyarakat majmuk. Saya sendiri amat meminati untuk mengetahui bagaimana golongan konservatif boleh merealisasikan Islam versi mereka dalam rangkai kerja Perlembagaan Persekutuan.
Sebenarnya, tiada jalan kompromi jika mereka mahu menunaikan hajat mereka seperti yang dilaungkan PAS, umpamanya. Dalam teori Islam politik yang klasik, kalau institusi dan undang-undang Islam tidak wujud 100%, negara tidak boleh dianggap dawlah Islamiyah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mungkin inilah sebabnya golongan konservatif marah kepada G25, kerana mereka sebenarnya menunjukkan had Islam konservatif dalam negara seperti Malaysia. Mungkinkah ini sebabnya buku G25 diharamkan?