Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Apabila Melayu tak percaya Tuhan

 | August 9, 2017

Ada golongan ateis berkata mereka tidak dapat menerima beberapa unsur kontroversial dalam sejarah dan kepercayaan Islam, tetapi ia gagal dijelaskan agamawan yang berpaut ulama silam.

KOMEN

atheist-republic-gathering-malaysia-ramaiSiasat, banteras, bunuh. Inilah antara reaksi di media sosial berkenaan gambar sekumpulan ateis yang diviralkan baru-baru ini.

Gambar itu memaparkan sekumpulan pemuda menyifatkan diri mereka sebagai ateis dan bekas penganut Islam.

Apa yang menaikkan kemarahan sesetengah pihak ialah gambar itu termasuk kaum mereka sendiri, iaitu orang Melayu.

Mengapa terkejut sangat? Dalam 20 juta orang Melayu, adakah kita benar-benar mengjangkakan yang kesemua mereka menganut agama Islam versi Sunnah Wal Jamaah? Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Mengikut satu laporan sebelum ini, sudah hampir 1 juta orang Melayu menganut aliran Syiah. Mungkin lebih banyak yang mengikut ajaran Wahabi yang diwartakan haram tidak lama dulu. Tetapi Wahabi lagi lincah. Mereka melabel diri mereka “ahlus sunnah” jadi mereka lebih sukar dibuktikan Wahabi.

Ramai juga Melayu yang dikatakan murtad dan masuk agama lain sejak dari dulu lagi. Termasuklah Lina Joy, Juli Jalalludin dan Nor Aishah Bokhari.

Namun begitu, banyak Melayu-Islam di media sosial teramat marah dan mengadu kepada pihak berkuasa tentang perkara ini. Justeru itu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berjanji menjalankan siasatan sama ada orang Melayu terbabit.

Persoalannya, jika wujud pun, apakah tindakan yang patut diambil dan apakah tujuan tindakan itu?

Jika ditanya kepada pihak berkuasa, mereka akan menyeru golongan murtad itu dibawa kembali ke jalan yang benar, ntuk menyelamatkan akidah mereka.

Iman tak dilihat

Di sini perlu kita tanya, bagaimanakah kita dapat mengukur keimanan seseorang itu? Perlu diingat, iman sesuatu yang batin, ia tidak dapat dilihat.

Bagaimana kita tahu yang orang mengaku beriman itu benar-benar beriman? Bagaimana kita tahu yang imam, bilal, tok siak dan sebagainya benar-benar beriman? Mungkin mereka hanya menjalankan tugas untuk mendapat gaji sahaja, siapa tahu?

Begitu juga dengan golongan ateis. Mereka mungkin sudah tidak mengalami atau merasai keimanan lagi. Jika begitu, tiada siapa pun yang boleh memaksa mereka untuk mempercayai.

Tuhan sendiri memberitahu Nabi Muhammad yang baginda tidak berhak memaksa manusia untuk beriman. Mereka wajar menggunakan akal masing-masing untuk memutuskan sama ada mahu beriman atau tidak (Al-Quran, Surah Yunus, 99-100).

Jika Nabi Muhammad sendiri diberitahu supaya tidak memaksa orang, mengapa tidak jabatan berkuasa yang memperjuangkan nilai Islam tidak mahu mengikut Sunnah ini? Dalam kes ini, ironiknya mereka lebih mahu mengikut sunnah Firaun yang mahu membunuh orang yang menukar agama kepada Islam.

Mendalami golongan ateis

Kita wajar bertanya mengapa golongan ateis memilih jalan itu. Saya banyak mengenali golongan ateis daripada latar belakang Islam di UK. Mereka berketurunan Pakistan, Bangladesh dan Somalia.

Sebab yang sering saya dengar mengapa mereka memilih jalan itu ialah trauma disebabkan keluarganya sendiri. Ateis wanita yang selama ini dipaksa hidup mengikut peraturan tertentu akan memberontak dan meninggalkan agama.

Mana tidaknya, mereka dipenjarakan di rumah dan tidak dibenarkan bercampur gaul dengan rakan sebaya. Bukan saja itu, mereka tidak dibenarkan berkawan langsung dengan lelaki dan akan dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali daripada negara asal. Jadi mereka memberontak dan meninggalkan agama yang diperalatkan untuk mengawal mereka.

Ada juga golongan ateis bekas Islam yang mengkaji tentang agama Islam dan tidak dapat setuju dengan versi Islam yang mereka kaji. Hukum yang amat kejam dan bukan daripada Al-Quran ditolak kerana mereka tidak dapat menerima yang Tuhan memberi hukum sebegini.

Mereka juga tidak dapat menerima sirah Nabi Muhammad yang mengandungi unsur kontroversial. Contohnya, Nabi Muhammad berkahwin Aishah ketika umurnya hanya 6 tahun dan menidurinya ketika hanya 9 tahun. Walaupun ada banyak versi umur Aishah, golongan ateis tidak diberitahu ulama yang hanya pandai mengulang tanpa berfikir.

Mungkin fenomena paling ketara yang membawa fokus masyarakat kepada golongan ateis bekas Islam ialah kegansan melibatkan umat Islam. Keganasan yang dilakukan atas nama agama memaksa orang Islam menyoal agama mereka sendiri.

Kegagalan agamawan

Bagi saya, jawapannya amat jelas – Al-Quran tidak mengajar keganasan. Peperangan dibenarkan hanya untuk mempertahankan diri dan juga orang tertindas.

Tetapi jika seseorang itu tidak begitu mengenali sumber Islam dan perbincangan tentang isu ini, amatlah mudah untuk dia mendapat persepsi yang Islam sendiri mengajar keganasan.

Bukan itu sahaja, tetapi golongan agamawan amatlah liat mempersoalkan pendapat ulama silam, terdahulu dan menjalankan reformasi agama. Unsur keganasan dalam tradisi ilmu Islam tidak mahu dipadamkan walaupun mereka hanya pendapat manusia.

Sebenarnya, kewujudan ateis Melayu adalah petanda untuk kita. Walaupun kita tidak berhak untuk menghalang mereka, namun kehadiran mereka ialah petanda untuk kita menjalankan muhasabah diri dan jika ada kekurangan, eloklah kita baiki. Itulah sebenarnya yang dituntut Allah.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments