Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hati-hati pilih penganjur ibadah korban luar negara

August 9, 2017

Ada pihak tidak bertanggungjawab menipu atau mengambil kesempatan terhadap umat Islam yang teruja dengan pelaksanaan ibadah korban di luar negara.

KOMEN

korban_600

Oleh Salkukhairi Abd Sukor

Akhir-akhir ini banyak pihak menganjurkan ibadah korban di luar negara.

Mereka menawarkan perlaksanaan ibadah korban dengan harga lebih rendah untuk 1 bahagian binatang korban berbanding dengan harga yang dilaksanakan di Malaysia.

Ini memberi alternatif kepada mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan untuk turut serta melaksanakan ibadah korban tersebut.

Namun saya ingin memberi peringatan kepada semua, dalam kerancakan pihak penganjur menganjurkan ibadah korban di luar negara, elok kita berhati-hati sebelum bersetuju mewakilkan mereka melaksanakan ibadah tersebut.

Saya bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab cuba menipu atau mengambil kesempatan terhadap umat Islam yang teruja dengan pakej tersebut.

Kalau dalam ibadah umrah pun ramai yang tertipu dengan pakej umrah yang murah yang ditawarkan oleh ejen umrah “haram”, tidak mustahil perkara yang sama boleh terjadi dalam ibadah korban ini.

Hari ini orang sanggup menggunakan imej dan nama agama untuk menipu dan mengambil kesempatan ke atas keterujaan umat Islam dalam melaksanakan sesuatu ibadah.

Asalkan boleh buat duit, soal halal haram ditolak ke tepi.

Langkah berhati-hati yang mungkin boleh diambil sebelum anda membuat keputusan menyertai ibadah korban luar negara adalah:

  1. Pastikan badan atau organisasi yang menganjurkannya adalah entiti yang berdaftar dari segi undang-undang, sama ada sebagai pertubuhan, syarikat atau perbadanan. Elakkan penganjur individu terutamanya yang tidak dikenali.
  2. Semak pengalaman dan kemahiran penganjur dalam mengendalikan program. Adakah mereka sebelum ini pernah menganjurkannya atau kali pertama. Sebaik-baiknya cari penganjur yang berpengalaman dan terbukti mempunyai rekod yang baik, termasuk selok belok perlaksanaan ibadah tersebut di sesebuah negara.
  3. Jangan percaya bulat-bulat pada iklan, pamplet dan promosi yang dibuat di internet atau yang diedarkan di masjid. Sebaik-baiknya buat kajian tentang penganjur dan bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman tentang perlaksanaan ibadah tersebut.
  4. Pastikan ada dokumen hitam putih sebagai akad bertulis sebelum anda menyerahkan wang kepada penganjur. Simpan segala bukti bayaran yang dibuat sebagai rekod. Jika anda berkomunikasi secara online, pastikan anda simpan dan “screen shot” setiap komunikasi itu.
  5. Dapatkan maklumat terperinci tentang perlaksanaan ibadah tersebut daripada penganjur, misalnya di mana ia akan dilaksanakan, berapa ramai tenaga kerja yang terlibat, tarikh ia akan dilaksanakan, siapa “person in charge” untuk urusan tersebut dan sebagainya. Sebaik-baiknya rekodkan semua maklumat tersebut secara bertulis atau rakaman suara dan sebagainya.
  6. Saya menyarankan kerajaan membuat peraturan mewajibkan penganjur berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkenaan dan mereka ini diberikan lesen khas untuk melaksanakannya, seperti peraturan yang dibuat kepada agensi yang menawarkan pakej umrah kepada umat Islam sebelum ini.

Ini bertujuan untuk memastikan hanya pihak yang sah dan berkelayakan sahaja dibenarkan menganjurkan ibadah korban tersebut. Ia sebagai langkah pemantauan supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas umat Islam.

Langkah-langkah ini bukan berniat menakut-nakutkan umat Islam atau menyekat dan menyusahkan pihak yang ingin menganjurkannya, ia sekadar peringatan kepada orang awam agar lebih berhati-hati dengan mengambil langkah yang sewajarnya.

Salkukhairi Abd Sukor Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments