Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pelampau halal, apartheid dan kafir

 | August 16, 2017

Seperti label 'goyim' digunakan Yahudi ke atas mereka yang bukan Yahudi, umat Islam kini gemar menggunakan label 'kafir' ke atas bukan Islam.

KOMEN

Cawan-bukan-islam,-non-muslim-cup

Waktu saya di bangku sekolah 3 dekad lalu, satu perkara yang masih jelas dalam ingatan ialah penekanan Malaysia sebagai masyarakat majmuk.

Pelbagai bangsa dan agama wujud di Malaysia dan hakikkat ini adalah satu perkara positif, bukan sebaliknya.

Ia juga ditonjolkan dalam persahabatan di kalangan kami. Kami berkawan dengan semua tak kira bangsa dan agama. Ustaz dan ustazah juga, seingat saya, tidak pernah mengata agama lain atau menggalakkan kami supaya hanya berkawan di kalangan orang Islam sahaja. Dalam erti kata lain, apartheid belum wujud di Malaysia.

Insiden berlaku minggu lalu di sebuah sekolah di Hulu Langat amat membimbangkan. Laporan mendedahkan polisi sekolah itu mengasingkan cawan untuk murid Islam dan bukan Islam.

Seluruh Malaysia melahirkan rasa marah mereka terhadap sekolah tersebut. Mana tidaknya, ia mengaibkan orang bukan Islam. Kita sebenarnya menghina mereka kerana mengamalkan dasar yang menonjolkan mereka seolah-olah kurang suci.

Di sini kita patut bertanya, adakah kita terkejut insiden sebegini berlaku? Saya tidak terkejut langsung.

Suasana di negara kita sudah begitu cenderung kepada polisi sebegini. Pengasingan cawan ini bukannya biji yang bercambah menjadi pokok, ia sebenarnya buah yang dituai setelah pokok membesar!

Bagaimana mentaliti yang boleh menzahirkan polisi sebegini? Mentaliti bahawa kepercayaan kita sahaja yang benar dan walhal agama orang lain salah. Ini adalah mentaliti ala Wahabi yang telah meresap ke negara ini.

Mentaliti apartheid

Salah satu hadis yang amat digemari golongan ini ialah hadis tentang 73 kelompok Islam di mana hanya satu akan selamat di akhirat. Sudah tentu golongan itu adalah mereka sendiri!

Pembaca mungkin tertanya mengapa saya menyebut hadis ini. Apa kena mengena hadis ini dengan mentaliti apartheid?

Cuba kita fikirkan – apartheid ialah polisi pemisahan (daripada perkataan “apart” dalam bahasa Inggeris iaitu berpisah) dan dengan hadis ini, kita memisahkan diri daripada golongan lain, walaupun golongan itu mungkin seagama dengan kita.

Kita menganggap diri kita terselamat tetapi mereka tidak. Sebenarnya, inilah sebab mengapa ada umat Islam mendirikan solat dengan imam sendiri dan bukan dengan imam masjid.

Dengan mentaliti ini, kita akan tentu menganggap orang lain sebagai “kafir”. Dalam percakapan harian orang Islam, sesiapa sahaja yang bukan Islam dipanggil “kafir”.

Label ini sudah jadi seperti label kaum. Seperti juga orang Yahudi memanggil orang lain “goyim” iaitu bangsa bukan Yahudi. Sama juga dengan label “kafir”. Ia digunakan dengan begitu selamba sehingga ia menjadi label rasis.

Fikirkan, apabila orang Melayu melihat orang Cina and India, mereka lazimnya menggunakan label “kafir” dengan tiada usul periksa. Bagaimana kalau orang-orang tersebut beriman kepada Tuhan dan melakukan kebaikan, iaitu kriteria yang diberi Al-Quran, 2:62 dan 5:69?

Allah sendiri menerima orang tersebut, jadi kita tiada sebab untuk memanggil mereka “kafir”.

Kita dan mereka

Inilah yang dipanggil mentaliti “us versus them” (kita menentang mereka). Mentaliti ini bersifat ekslusif dan sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan sistem sendiri yang bersifat “insular” (mementingkan diri sendiri sahaja). Memang susah mahu hidup dengan mentaliti ini jika kita tinggal dalam masyarakat majmuk.

Ini membawa kita kepada persoalan, adakah Islam susah dan sarat dengan peraturan sebegini? Jika ia benar-benar susah tetapi inilah suruhan Tuhan, maka kepada orang beriman, mereka terpaksalah mengalami kesusahan ini kerana itu sememangnya kemahuan Tuhan. Tetapi jika kepayahan ini hanyalah imaginasi manusia, elok kita lupakan sahaja.

Konsep halal Quran dan industri halal

Jika kita membaca Al-Quran dengan teliti, kita akan mengetahui yang ia tiada konsep air halal. Telur halal pun tiada juga. Apa yang ada ialah benda yang diharamkan iaitu 4 – daging khinzir, binatang yang mati sendiri, darah yang mengalir dan apa yang dipersembahkan kepada selain daripada Allah.

Selain daripada ini, tiada langsung. Bahkan konsep menyembelih haiwan dalam cara orang Islam pun tiada juga. Sebenarnya, fokus Al-Quran bukanlah perkara sebegini tetapi lebih kepada ketuhanan, pembangunan diri dan masyarakat.

Jadi bagaimana industri halal ini boleh menjadi industri bernilai berbilion ringgit? Dengan menampal peraturan yang tiada dalam Al-Quran.

Peraturan ini menjadi wajib ke atas umat Islam dan untuk mematuhinya, mereka memerlukan pihak berkuasa yang tertentu. Maka wujudlah agensi mengenalpasti makanan dan restoran yang halal. Jadi bisnes terpaksa berbelanja beribu-ribu ringgit untuk mendapat jaminan halal.

Bukan itu sahaja, baru-baru ini, bisnes yang tidak melibatkan orang Islam tidak diberi ruang untuk berniaga di sebuah institusi pengajian awam. Itulah sebenarya polisi apartheid halal.

Sebenarnya, dalam Islam, kita tiada masalah untuk berkongsi cawan, pinggan, sudu, garpu dan sebagainya. Kita tidak perlu bimbang molekul bukan halal masuk dalam mulut kita.

Kita hanya perlu melihat dengan mata sendiri yang kita tidak memakan 4 perkara di atas. Janganlah kita menyusahkan diri dan membesarkan jurang di antara kita dan orang lain.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments