Dari Tuhan manusia ke manusia Tuhan
Muslim yang murtad itu bagaimanapun tetap berdosa, dan ia adalah urusan dirinya dengan Tuhan.
Novel setebal 340 halaman itu mengisahkan seorang anak muda, Ali Taqi yang “kehilangan” abangnya kerana menukar agama.
Novel wacana tersebut mengadukan hujah bertentangan mengenai kedudukan seseorang Muslim yang memilih untuk menukar agama, atau sama sekali tidak beragama.
Di dalam novel tersebut saya sendeng kepada seseorang Muslim itu wajar “dimusuhi” kerana “keluar” Islam. Amir Muhammad, penulis, pembikin filem dan penerbit Fixi dalam kolumnya di Malay Mail pada 2009 pernah menyatakan, “Tuhan Manusia adalah provokatif dan sebuah kerja yang memeranjatkan. Secara tematiknya ia sangat konservatif, tetapi mengapa pula konservatif tidak diizin untuk menjadi provokatif.”
Beberapa tahun pun berlalu, dan saya malah dituduh sesat. Pengalaman keagamaan intra-Islam yang pelbagai menyebabkan saya memilih untuk menjadi seorang yang mendukung hak asasi manusia.
Hari ini, saya mengimani Islam yang memberikan secara penuh hak-hak seseorang manusia itu, termasuk dalam memilih urusan keyakinan.
Akibat dari itu saya ditinggalkan sejumlah pembaca. Saya tidak pun kecewa. Biarlah saya kehilangan “pengikut” dalam kalangan “non-dialoguers”.
‘Non-dialoguers’ ancaman semua agama
Siapakah “non-dialoguers”? Mereka wujud dalam agama Islam, mahupun Kristian, dan mana-mana agama, atau dalam kalangan mereka yang tidak beragama juga. Mereka adalah ancaman besar kepada kemanusiaan.
Jacques Waardenburg dalam bukunya “Muslim and Others: Relations in Context” menghuraikan siapakah “non-dialoguers” dan bahaya mereka sebagai ancaman senyap kepada masyarakat, khususnya yang berbilang kaum dan agama seperti masyarakat di Malaysia.
Menurut Waardenburg, “non dialoguers” adalah mereka yang mengaitkan diri dengan gerakan agama dan mahu memaksa asas keberagamaan serta integriti agama mereka kepada orang lain.
Mereka enggan berkomunikasi, berdialog dan jika pun kononnya ada dialog (untuk mempamerkan mereka juga “progresif”), mereka akan melakukannya secara terpilih, iaitu dengan pihak yang mereka selesa, dan topik yang mereka rasakan selamat.
Waardenburg menyebut sesetengah kalangan “Evangelicals” dari Kristian, dan kumpulan Islamis yang mempunyai agenda politik, termasuk Wahhabi sebagai contoh tepat.
Waardenburg menambah, hubungan agama akan selamanya tidak harmoni jika “non-dialoguers” dibenarkan menjadi jurucakap dan mewakili agama masing-masing kerana mereka menutup diri dari komunikasi dengan pihak lain. Kalau pun dialog berlaku, ia berlangsung dengan prasangka dan niat untuk memenangkan, bukan untuk saling memahami dan mengenali.
Untuk menjawab soalan mengapa saya ingin menulis kembali “Tuhan Manusia” dan bagaimana saya tiba ke titik lain yang bertentangan, saya harus katakan terlebih utama – seseorang pengarang itu mesti bereksperimen dengan idea dan gagasan – dan sebagai seorang ahli akademik, membaca bukan satu pilihan.
Ya, bacaan, menemukan saya kepada bahagian wacana yang menarik.
Sebelum Profesor Andrew Rippin meninggal dunia, saya terlibat dengan satu projek beliau untuk Routledge bagi mengumpulkan pelbagai versi tafsir dari dunia Islam.
Beliau meminta saya melakukan satu kajian tematik ke atas sebuah tafsir dari alam Melayu, dan jika boleh, dari Malaysia. Saya menulis tentang Tafsir Nurul Ihsan karangan Kadhi Muhammad Said Umar, makalah saya itu berjudul “Religious Freedom in Malaysia: The Reading of Quran 2:256”.
Sedikit tentang Haji Muhammad telah saya tulis dalam kolum ini pada 10 Ogos lalu. Saya menemukan pandangan ulama tradisional dari Jitra, Kedah ini yang berpandangan “murtad” tidak membolehkan pihak berkuasa atau agamawan memburu, menghukum dan mengerasi mereka yang ingin keluar dari Islam.
Ia benar-benar mendera fikiran saya sehingga saya berfikir untuk menulis sebuah lagi novel (judul tentatifnya Manusia Tuhan) bagi membetulkan tanggapan atau wacana yang pernah saya terokai dalam novel Tuhan Manusia.
Islam dan pilihan agama
Bacaan juga menemukan saya kepada Mohamed Talbi. Pada 1992, Talbi, seorang sarjana terhormat dari University of Tunis, Tunisia, dan mahir dalam bidang tafsir Al-Quran, menulis tentang hak untuk memilih agama.
Menurut Talbi, pilihan beragama dan kepercayaan adalah urusan sukarela hatta ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksakan anak dengan pilihan kepercayaan mereka.
Tentu sahaja, daripada pandangan Islam, seseorang yang memilih untuk keluar daripada Islam melakukan “kesilapan”, akan tetapi itu adalah pilihan sendiri.
Talbi menegaskan, mereka yang memilih agama selain Islam diberi amaran bahawa Islam adalah agama kebenaran; dan keselamatan di akhirat tidak ada pada agama lain.
Pada bahagian hujung makalah beliau berjudul “Religious Liberty: A Muslim Perspective”, Talbi menekankan, meskipun “terkutuk secara moralnya”; urusan seseorang yang murtad bukan sama sekali urusan penguasa. Malah, pilihan untuk menukar agama tersebut harus dihormati: “…religious liberty is fundamentally and ultimately an act of respect for God’s sovereignty and for the mystery of God’s plan for humanity”.
Jika demikian, bagaimanakah seharusnya kebebasan beragama menurut Islam? Talbi, seorang Sunni, menyatakan kebebasan adalah mutlak milik peribadi, dan hukuman adalah milik Tuhan kemudiannya. Jika demikian, apakah ada pandangan alternatif yang dapat dikutip daripada sekolah pemikiran Islam yang lain pula?
Mohsen Kadivar, ulama dan ahli akademik yang mengajar di Tarbiat Modarres University, Tehran, menulis sebuah makalah yang penting berhubungan perkara ini.
Menurut beliau, kebebasan beragama dan kepercayaan yang digariskan oleh Islam mengizinkan seseorang Muslim untuk menukar agamanya, menganut agama lain dan tiada hukuman patut dilaksanakan ke atasnya.
Muslim yang murtad itu bagaimanapun tetap berdosa, dan ia adalah urusan dirinya dengan Tuhan.
Kadivar menulis, setiap orang mempunyai hak untuk mempromosi dan meyakini kepercayaan masing-masing. Katanya, “tiada paksaan dalam agama” seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 256 adalah dalil yang nyata supaya kebebasan beragama secara kukuh dipertahankan, dan menghukum seseorang yang meninggalkan Islam adalah tidak dibenarkan.
Kadivar seterusnya menjelaskan ayat 256 tersebut adalah mengenai anak salah seorang sahabat Rasulullah yang murtad.
Menurut Kadivar lagi, hukuman mati terhadap seseorang yang meninggalkan agama Islam secara jelasnya bertentangan dengan formula “tiada paksaan dalam agama tersebut”.
Tanpa menafikan mereka yang meninggalkan Islam itu melakukan dosa besar dan hal yang sepatutnya ialah supaya mereka terus beriman, Kadivar dalam masa yang sama mempertikaikan hukuman berat terhadap seorang Muslim yang meninggalkan Islam.
Kadivar, sebagai seorang Syiah, menjelaskan sumber syariah menurutnya adalah bersandarkan kepada ahlul bayt (keluarga Nabi). Kadivar merungkaikan, hukuman mati terhadap seseorang yang murtad hanya dapat dan boleh dilakukan ketika 14 maksumin (12 Imam Syiah termasuk Rasulullah dan Fatimah az-Zahra) masih hidup atau hadir sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam.
Kadivar juga membahaskan, hukuman mengambil nyawa seseorang haruslah dilakukan dengan penuh waspada dan tanpa sumber hukum yang benar-benar sahih dan terang, ia tidak dapat dilakukan, memandangkan Islam amat menghargai nyawa setiap makhluk.
Suara alternatif dari dunia Sunni, mahupun Syiah seperti Talbi dan Kadivar yang menjarakkan diri daripada pandangan “non-dialoguers” jelas boleh direnungi bersama khususnya untuk Malaysia yang berdepan dengan kepelbagaian kepercayaan.
Janganlah kita terjerumus ke dalam lubang “non-dialoguers” yang dalam dan berbahaya untuk negara multi keimanan (dan non-iman) seperti Malaysia.
Faisal Tehrani ialah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan penerima Anugerah Seni Negara 2006.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram