Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pertandingan 3 penjuru daripada sisi ‘silaturrahim politik’

 | August 22, 2017

Adakah suatu usaha sedang berjalan supaya tidak berlaku pertandingan 3 penjuru yang melibatkan PKR-PAS dan PPBM-PAS seterusnya menepati cita-cita PAS?

KOMEN

ziarahIa bermula lebih seminggu lalu apabila tersiar gambar Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Azmin Ali menziarah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di wad Institut Jantung Negara (IJN).

Kunjungan yang dikatakan Azmin sebagai ziarah pesakit itu bagaimanapun dipersoalkan penyokong Amanah yang mengesyaki kemungkinan adanya rundingan antara PKR dan PAS dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Oleh kerana jelas tiada keputusan PH terhadap sebarang rundingan dengan PAS, maka kedua-dua pemimpin itu bertindak mewakili parti mereka, PKR. Tindakan ini dianggap membelakangkan PH.

Dengan menghadapi keadaan ini, ada penyokong PKR di media sosial membalas kecaman itu dengan menyatakan perjumpaan pemimpin mereka dengan Hadi itu adalah ziarah silaturrahim dan bukannya kunjungan politik. Bukankah mengunjungi orang sakit dianjurkan Islam?

Ilusi kekuatan

Serentak itu juga, pengikut Amanah dikecam kerana tidak fokus pada keutamaan politik serta mempunyai ilusi kekuatan sendiri.

Maksud keutamaan politik di sini ialah mengalahkan Barisan Nasional (BN). Untuk itu, fokus yang perlu diberikan ialah pertandingan satu lawan satu dalam PRU akan datang.

Hanya dengan pertandingan satu lawan satu, PH boleh menang. Apabila Amanah mahu bertanding secara 3 penjuru, maka parti itu dikatakan tidak berpijak pada realiti.

Amanah tidaklah sekuat PAS. Pertandingan 3 penjuru pasti memberi kemenangan pada BN seperti yang berlaku dalam pilihan raya kecil baru-baru ini. Pengikut Amanah dianggap beremosi apabila timbul soal bekerjasama dengan PAS.

Memang benar ziarah orang sakit adalah dituntut terhadap orang Islam. Bukan saja pemimpin PKR yang patut menziarah Hadi, tetapi juga pemimpin PH termasuk dari Amanah. Umpamanya, presidennya Mohamad Sabu.

Silaturrahim politik?

Tetapi kedudukan ahli politik tidak seperti orang biasa. Tidak ada soal peribadi pada perbuatan ahli politik. Maka yang ada ialah ziarah atau silaturrahim politik.

Semua tindak tanduk mereka mempunyai perlambangan dan nilai politik. Walaupun tanpa ada niat dan rancangan, persepsi yang timbul adalah menurut perspektif politik.

Isu ini kemudian tenggelam beberapa hari kemudian ekoran berlakunya kekecohan di forum Nothing 2 Hide 2.0 di mana Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi sasaran serangan sekumpulan hadirin.

Ruang maya politik beralih tumpuan kepada kekecohan itu dan juga peristiwa Memali. Ini kerana isu itu dikatakan merupakan perkara yang ditanya dalam forum tersebut hingga mencetuskan kekecohan.

Isu Memali menjadikan Dr Mahathir sebagai sasaran. Kempen mengecam pengerusi PPBM itu berleluasa dengan ia dijadikan bahan besar dalam serangan kata-kata dari pihak BN.

Oleh kerana isu Memali ini melibatkan PAS, maka parti itu juga turut serta dalam kempen mempersoalkan Dr Mahathir.

Memali dan PRU14

Namun di kalangan penyokong PH, isu Memali ini adalah perkara lama yang tidak relevan bagi negara dalam menghadapi PRU ke-14 ini.

Terutama di kalangan penyokong Amanah yang antaranya berada dalam PAS ketika kejadian di Memali itu berlaku. Bagi mereka, peristiwa Memali ini dikemukakan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu 1MDB yang merupakan teras kempen Dr Mahathir dan partinya.

Hakikatnya ialah ketika peristiwa Memali berlaku, pemimpin BN sekarang, PKR dan PPBM adalah kesemuanya dalam Umno menyokong Dr Mahathir kerana beliau pada masa itu adalah presiden mereka dan perdana menteri.

Tetapi tidakkah ada kemungkinan bahawa isu Memali ini ditimbulkan untuk menjauhkan PAS daripada PH? Atau menggagalkan sebarang rundingan antara PAS dengan mana-mana parti PH seperti PKR dan PPBM?

Ketika isu ini agak reda di kalangan pembangkang, timbul laporan ahli PKR di Kelantan akan terus memegang jawatan politik kerajaan negeri PAS itu. Ia dilihat sebagai timbal balas kepada pengekalan jawatan politik ahli PAS dalam kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR.

Kemudian timbul pula laporan PKR mengadakan rundingan tidak rasmi dengan PAS yang berjalan selama 6 bulan. PAS juga tidak menolak kemungkinan adanya rundingan dengan PKR bagi pembahagian kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Apa yang disangka penyokong Amanah ternyata benar.

Maka ada pemimpin Amanah menyatakan rundingan itu adalah antara PKR dan PAS dan tidak melibatkan PH. Sementara seorang lagi pemimpin Amanah menyatakan anggota PH tidak boleh bertindak sendirian, dan keputusan politik mestilah melibatkan semua parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Perkataan “pakatan” datangnya daripada pakat. Ia pula berasal dari perkataan muafakat. Maknanya ialah persetujuan bersama bagi melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat bersama.

Wan Azizah dan Azmin bukan hanya pemimpin PKR. Mereka ada jawatan PH. Kemudian muncul laporan daripada PAS yang tidak menolak kerjasama dengan PPBM.

Apakah yang sedang berlaku dalam PAS hingga timbul suatu keadaan di mana mereka hendak membuka pintu kerjasama dengan PKR dan PPBM? Kemudian seorang pemimpin PAS menyatakan bahawa muktamar dan ahli mereka mahu parti itu bertanding sendiri, dan tidak mahu bersama PH dan BN.

Walaupun katanya perkara kerjasama dengan PH tidak akan berlaku, tetapi beliau tidak menolak kemungkinannya.

Adakah suatu usaha sedang berjalan supaya tidak akan berlaku pertandingan 3 penjuru yang melibatkan PKR dan PAS? Juga, adakah sedang diusahakan perkara sama antara PAS dan PPBM?

Senario diinginkan PAS

Maknanya, tidak akan ada pertandingan 3 penjuru antara PAS dan PPBM. Pertandingan 3 penjuru nanti ialah BN-PAS-Amanah, dan BN-PAS-DAP.

Maknanya dalam senario itu, penyokong PAS hendaklah mengundi sama ada partinya, PKR atau PPBM. Sementara penyokong PKR dan PPBM diminta mengundi parti mereka atau PAS.

Ini juga bermakna PAS tidak ada kerjasama dengan BN.

Namun jika perkiraan ini berlaku, PH tidak bermakna lagi. Undi pembangkang akan berpecah di tempat DAP dan Amanah bertanding yang berkemungkinan membolehkan kemenangan pada BN atau PAS.

Dengan senario kerjasama PKR-PAS dan PPBM-PAS, ia akan menepati agenda yang mahukan Malaysia dikuasai penuh oleh politik Melayu-Islam. Itulah agenda PAS sejak ia menolak kerjasama dengan DAP dan mengakhiri Pakatan Rakyat.

Sememangnya PAS mempunyai banyak penyokong yang menimbulkan keinginan besar PKR dan PPBM untuk bekerjasama dengannya.

Tetapi pendokong agenda PAS tidaklah menyeluruh dalam masyarakat Islam. Bukan saja Malaysia ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama tetapi masyarakat Islam di negara ini juga mempunyai pelbagai pandangan agama mereka.

Hegemoni dan dominasi kaum atau penganut sesuatu agama yang majoriti ke atas sesebuah negara tidak akan menghasilkan keharmonian dan perasaan bersama rakyat keseluruhannya.

Hakikatnya Malaysia adalah sebuah negara demokratik yang ditubuhkan bagi memberi tempat pada semua rakyat termasuk golongan minoriti.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments