Berak di bilik ‘shower’ dan ‘kita sama-sama Melayu’
Mentaliti supaya ‘Melayu tolong Melayu’ sama ada mereka salah atau tidak, kemungkinan sesuatu diwarisi daripada hak istimewa Melayu diamalkan di Malaysia.
Cerita paling viral minggu lepas memaparkan 3 pemuda Melayu dari Malaysia yang membuat angkara di sebuah homestay di Osaka, Jepun.
Dalam video, mereka telah mengasari pekerja “homestay” tersebut secara fizikal dan dengan kata-kata yang kesat. Tetapi yang menarik perhatian saya ialah, pada akhir video tersebut, seorang daripada anak muda tersebut mengeluarkan kata-kata begini, “Kau ni hormat Melayu, tolonglah Melayu”.
Saya tertarik kepada ayat tersebut kerana saya tertanya, apa kena mengena bangsa pekerja tersebut dengan situasi yang berlaku?
Jika pekerja itu bukan Melayu, adakah anak muda ini akan mematuhi peraturan dan hanya kerana mereka sama-sama Melayu, peraturan boleh diabaikan?
Menurut laporan, 3 anak muda berbangsa Melayu itu yang dikenal pasti melalui identiti mereka di media sosial terlepas penerbangan mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Vitti Lodge and Family Apartments di Osaka mengasihani situasi mereka lalu memberi mereka duduk percuma sehingga tiba masa untuk penerbangan seterusnya.
Malangnya, mereka tidak mematuhi peraturan homestay tersebut dan pada satu malam, mereka bergaduh dengan seorang kakitangan bernama Qaiyum kerana menegur mereka menggunakan dapur dan ruang makan selepas waktu larangan.
Dalam video itu, pemuda bernama Ramadhan Sukrihan menjerit kepada Qaiyum dan menolaknya. Bukan itu sahaja, dia mengeluarkan kata-kata yang amat kesat.
Sejurus selepas itu, rakannya melepaskan perasaan marah dengan menendang perabut dan menumbuk dinding menyembabkan kerosakan.
Menurut laporan polis dibuat Ramadhan sendiri, ini adalah kerana Qaiyum telah memperlekehkannya dan rakan-rakannya.
Berak di bilik mandi
Cerita itu tidak berakhir di situ. Ramadhan dan rakan-rakannya membuang air besar dalam bilik “shower” homestay itu.
Di Jepun, bilik mandi dan tandas adalah berasingan, jadi amatlah biadab untuk seseorang itu membuang air besar dalam bilik shower. Pekerja homestay amat marah dengan tindakan mereka, malah pekerja dipaksa membayar ganti rugi menjangkau RM5,000 untuk kerosakan yang berlaku.
Ekoran daripada insiden ini, pemilik homestay, Ema Vitti, seorang Arab bermastautin di Jepun selama 40 tahun, bertindak mengharamkan rakyat Malaysia daripada tinggal di situ.
Dia pernah mengharamkan pelancong China dan Korea sebelum ini kerana berkelakuan tak senonoh. Mujurlah, dengan respon daripada netizen Malaysia, Ema berubah fikiran dan tidak jadi mengharamkan rakyat Malaysia buat masa ini.
Hormat Melayu
Berbalik kita kepada pertanyaan saya di atas: mengapakah Ramadhan menyebut tentang “hormat Melayu” dan “tolong Melayu”?
Soalan ini amat relevan kerana ia mungkin dapat menggariskan punca Ramadhan dan rakan-rakannya berkelakuan begitu.
Kita patut bertanya, apa kena mengena bangsanya dan bangsa pekerja tersebut dengan situasi itu?
Adakah kerana pekerja itu sama bangsa dengannya, maka dia patut memberinya penghormatan dan menolongnya menutup mata terhadap kesalahan tersebut?
Jika anak muda ini berbangsa lain tetapi dari Malaysia juga, adakah dibolehkan pekerja itu mengingatkan mereka tentang peraturan homestay tersebut?
Pada saya, percakapan seperti “kita sama-sama Melayu” ataupun “sama-sama Islam” adalah rayuan kepada bangsa dan agama yang tidak bertempat.
Adakah kita mempunyai hak istimewa hanya kerana kita tergolong dalam kumpulan tertentu?
Ramadhan yang mempunyai gambar dia mengepil kitab Al-Quran sudah tentu tahu yang ia mengajar kita berbuat baik sesama insan dan tidak pernah menghadkan kebaikan itu kepada sesuatu bangsa dan agama. Sama juga, dalam menjalankan amanah, kita tidak boleh mengkhianati amanah itu.
Qaiyum hanya menjalankan tugas. Melayu atau tidak, tugas tetap tugas.
Mentaliti hak Melayu
Mungkin mentaliti “Melayu tolong Melayu” ini datang daripada berdekad kita memegang kepada hak istimewa Melayu. Kalau keputusan tak seberapa, ada kerajaan yang menjanjikan hak Melayu terjamin, seperti memberi tempat kepada siswazah Melayu.
Kalau ada cita-cita untuk memulakan perniagaan, ada perbadanan Melayu yang akan menolong. Kalau menjalankan tugas dengan buruk mana sekalipun sampai rugi berbilion-bilion, akan ada peluang selanjutnya dengan mendapat jawatan tinggi di badan kerajaan yang lain.
Melayu akan dibantu Melayu tak kira apa berlaku. Malah pesalah seks terhadap kanak-kanak berbangsa Melayu pun akan diberi peluang! Ini bukan budaya sihat, bahkan budaya beracun yang merosakkan mentaliti Melayu.
Saya bersyukur kumpulan pemuda itu akhirnya memohon maaf kepada pemilik serta pekerja homestay Vitti. Mereka hanya anak muda dan harus diberi peluang untuk memperbaiki kelakuan mereka.
Dengan merendah diri dan meminta maaf dan berjanji untuk membayar gantirugi tersebut, mereka menunjukkan diri mereka sebagai individu yang berintegriti.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Saya harap mereka sedar yang tidak kira siapa pun kita, kita perlu menghormati peraturan.