Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Mencari negarawan Melayu

 | August 24, 2017

Baik kerangka Islam ataupun tradisi silam, orang Melayu amat meleset dari segi model dan modal pemimpin. Apakah yang dicari lagi oleh kita di saat ini?

KOMEN

malaysia-1Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, salah satu “lagu ulangan” yang akan kembali berkumandang, khusus oleh kelompok nasionalis ialah menjajakan keunggulan peradaban Melayu satu ketika dahulu.

Kehebatan beberapa kerajaan Melayu lama akan dijadikan sandaran dengan penuh rasa megah. Di sebalik hujah yang dinyatakan tersebut, salah satu yang sering diabaikan oleh “sejarawan retrophiliac” adalah faktor keadaan manusia Melayu murbawan itu sendiri.

Sebagai misalan, soalan yang mungkin sering diabaikan adalah apakah kegemilangan dan kehebatan peradaban Melayu tersebut dapat dikecapi, dinikmati sama-rata atau sampai ke kaum bawahan, rakyat jelata dan manusia kecil?

Dalam erti kata lain, apabila kelangsungan kerajaan Melayu lampau dibicarakan, rata-rata nasib dan keadaan hidup rakyat jelata pada waktu itu dikesampingkan sebagai ukuran kemajuan.

Sekiranya kita jujur, dengan sejujur-jujurnya, menyoal apakah orang Melayu pernah mengecapi satu kepimpinan yang dapat dimodelkan sepanjang sejarah ribu tahun bangsanya, kita akan mengalami kesukaran untuk mencari seorang negarawan untuk dijadikan panduan.

Katakanlah kita menggunakan kerangka Islam. Ambil satu memadai. Seorang filsuf utama umat Islam, Shah Waliyullah menekankan 7 sifat utama bagi seseorang pemimpin dalam bukunya Al-Budur al-Bazighah.

Tanpa 7 sifat ini, pemimpin tersebut menjadi beban kepada negara dan urusan kenegaraan merupakan beban pula kepadanya. Tujuh sifat tersebut ialah Shaja’a (keberanian), Samahah (pemurah dan penuh tolak ansur), Hikmah (kebijaksanaan), ‘Iffa (kesempurnaan moral), Fasaha (kekuatan pengaruh), Diyana (kepatuhan dan ketaatan, juga rasa hormat terhadap Tuhan dan agama) dan al-Samt al-Salih (kelakuan yang baik dan mulia).

Melayu Islam antara korupsi dan ibadat

Pernahkah ada pemimpin Melayu Islam secara idealnya mengisi 7 sifat di atas? Sepanjang sejarah umat Melayu, jika kita dengan jujur menggali peribadi pemimpin, kita akan mendapati umat Melayu diketuai oleh mereka yang korup serba-serbi.

Dalam hal memenuhi keadilan yang ditekankan Islam, seperti digaris Shah Waliyullah, Melayu Islam ketinggalan sekali. Akan tetapi pemimpin Melayu Islam dalam hal membungkus korupsinya dengan ibadat fekah memang juara.

Kerana itulah yang mampu dilakukannya sejak detik “Sejarah Melayu” iaitu sebaik memeluk Islam, pemimpin Melayu obses dengan sembahyang: “Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam; sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar; sekalian masuk Islam dititahkan baginda. Maka raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib sembahyang.”

Sayang dalam sembahyang ada selawat kepada Nabi Ibrahim dan keluarganya, serta Nabi Muhammad dan keluarganya. Itu runtuh karam dalam kekejaman mereka di luar sembahyang.

Profesor Ali Ahmad dalam “Halangan dalam Pengislahan Pemimpin Melaka Berdasarkan Sulalat-us- Salatin” dengan tegas menyatakan kehadiran Islam gagal mengubah bangsa Melayu dari segi moral dan inteleknya, khusus pada pemimpin.

Beliau menyebut, “Pengislaman sahaja tidak berdaya untuk mengubah nasib bangsa yang diikat oleh waad yang tidak memberi ruang kepada potensi insan menggunakan akal dan ruang kekuatan yang ditawarkan oleh Islam seperti musyawarah kesatuan, akhlak dan kasih sayang.”

Melayu ketika beragama Buddha

Sebelum orang Melayu diajarkan agama Islam, mereka pernah beragama Buddha. Apakah kerangka Melayu Buddha untuk pemimpin?

Katakanlah kita menggunakan kerangka Buddha ini. Perhatian perlu diberikan kepada beberapa sifat Cakravantin yang disebutkan dalam Prasasti Cakravantin (1088 Masehi) atau dikenali sebagai Kepingan Batu Myson oleh Jaya Indravarman II.

Kerangka Cakravantin menuntut supaya pemimpin perlu memiliki “belas kasihan semua makhluk” (karuna di ya dom sarvvabhava), “murah hati yang hebat” (mahatyaga), dan bersifat saksama (sanamu) dalam 3 kategori atau trivarga, iaitu kebergunaan (artha), kebaikan (dharma) dan keseronokan (kama).

Kesaksamaan yang disebutkan ini menggunakan 4 pendekatan atau cara (caturupaya) iaitu apabila bertindak terhadap kawan, lawan dan orang yang neutral mestilah mengikut kesesuaiannya yakni dengan dialog atau rundingan (sama), serangan (danda), perselisihan (bheda) dan rasuah (upapradana).

Keseluruhan sifat Cakravantin ini terdapat 32 sifat Buddha yang menurut Profesor Shaharir Mohamad Zain dalam “Teori Kepimpinan dan Kepengurusan Rumpun Melayu”, meskipun bertentangan dengan nilai Islam anutan sebahagian besar orang Melayu hari ini, tetapi masih banyak pula yang sesuai dengan “semantik” dan “perisa” Islam.

Seperti dinyatakan di atas, terdapat tuntutan terhadap pemimpin yang sejagat atau Cakravantin agar berbelas kasihat terhadap semua makhluk dan tidak bertindak sewenang-wenang terhadap musuh, sebaliknya dihadapi dengan cara atau pendekatan yang tertentu dan berperingkat.

Era Melayu demokrat

Setelah kemerdekaan bangsa Melayu yang mengalami detik Buddha, Islam dan kini mengalami detik apa yang dilihat sebagai detik demokrasi, kita masih belum dapat mengecap nikmat di bawah perintah seorang negarawan.

Apakah kerangka Melayu demokrat untuk pemimpin?

Syed Hussein Alatas menggariskan 10 sifat pemimpin dalam konteks isi dan corak pemerintahan yang selari dengan demokrasi, iaitu: 1. adil; 2. murah hati; 3. mementingkan keperluan rakyat dan kesejahteraannya; 4. tinggi semangat bekerja dan keazaman untuk mencapai sesuatu; 5. mengelakkan diri daripada hidup mewah dan runtuh akhlak; 6. menghormati kedaulatan hukum walaupun dirinya atau keluarganya yang terlibat; 7. menghargai ahli ilmu pengetahuan dan ilmu seluruhnya; 8. tinggi kesatriaan dan hormat diri, yakni kemurnian (honour); 9. kekuasaannya tertakluk pada tujuan cita sempurna; 10. peribadinya tidak tercemar oleh kekuasaan dalam keadaan di mana dia mengambil keputusan yang diketahui hanya oleh dia sendiri bahawa keputusan itu adil atau tidak walaupun zahirnya baik tetapi niatnya lain.

Pernahkah kita memiliki negarawan, atau paling kurang pemimpin yang punya 10 sifat menurut kerangka demokrasi seperti di atas?

Pemimpin jadong

Oleh kerana ketiga-tiga kerangka ideal yang pernah ditempuh orang Melayu menyatakan Melayu amat meleset dari segi model dan modal pemimpin, apakah yang dicari lagi oleh kita di saat ini?

Inilah puncanya jika kita turun gelanggang, dan mengetepikan geng forum dan seminar, kita akan mendapati generasi muda di luar mempersetankan semua parti politik, dan semua nama pemimpin yang ada. Mereka ingin sekali merasa suara orang muda.

Saya pernah menyebutkannya satu ketika dahulu, dalam satu wawancara degan sebuah akhbar Inggeris pada 2008: “The whole world is changing for a perspective from the young and for new ideas. I think Malaysia should walk a similar road.”

Ya, orang muda; tetapi siapa? Dan model atau kerangka mana lagikah yang perlu kita gunakan untuk mencari negarawan? Masalah kita ialah yang muda teraba-raba di zaman pengakuan palsu, menagih adakah pemimpin impian sedemikian?

Yang tua, yang masih dominan menentukan nasib bangsa pula kekal terperangkap. Ini masih terjadi kerana terdapat kemungkinan umat Melayu terperangkap dalam kenyataan palsu sebagai bangsa hebat dan peradaban unggul kerana berterusan berada dalam “state of denial”.

Kejadongan pemimpin, dan kesebatian cita bencana dalam pembuluh darah dan minda Melayu amat kental sehingga mereka berada dalam keadaan terpukau, terpana atau tertolol.

Satu keadaan yang mungkin dapat dirujuk sebagai societal stockholm syndrome di mana mangsa atau tebusan iaitu bangsa Melayu berasa simpati dengan pemangsa iaitu “pemimpin jadong” mereka.

Ini berlaku lantaran ketakutan dan kompleksiti kasih benci menguasai benak. Hakikat sebenar adalah umat Melayu tidak sama sekali pernah menikmati pemerintahan seorang negarawan penuh keunggulan sejak kerajaan lampau atau pun hari ini lantaran cita sempurna yang didamba dan diimpikan belum pernah menjadi kenyataan.

Faisal Tehrani atau Dr Mohd Faizal Musa ialah kolumnis FMT, dan merupakan felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Anda dijemput berkongsi buah fikiran menggunakan akaun Facebook. Sila bersopan, elak tersasar topik dan pastikan komen anda ringkas. Kami berhak memadam atau menyunting komen yang tidak mematuhi syarat asas ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments