Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Semangat Al-Quran yang menjadi korban musim haji

 | September 6, 2017

Umat Islam terlalu fokus kepada syariat dan sudah melupakan makrifat.

KOMEN

quran-korban

Minggu lepas, tamatlah musim haji. Menurut laporan, lebih 2 juta orang selamat menunaikan ibadat haji.

Media turut melaporkan cara pengurusan binatang korban yang tidak memuaskan. Binatang dikorbankan di hadapan haiwan lain, menimbulkan perasaan panik yang teruk.

Apologis daripada golongan konservatif akan menjawab, apa yang saya kisah sangat? Bukankah binatang yang dibunuh untuk dimakan bilangannya dalam berjuta setiap jam? Jadi apalah sangat sekali setahun berjuta binatang dikorbankan sempena ibadat haji?

Fakta mereka di sini memang tepat tetapi mereka buta kepada poin yang sebenar – adakah pengorbanan ini betul-betul semangat haji menurut Al-Quran?

Dan kita boleh memanjangkan soalan itu kepada semua aspek pengurusan ibadat haji – adakah ia juga menurut semangat Al-Quran?

Mudah untuk kita menuding jari. Kerajaan Arab Saudi memang lama menjadi sasaran kritikan umat Islam.

Dalam pengurusan ibadat haji, saya amat mengagumi mereka. Bayangkanlah, mereka terpaksa berhadapan dengan berjuta-juta permohonan daripada umat Islam yang mahu menunaikan ibadat haji. Kapasiti mereka untuk menampung jemaah haji hanya 2 juta lebih sahaja.

Orang Islam pula makin lama makin ramai (kadar kenaikan bilangan yang tertinggi di dunia di antara semua agama) tetapi kota Mekah ruangnya terhad sahaja. Waktu untuk menunaikan haji pula hanyalah beberapa hari sahaja.

Bagaimana kerajaan Arab Saudi menguruskan jemaah haji begini? Bolehkah Malaysia menjayakan operasi sebegini? Kalau bendera negara sendiri di Sukan SEA pun gagal dipaparkan dengan betul, maka jangan mimpi.

Kesalahannya bukan pada pengurusan haji. Sudah beberapa kali jemaah haji terkorban samasa ibadat melontar batu di jamrat, iaitu tiang melambangkan syaitan. Kerana bilangan orang terlalu banyak, maka apabila berlaku panik, mereka tidak tahu ke mana hala tuju dan mereka akan lari bertempiaran dan ramai yang akan jatuh dan mati dipijak.

Pada 1990, hampir 1,500 orang mati. Pada 1994, 270 mati, dan pada 1998 pula, 118 orang. Dan beberapa kali lagi.

Bergegas ‘score’ pahala

Mengapa tragedi seperti ini berlaku? Mungkin kerana pengurusan masa. Jemaah haji yang diberitahu oleh ulama yang beria-ia mahu “score” pahala yang maksima dengan melontar jamrah pada waktu pagi, maka mereka bergegas mahu menunaikan ibadat itu pada waktu yang kononnya penuh berkat.

Allah memberi kelonggaran masa untuk melakukan ibadat ini. Jadi mungkin bukan kesalahan dalam pentadbiran tetapi dalam pengurusan diri jemaah haji!

Di sinilah kita perlu bertanya, walaupun amalan kita bertepatan dengan tuntutan haji secara syariat (iaitu “in letter”), adakah ia benar-benar bertepatan dengan semangat haji (iaitu “in spirit”).

Ketika kita mahu “score” pahala maksima, adakah kita sanggup menolak-nolak (kata orang Pulau Pinang, sigung-menyigung) sehingga jemaah haji lain terjatuh?

Apabila mereka terjatuh, adakah kita berhenti dan menolong mereka (kerana firman Al-Quran, sesiapa yang yang menyelamatkan satu nyawa, menyelamatkan satu umat seluruhnya)?

Jika tidak, maka kita hanya terlalu fokus kepada syariat dan sudah melupakan makrifat haji. Takkan kita boleh berjumpa Allah jika kita pembunuh manusia pula!

Begitu juga dengan pengorbanan binatang. Haiwan korban diimpot dari Australia untuk tujuan ini. Semasa dibawa dalam kapal, haiwan itu tiada ruang yang cukup untuk bernafas. Banyak yang mati juga dalam perjalanan.

Sebelum upacara korban, binatang ditempatkan berdekatan satu sama lain (kerana ruang tidak mencukupi). Apabila masa tiba untuk mereka dikorbankan, panik yang mereka alami sudah cukup untuk meracuni tubuh mereka. Darah pula mengalir berlimpah-limpah di sekeliling mereka. Adakah ini caranya kita merealisasikan rahmat Tuhan?

Kenapa tidak kita mempengsankan (“stun” dalam Bahasa Inggeris) bintang itu dahulu? Jika kita berbuat demikan, maka binatang itu tidak akan mengalami apa-apa. Mereka boleh terus dikorbankan.

Ulama telah berkhilaf di sini. Ada yang mengiakan tetapi lebih ramai yang menidakkan pula. Sebab mereka menidakkan adalah kerana amalan mempengsankan tidak menurut Sunnah Nabi. Mengimpot binatang dari Australia pun tidak menurut Sunnah!

Tetapi zaman berubah. Dulu teknologi “stun” tidak wujud. Maka mengapa kita tidak boleh menggunakannya?

Semangat amalan korban ialah supaya daging korban dapat diagihkan kepada fakir miskin. Semangat ini pun bukan diikut sangat. Cuba kita lihat di Lembah Kelang. Orang kelas pertengahan pun mendapat daging korban.

Kenapa pula tidak boleh diberi kepada fakir miskin yang bukan Islam? Kerana ia menyalahi syariat walaupun ia sangat-sangat menurut semangat Islam kalau menepati Al-Quran.

Kalau kita membaca Al-Quran tentang haji (seperti 2:122-152, 22:25-41 dan sebagainya), kita dapati ia suatu konsep yang amat praktikal. Kita perlu memikirkan, apakah maksud di sebalik ibadat ini dan memfokus kepada maksud itu.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments