Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Polisi baharu untuk Rohingya

 | September 7, 2017

Perlu ada pendekatan baharu terhadap pelarian Rohingya oleh Asean, sekiranya mahu menghalang IS daripada menerima laba besar hasil propaganda agama.

KOMEN

rohingya

Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang penyelidik dari Sasakawa Peace Foundation, Jepun.

Dalam perbualan panjang mengenai kajian saya seputar Hak Asasi Manusia Desa, saya diberitahu ketertarikan Rohingya terhadap Malaysia sangat luar biasa.

“Masih ingat orang hanyut Rohingya yang diusir ke sana sini dan terumbang-ambing di laut antara April-Mei 2015 lantas kemudian mendarat di Aceh?” soal penyelidik Jepun tersebut.

Sebetulnya, pelarian Rohingya itu diberi layanan yang cukup baik di Aceh. Malahan kem untuk pelarian Rohingya iaitu kem Blang Adoe, Lhokseumawe, Aceh Utara sangat lengkap prasarananya.

Sehingga Februari tahun lalu, kem dengan muatan 319 penghuni Rohingya itu merosot mendadak menjadi hanya 75 orang, termasuk 6 bayi baru lahir. Tiga orang dikesani mendapat tempat di Kanada, sementara 235 orang pelarian dipercayai bubar dan masuk secara menyelinap ke Malaysia. Hari ini dikhabarkan, kem tersebut sama sekali sepi dan tiada penghuni.

Mengapa Malaysia

Soalnya mengapa Rohingya lebih cenderung memilih Malaysia? Sedangkan layanan Republik Indonesia diketahui baik kepada mereka. Rohingya masih akan tetap memilih ke Malaysia.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), terdapat sekitar 56,000 pelarian Rohingya yang berdaftar kini mendapat perlindungan di Malaysia.

Jumlah itu tentulah tidak tepat kerana ada pandangan yang menyatakan angka keseluruhan pelarian tersebut dapat mencapai sehingga 200,000 orang.

Datuk Seri Shahidan Kassim dalam tahun 2015 pernah menyebut angka pelarian di Malaysia adalah 151,838 orang dan ia merangkumi Rohingya.

Sekiranya Muslim, atau yang bukan Islam di Malaysia benar-benar empati terhadap masyarakat Rohingya, suatu yang harus difikirkan secara mendalam adalah, mereka, pelarian Rohingya tidak akan dapat ke mana-mana lagi. Amerika Syarikat tidak akan menerima Rohingya pastinya. Negara-negara Eropah telah terbeban dengan pelarian Syria.

Maka, Rohingnya, atas dasar manusiawi mestilah diberikan pengiktirafan rasmi. Bersediakah umat Islam Malaysia sebagai contohnya mengotakan ikrar ukhuwwah dan gagasan ummah yang sering berkumandang di mimbar masjid, mikrofon surau, dan pamflet jamaah yang berceracakan?

Kisah-kisah menyayat hati bagaimana Rohingya ditipu sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia dengan menempuh perjalanan laut dan darat selama berminggu-minggu dari Myanmar ke Thailand dan kemudian melintasi jalan tikus dari wilayah Songkhla di Thailand ke Padang Besar di Malaysia cukup menuntut rasa kemanusiaan, kalaupun tidak solidariti atas nama agama.

Asean dan pelarian

Rohingnya, atas dasar manusiawi mestilah diberikan pengiktirafan rasmi. Eropah, seperti Jerman, telah mengambil pelarian Syria. Mengapa Malaysia atau Asean boleh melepas diri? Bagaimanakah itu boleh dilakukan di sini?

Malaysia boleh, sebagai satu langkah maha serius dan penuh belas kasihan menandatangani konevensyen antarabangsa berkait pelarian iaitu 1951 Refugee Convention dan Protokol 1967.

Indonesia sebagai model harapan telah melakukannya awal tahun ini. Kemboja, Filipina dan Timor Leste juga telah menandatanginya. Pengiktirafan menerusi konvensyen tersebut akan memastikan satu perlindungan rasmi di bawah undang-undang, bantuan dan juga hak-hak sosial mereka terjamin.

Seruan agar Malaysia, dan seluruh negara Asean memastikan hak-hak pelarian dijamin turut disuarakan oleh Asean Parliamentarians for Human Rights (APHR) baru-baru ini.

Kehadiran Rohingya jika diatur dengan betul akan membantu Malaysia memenuhi keperluan pekerjaan “3D” (dirty-kotor, difficult-sulit, dangerous-bahaya). Mereka perlu diberi layanan sebagai buruh yang saksama.

Dalam masa yang sama, pemantauan korupsi yang mana ada pihak mengambil kesempatan ke atas mereka perlu turut diberi perhatian.

Asean mestilah dengan ini menamatkan polisi tidak campur tangan dalam urusan negara anggotanya. Ia mestilah menemukan jalan untuk bersemuka dengan junta tentera Myanmar, dan pemimpin bisu mereka Aung San Suu Kyi.

Asean mestilah memberitahu mereka Rohingya mesti diberi taraf kewarganegaraan di negara tersebut, dan hak untuk mengundi. Mereka juga mesti diberi pendidikan, dan pekerjaan.
Tentu ramai yang skeptikal. Bagaimanakah boleh meyakinkan mereka? Terdapat dua strategi dalam hal ini.

Suu Kyi dan propaganda IS

Pertama, Aung San Suu Kyi mesti diyakinkan bahawa ini akan membantu proses demokrasi di Myanmar dan membantu partinya National League for Democracy. Sementara junta tentera Myanmar mesti difahamkan bahawa isu Rohingya adalah potensi semarak untuk pengganas IS.

Sudah terdapat banyak analisis dan laporan dari pelbagai penyelidik yang memberi amaran bahawa IS sangat mendambakan untuk merekrut kelompok tertindas seperti ini.

Malahan sudah terdapat beberapa tangkapan yang mana merujuk hasrat ISIS untuk mengambil kesempatan di atas konflik di Rakhine.

Dalam satu pendedahan awal tahun ini Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Penolong Pengarah Counter Terrorism di Bukit Aman, menjelaskan terdapat “elemen” dari Malaysia dan Indonesia yang berminat untuk menumbuhkan terorisme sebagai alasan untuk Rohingya mempertahankan diri di Myanmar.

Kemunculan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) dan keberkesanan serang hendap mereka jangan dipandang enteng. Jika IS berjaya beroleh ruang di Myanmar, seluruh rantau ini akan mendapat bencananya.

Justeru Asean perlu menekan Myanmar agar lebih bertanggungjawab.

Kita mesti melihat dengan bimbang kesepakatan nasionalis Burma dan sami degil Buddha dengan cara fikir fundamentalis Hindu yang ada pada Modi dan BJP. Ini kerana India sudah menunjukkan belangnya sejak akhir-akhir ini dengan menzahirkan niat untuk mengusir pelarian Rohingya yang berlindung di sana.

Melaga agama

Adalah dikhuatiri akan ada kekeliruan melihat kenyataan apabila kumpulan Islam menggunakan ini sebagai bahan bahawa kononnya ada satu pakatan Hindu-Buddha yang bersedia mengganyang Islam (baca: Rohingya). Jika itu berlaku IS akan mendapat laba yang besar dari segi psikologinya.

Tokoh besar dunia seperti Pope Francis yang dijadualkan melawat Myanmar November ini mesti menjadikan kesempatan itu sebagai satu lobi tekanan dan bukan dimanipulasi sebagai pengiktirafan terhadap pencabulan hak asasi manusia. Isu Rohingya adalah isu kemanusiaan. Jangan dibiarkan ia dirampas oleh kumpulan ekstrimis Islam.

Kedua, keadaan yang sedia rumit ini akan menjadi bertambah kacau jika mengambil kira pelaburan China di Rakhine. Asean boleh menggunakan pengaruh besar China ke atas Myanmar untuk mengimbangi kestabilan di wilayah itu, dan sekaligus membantu penyelesaian isu Rohingya.

Asean sedia maklum mengenai Zon Ekonomi Khas The Kyauk Pyu tajaan China yang melangkaui 4,200 ekar termasuk pelabuhan bernilai AS$7.3 bilion dan zon industri AS$2.3 bilion untuk industri tekstil dan penapisan minyah mentah. Asean mesti mengingatkan Myanmar dan China, usaha tersebut tidak dapat menjadi kenyataan jelas sekiranya Rohingya belajar berperang dari IS dan saling menumpah darah dengan ekstrimis Buddha pimpinan Ashin Wirathu dan gerakan Ma Ba Tha.

Kembali kepada persoalan yang mula-mula ditimbulkan. Terdapat sebab yang jelas mengapa Rohingya memilih Malaysia berbanding Indonesia meskipun infrastruktur di Aceh jauh lebih baik untuk pelarian. Tentu Rohingya sedar Malaysia enggan menandatangani konvensyen 1951 mengenai pelarian dan Protokol 1967.

Majalah The Economist pada 2015 pernah menyatakan terdapat 2 sebab mengapa Rohingya memilih Malaysia.

Pertama, keyakinan bahawa kemakmuran Malaysia akan turut dapat dikongsi oleh mereka. Kedua, citra Islam di Malaysia yang tampak lebih fundamental.

Soalnya, bersediakah Muslim di Malaysia berkongsi kekayaan dan kasih atas nama ummah?

* Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 6 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments