Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Dinamika bekas Umno dan bekas PAS dalam Pakatan Harapan

 | September 12, 2017

Semasa Pakatan Rakyat dahulu, keadaannya lebih mudah. Pembahagian kerusi PKR dengan PAS tidaklah sukar.

KOMEN

ppbm-amanaha

September adalah bulan ulang tahun kelahiran PPBM, Amanah dan Pakatan Harapan (PH).

PPBM menyambut ulang tahunnya yang pertama dan Amanah serta PH menyambut ulang tahunnya yang kedua. PPBM didaftarkan pada 9 September 2016 sementara Amanah ditubuhkan pada 16 September 2015, tarikh yang dipilih supaya bersempena dengan Hari Malaysia. Sementara PH dilancarkan pada 22 September 2015.

Walaupun kedua-duanya adalah parti baharu, pemimpinnya ahli politik lama yang pernah bertarung menentang satu sama lain.

Dua pemimpin utama PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bukan saja ahli politik veteran Umno tetapi juga pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Dalam Amanah pula adalah bekas ahli politik PAS dan bekas ahli Parlimen seperti Mohamad Sabu dan Salahuddin Ayub.

Kini Dr Mahathir yang merupakan pengerusi PPBM adalah juga pengerusi PH. Muhyiddin yang merupakan presiden PPBM dan Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah adalah timbalan-timbalan presiden PH.

Dalam struktur awal PH, Amanah nyata menggantikan PAS. Walaupun ahli Amanah merupakan pemimpin dan aktivis penting dalam PAS sebelum ini, tetapi Amanah tidaklah sebesar atau sekuat PAS.

Ia juga bermakna PH tidaklah sekuat Pakatan Rakyat. Maka dalam keadaan ini, ada kalangan PKR yang berpendapat kerjasama dengan PAS adalah perlu. PH yang bekerjasama dengan PAS bermakna ia akan meraih kedudukan seperti Pakatan Rakyat sebelum ini.

Tetapi sebarang kerjasama dengan PAS tidak akan dapat diterima DAP dan Amanah. Bagi DAP, kerjasama dengan DAP sudah melanggar prinsip politik mereka. Bagi Amanah pula, PAS tidak akan mahu bekerjasama dengannya.

Tindakan pucuk pemimpin PAS meminggirkan segolongan barisan pemimpinnya membawa kepada penubuhan Amanah dan PH. Kalaulah PAS boleh bekerjasama dengan PH, maka tidak ada sebab Pakatan Rakyat dibubarkan dan Amanah ditubuhkan.

Jadi pada penghujung tahun 2015, adalah sukar bagi PH untuk meraih undi sebanyak apa yang pernah dikecapi oleh Pakatan Rakyat. Suasana berubah apabila berlaku perpecahan dalam Umno ekoran isu 1MDB. Ada antara ahli Umno itu keluar parti dan menubuhkan PPBM untuk menjadi pembangkang dan menentang Barisan Nasional (BN).

Antara hujah yang dikemukakan mereka ketika menjadi ahli Umno ialah parti itu akan menghadapi masalah dalam pilihan raya umum kelak jika isu 1MDB tidak diselesaikan. Bagi mereka, rakyat akan mengundi pembangkang akibat isu itu.

Maka apabila PPBM ditubuhkan, mereka percaya penyokong Umno yang prihatin terhadap isu 1MDB akan beralih arah dan mengundi pembangkang. Malah dipercayai akan berlaku tsunami politik Melayu pada pilihan raya akan datang. Ia bermakna orang Melayu akan meninggalkan BN dan mengundi pembangkang.

Tetapi untuk menjayakan harapan PPBM itu, pemimpinnya percaya pembangkang mesti bersatu. Tanpa perpaduan pembangkang, BN akan menang. Maka langkah pertamanya ialah penyertaan PPBM ke dalam PH. Tetapi seperti PKR, PPBM juga mahu bekerjasama dengan PAS.

Walaupun kemudian PPBM gagal mendapatkan kerjasama dengan PAS, tetapi penyertaannya ke dalam PH adalah suatu yang mengubah suasana politik pembangkang. Maknanya, PPBM telah memberi harapan kepada PH, yang sebelum itu kelihatan layu kerana ketiadaan PAS.

Maknanya walaupun PH kehilangan sebahagian besar undi PAS, tetapi ia boleh digantikan dengan golongan baharu dari kalangan bekas penyokong Umno yang beralih kepada PPBM.

Adalah tidak diketahui lagi berapa banyak undi penyokong Umno yang boleh diraih oleh PPBM, dan juga sama ada ia akan dapat mengatasi undi gabungan BN dengan PAS. Ini kerana kedua-duanya akan berusaha menafikan undi PH.

Namun kehadiran PPBM menaikkan citra PH lebih-lebih lagi dengan peranan Dr Mahathir. Sebagai pengerusi, beliau telah mengemudi PH ke arah persetujuan bersama bukan saja terhadap satu logo tetapi struktur jawatan daripada ketua umum, pengerusi, presiden, timbalan presiden hinggalah kepada ahli Majlis Presiden.

Selain itu, pembahagian negeri juga telah dimuktamadkan. PH negeri pula akan memutuskan pembahagian kerusi. Minggu lalu, Ketua PH Selangor, Datuk Seri Azmin Ali mempengerusikan mesyuarat pertama ahli jawatankuasa negeri itu.

Sememangnya dijangkakan akan berlaku pertikaian di antara parti anggota PH di peringkat negeri. Mungkin mudah bagi DAP untuk menetapkan kerusinya kerana parti itu dilihat sebagai mewakili orang Cina. Kesukaran berlaku antara PKR, Amanah dan PPBM kerana ketiga-tiga ini mengharapkan tsunami politik Melayu.

Semasa Pakatan Rakyat dahulu, keadaannya lebih mudah. Pembahagian kerusi PKR dengan PAS tidaklah sukar. Tempat-tempat untuk lawan Umno yang PAS tidak mempunyai harapan diserahkan pada PKR dengan mengambil kira sebagai parti yang anggotanya pernah menjadi ahli Umno mungkin lebih mudah untuk menarik pengundi.

Apabila Amanah ditubuhkan, maka parti itu berharap ia hanya menggantikan tempat PAS. Kedudukan pembahagian kerusi bagi PKR tidak terjejas. Tetapi apabila PPBM ditubuhkan dan menyertai PH, ia pasti menjejaskan pembahagian kedudukan PKR dan Amanah.

Ada kawasan yang PKR dan PAS lemah. Maka untuk kawasan ini, dipercayai PPBM akan mewakili PH. Maknanya secara automatik Amanah tidak boleh mendapat kawasan yang dahulunya PAS bertanding. Maka tidak hairanlah rundingan dalam PH Johor dipercayai boleh jadi rumit.

Dalam pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat banyak meraih banyak kawasan. DAP, PAS dan PKR menembusi banyak tempat yang selama ini adalah kubu Umno. Apabila PAS berpecah pula, idea penubuhan Amanah tercetus di Johor. PAS baru bertapak di Johor tetapi apabila berlaku krisis ini, banyak ahlinya beralih kepada Amanah.

PPBM pula melihat Johor adalah negeri penting mereka. Kawasan Muhyiddin adalah di Johor dan parti itu mempunyai tapak semula jadi di situ. Maka akhirnya kompromi perlu juga dilakukan antara PPBM, PKR dan Amanah.

Ada pemimpin Amanah Johor mahukan pembahagian kawasan dibuat supaya tidak ada parti yang lebih kuat daripada yang lain dalam pakatan itu. Sementara PPBM Johor pula menyatakan bahawa pembahagian kerusi wajar dibuat menurut kekuatan parti.

Tentunya apa yang dimaksudkan ialah PPBM adalah parti paling kuat di kalangan anggota PH Johor. Tidakkah Muhyiddin adalah bekas timbalan perdana menteri, bekas menteri besar dan bekas pengarah pilihan raya BN? Maka tentu beliau mempunyai pengalaman lebih luas daripada pemimpin PH Johor yang lain.

Namun begitu, bergerak sebagai pembangkang adalah jauh lebih berbeza dan sukar berbanding jika mempunyai jawatan kerajaan. Kebanyakan pemimpin Amanah adalah bekas aktivis PAS yang bergerak dalam politik pembangkang sejak awal tahun 1980-an.

Dari hampir kosong, mereka bergerak di Johor hinggalah dapat bertapak selepas pilihan raya umum ke-13.

Sekarang sebagai Amanah, mereka berada dalam perjalanan yang masih jauh dengan perubahan suasana politik. Tetapi kedua-dua, Amanah dan PPBM adalah parti pemberi harapan pada PH.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments