Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Apabila Siti Kasim disembelih agamawan

 | September 13, 2017

Pandangan peguam itu hanyalah salah satu versi tafsiran mengenai ayat Al-Quran berkenaan mimpi Nabi Ibrahim.

KOMEN

siti-kasimAgamawan adalah golongan yang amat menghairankan – mereka mahu orang ramai mendalami agama, tetapi sesetengah mereka meroyan apabila seseorang mula berfikir sendiri.

Mungkin kerana kalau berfikir sendiri, tidak lagi perlu mengupah mereka untuk memberi kuliah.

Peguam Siti Kasim yang sudah beberapa kali berdepan golongan agamawan sekali lagi menjadi sasaran berikutan pandangannya tentang ibadat korban.

Menurut Siti, Al-Quran tidak pernah menyebut yang mimpi Nabi Ibrahim untuk mengorbankan anaknya adalah dari Tuhan. Siti juga menyatakan ibadat korban itu bukanlah salah satu daripada rukun Islam.

Maka melentinglah golongan agamawan! Mereka tidak suka apabila orang “luar” bercakap mengenai apa yang dianggap mereka sebagai hak mereka, iaitu ilmu agama.

Seorang wakil wanita PAS Kedah menyuruh Siti duduk diam sahaja kalau dia tidak beriman kepada Al-Quran, dan supaya tidak menunjuk dia tidak berpelajaran dan mengatakan Rasulullah itu seorang pembohong.

Burung kakak tua

Inilah salah satu masalah golongan agama. Mereka tidak dilengkapi dengan konsep pemikiran kritikal, seperti burung kakak tua yang mengulangi apa yang disampaikan sahaja.

Wakil wanita PAS Kedah ini tidak memahami realiti interpretasi. Jika Siti tidak bersetuju dengan naratif Nabi Ibrahim seperti yang difahami umum dan juga konservatif, tidak bermakna yang dia menuduh Nabi Muhammad itu pembohong.

Fikiran sebegini amat dangkal dan cetek. Siti hanya berbeza pendapat dengan naratif golongan konservatif, itu saja. Malangnya, pemikiran cetek di samping sikap yang menganggap diri mereka adalah tuan punya Islam menjadikan mereka amat bongkak.

Seorang lagi agamawan berkata: “Saya membaca satu demi satu kenyataan Siti Kasim terhadap Islam. Pandangan beliau terlalu membahayakan imannya. Pihak berkuasa agama perlu mengambil tidakan segera untuk memanggilnya dan tegakkan hujah ke atasnya. Orang seperti ini lebih utama untuk diluruskan kekeliruannya berbanding menangkap mereka yang berceramah agama yang betul tetapi tidak ada tauliah.”

Pertama sekali, kenyataan Siti bukanlah terhadap Islam. Islam bukan hanya satu versi. Kenyataannya adalah pendapat tentang Islam. Dia berhak mempunyai pendapatnya sendiri. Kenapa pula pendapatnya membahayakan imannya?

Kalau dia benar-benar berfikir secara waras dan ikhlas, adakah Tuhan yang mengkafirkannya hanya jika dia tidak bersetuju dengan golongan agamawan? Mereka bukan maksum dan banyak berkhilaf sesama sendiri, tetapi mejadi panas apabila orang lain tidak bersetuju dengan mereka.

Ada agamawan ini yang gemar menuding jari kepada orang yang tidak menulis tesis sepertinya dan memandang rendah kepada yang dianggapnya tidak bertauliah.

Apalah guna kalau tulis tesis di institut yang menolak fikiran kritikal? Di Timur Tengah, tesis seperti yang ditulis oleh Nasr Abu Zaid boleh menyebabkan sarjana itu dibuang daripada universiti. Jadi tesis itu bukanlah tesis sebenar tetapi hanya anggukan sahaja!

Mengapa pula pihak berkuasa agama perlu mengambil tindakan segera? Adakah mereka mempunyai hujah yang boleh dibawa ke meja perbincangan? Jika ada, mengapa perlu ambil tindakan? Kenapa tidak adakan perbincangan terbuka supaya semua orang boleh melihat betapa “salahnya” Siti?

Jika agamawan ini mengikut mazhab yang selalu dipertahankannya, kita perlu bertanya kepadanya, adakah dia mengikut literalisme golongan Wahabi itu? Adakah Tuhan mempunyai 2 tangan terbuka (seperti bacaan literal Surah Al-Maidah, ayat 64)? Jika dia percaya seperti demikian tentang Allah, adakah dia juga patut ditangkap?

Ayat Quran menjelaskan Quran

Siti sebenarnya tidak membuat kenyataan melulu tentang Nabi Ibrahim. Jika kita baca kenyataannya, dia sebenarnya menggunakan teknik yang kononnya paling utama dalam kesemua teknik ulamak Sunnah, iaitu tafsirul Quran bil Quran, di mana ayat Al-Quran sendiri menerangkan ayat lain.

Menurut Siti, Al-Quran mengajar kita bahawa Tuhan tidak akan menganjurkan kejahatan (7:28 dan 16:90) dan hanya syaitan yang menganjur kejahatan dan kemaksiatan (24:21).

Maka, Siti tidak bercakap kosong sahaja. Dia sebenarnya telah menggunakan ayat-ayat Al-Quran sendiri untuk memastikan yang fahamannya tidak lari daripada sistem etika Al-Quran yang utama.

Kisah Al-Quran merupakan misalan universal untuk orang-orang yang dinamakan “ulil albab” (12:111). Ulil albab adalah orang yang memahami maksud dalaman sesebuah cerita.

Jika kisah Al-Quran itu perlu dicontohi, maka bacaan harfiah para agamawan tidak boleh dipakai. Kita juga perlu memahami bahawa Nabi Ibrahim mendapat visi dalam tidur di mana dia mengorbankan anaknya (37:102). Dalam Al-Quran sendiri, Nabi Yusuf menginterpretasi visi orang lain dengan menggunakan metafora. Apabila sahabatnya dalam penjara memberitahu visi mereka, dia telah memberi interpretasi secara metafora (12:41).

Jadi ada yang melihat visi Nabi Ibrahim secara metafora juga. Dalam bahasa, kita biasa mendengar frasa “korbankan diri” secara metafora. Jika kita menggunakan teknik “tafsirul Quran bil Quran”, kita boleh melihat Allah sendiri berfirman dengan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mendirikan “al-bayt” dan membangunkan negeri mereka supaya makmur (2:122-131).

Jadi kenapa tidak visi Nabi Ibrahim mengenai peristiwa itu? Kedua-duanya sama saja dianggap dugaan oleh Allah (2:124 and 37:106) dan kedua-duanya membawa salam atau perdamaian (2:131 and 37:103).

Menafsirkan kisah korban Nabi Ibrahim secara metafora mempunyai dalil yang amat kuat. Malangnya, ada agamawan yang taksub dengan tradisi ilmu mereka, dan tidak rela kewibawaan mereka tercabar. Itu saja isu di sini, iaitu mengenai bidang kuasa golongan itu. Dan ego mereka.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments