Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kisah budaya Melayu yang tewas kepada keganasan Wahabi

 | September 14, 2017

Anda mungkin tidak melihat kaki atau tangan terputus seperti yang dilakukan Saudi terhadap rakyat Yaman dan Bahrain.

KOMEN

keganasan-Wahabi-melayu-rakyat-malaysiaDalam pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Datuk Seri Najib Razak, satu hal yang timbul adalah betapa Malaysia melakukan banyak untuk mengekang keganasan. Oleh kerana itu, Malaysia adalah sahabat baik Amerika Syarikat.

Sememangnya Malaysia melakukan banyak untuk mencegah keganasan atau terorisme. Namun demikian, saya berpendapat, masih tidak cukup banyak yang kita lakukan; masakan tidak.

Ini memandangkan hubungan baik Malaysia dan Arab Saudi yang menaja keganasan sukar diwajarkan. Ataupun sukar pula kita menjelaskan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia lah yang berada di tengah keganasan merancang pengeboman Bali pada 2002 dan 2005. Juga pengeboman Hotel JW Marriot Jakarta pada 2003 dan 2009.

Dunia bertanya mengapa sampai ada pengganas yang datang dari Malaysia dan membuat onar di tempat orang. Kita juga tahu betapa rakyat Malaysia berada di Marawi, Filipina sebagai sekutu IS.

Sementara Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) mencari Dr Zakir Naik atas sebab terorisme, dan mungkin bukan satu kebetulan, beliau dikatakan berada di Malaysia.

Apakah yang berlaku di Malaysia?

Kita, di Malaysia sebenarnya adalah medan pertembungan. Kita juga sedang mengalami peperangan. Perang ini sama parahnya. Ia mungkin tidak mematikan anda, seperti yang dilakukan Saudi terhadap Yaman dan Bahrain.

Akan tetapi, ia sedang meracuni kebudayaan anda. Kebudayaan kita semua pelbagai bangsa di Malaysia. Ia tidak mematikan kebudayaan kita serta-merta. Ia membinasakan perlahan.

Rantau Melayu satu ketika dahulu adalah di bawah pengaruh Buddha dan Hindu sebelum ketibaan Islam. Harus diingat Islam yang dimaksudkan adalah aduk campur secara sihat Islam mistis dan syiah.

Tidak lama kemudian, ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah tiba untuk mengkayakan lagi rantau ini dengan Islam. Pergumulan semua ini menjadikan Islam di rantau ini sangat khas cirinya berbanding rantau Parsi, benua India lebih-lebih lagi Arab.

“Islam fekah” menyerap masuk dalam abad ke 19 ketika Johor-Riau mulai diasak gelombang pertama ketibaan Wahhabisme di alam Melayu. Unsur-unsur adat perlahan-lahan “dimusuhi” seperti terlihat dalam Undang-Undang Kanun Pahang dan meluas di Pahang dan Johor. Kecuali perkara-perkara yang mempertahankan unsur feudalistik dan legalistiknya Islam masih dilindungi, Hukum Kanun Pahang ini memperkukuhkan Islam fekah yang sangat berkisar soal halal haram; justeru salah benarnya penganut Islam.

Harapan besar kita tiba apabila Malaya mencapai kemerdekaan pada 1957. Kita berharap sekularisme yang sihat, yang mana memupuk masyarakat pelbagai kaum dan aneka kepercayaan ini akan membolehkan kita membina peradaban sendiri, yang berbeza daripada apa yang ditentukan penjajah. Perang telah tamat. Cerita-cerita mematikan tok nenek kita sudah dititiknoktah.

Tidak juga. Kejadian 13 Mei 1969 menghancurkan impian tersebut. Untuk itu pelbagai program terpaksa dilaksanakan, dirancang dan dipasakkan demi “membetulkan” keadaan.

Dalam masa yang sama, ada cendekiawan Melayu yang dengan gesa dan landa memomokkan sekularisme. Selain penganjuran Dasar Ekonomi Baru, penggubalan Rukun Negara, sektor kebudayaan kita diperkenalkan dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Penganjuran Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 16 sehingga 20 Ogos 1971 merumuskan beberapa perkara yang menjadi punca masalah hari ini. Usaha kaum tradisionalis dan pemurni perlembagaan (constitutionist) tewas di tangan suara lantang yang memomokkan sekularisme. Islam ditekankan sebagai identiti. Mesti Melayu. Mesti Islam.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan mengiktiraf kebudayaan rakyat asal rantau sebagai tunjang. Ia bermakna Melayu. Memang “Melayu” harus dibaca secara besar meliputi secara geografisnya Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja serta Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania) sehingga Malagasi.

Tetapi maaf, “kebudayaan rakyat asal rantau” dibaca sebagai Melayu. Secara sempit. Titik.

Maka unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima. Bahawa prinsip ini bertepatan dengan situasi penduduk berbilang kaum. Justeru unsur budaya Cina, India, Arab, Barat dan lain-lain yang sesuai dan wajar serta tidak menyalahi “Melayu” akan diberi penimbangan dan penerimaan dalam pembentukan Kebudayaan Kebangsaan. Ia dilakukan atas ihsan. Yakni selagi tidak menyinggung Melayu.

Masalah kita pada hari ini ialah apabila ada prinsip ketiga iaitu Islam sebagai unsur pembentukan kebudayaan kebangsaan. Ia mungkin bukan masalah pada waktu itu.

Islam pada waktu itu, 1971, masih meraikan aneka macam Islam.

Datuk Haron Din belum menyaran supaya Malaysia mengambil syariah (baca hudud) sebagai undang-undang pada 1977. Revolusi Islam Iran masih dalam proses mendidih. Belum ada Amanat Hadi juga.

Pengamal budaya secara polos, pada 1971 menerima bahawa agama atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting dalam proses pembangunan negara. Agama penting sebagai pembentukan rakyat yang berakhlak dan berperibadi mulia.

Kita belum mengkhayalkan ada orang menggunakan agama untuk menjual kismis, tudung, sekolah dan kita tak membayangkan ada pengganas akan menggunakan agama untuk membunuh. Kita secara polos menghubungkan agama dengan akhlak mulia. Kita hanya pernah mendengar sayup-sayup bahawa ateis malah lebih humanis.

Makanya, hujung tahun 1970-an, Sastera Islam mulai diperkenalkan. Kata pinjam bahasa Arab perlahan-lahan meluas. Islam menjadi trending. Al-Arqam, dan ABIM menjadi dambaan. Pentadbiran Mahathir harus bersaing dan menawarkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam. Masyarakat bukan Islam tidak tahu untuk memberi reaksi. Mereka berdiam diri. Hidup sendiri-sendiri.

Pelajar-pelajar kita mulai ke Arab Saudi, Mesir, dan Jordan lantas belajar langsung dengan pemuka Wahhabi yang memakai topeng pelbagai. Mereka terpengaruh. Mereka pulang dan mereka berada di posisi-posisi strategik. Dalam sepuluh ke dua puluh tahun gelombang kedua Wahhabisme dalam proses menyemarak.

Pada 2010, apabila kumpulan Wahhabi ini menyerlah wajahnya dan menjelma di permukaan, mereka mula-mula mensasarkan masyarakat Syiah yang selama ini aman damai dan kurang diketahui orang. Mungkin ada minat pihak tertentu terhadap mereka, tetapi ia masih terkawal.

Akan tetapi Wahhabi diketahui sangat anti Syiah. Malah satu ajaran utama mereka ialah untuk mematikan Syiah. Mereka mulai menghasut masyarakat Sunni agar menyertai. Keadaan tidak sihat ini dinyalakan lebih marak dengan hubungan baik Malaysia dan Saudi.

Sejak 2010, selepas Syiah, sasaran lain adalah liberal, LGBT, Kristian, Orang Asal, ateis, aktivis hak asasi manusia dan terus menjangkit tanpa henti.

Islam tahun 1971 tidak sama degan Islam tahun 2017 yang sudah sangat dikuasai oleh duit petrol Saudi. Maka kebudayaan kita turut menerima tempiasnya.

Sungguh, di Malaysia adalah medan perang. Medan untuk pertembungan. Anda mungkin tidak melihat kaki atau tangan terputus seperti yang dilakukan Saudi terhadap rakyat Yaman dan Bahrain. Tetapi budaya anda sedang terpenggal.

Budaya Melayu sedang mengalami putus kepala, terkerat anggota badan sehingga kadang kita tidak mengenal lagi wajah budaya sebenar. Budaya yang rancu dan sangat memuliakan Wahhabi ini akan membesar.

Dunia akan bertanya lagi kepada kita, mengapa setiap ada pengeboman (seperti di Bali dan Jakarta) akan ada rakyat Malaysia terkait sebagai perancang atau kuncinya. Kita akan terus melawan keganasan dan pemimpin kita akan mendabik dada seluruh dunia. Kita lupa budaya kita yang makin kalah sedang menternak haiwan buas.

Tuan-tuan, sungguh-sungguh menakutkan. Kebudayaan kita masih belum mati. Akan tetapi ia sedang binasa, perlahan; dan kita menyaksikannya tanpa tahu apa yang harus kita lakukan.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 6 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments