Takziah yang kejam dan tahfiz tak lulus CCC tidaklah haram
Tahfiz yang tidak berlesen ini sewajarnya dibantu dan bukannya disuruh ditutup. Jika mereka tiada kelulusan, bantulah mereka mendapat kelulusan.
Bukan sahaja nyawa terkorban, akhlak rakyat Malaysia turut terkorban di dalam insiden ini.
Di media sosial, ramai yang tetiba bertukar menjadi pakar penyiasat. Pemilik dan penyelia tahfiz terus dituduh sebagai mereka yang bertanggungjawab. Tahfiz DQI dituduh sebagai tahfiz haram dan bangunannya belum diberi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) untuk didiami.
Semua tuduhan ini dibuat berdasarkan andaian bahawa kebakaran itu berpunca daripada kecuaian pengurusan. Bagaikan api yang marak, tuduhan ini membuka laluan kepada mereka yang mempunyai prasangka buruk untuk menuntut agar semua tahfiz yang tiada kelulusan diharamkan.
Semalam, polis telah menutup siasatan kes kebakaran di Tahfiz DTI. Puncanya bukan kecuaian, akan tetapi khianat dengan niat membunuh. Tahniah polis kerana berjaya membongkar cerita di sebalik kebakaran yang meragut 23 nyawa itu. Diharap ini dapat memberikan 1 tamparan kepada golongan yang terlalu cepat menghukum daripada membantu.
Akhlak yang paling teruk ada pada mereka di media sosial yang tidak segan silu menyebarkan gambar-gambar mangsa yang dibakar tanpa mempedulikan perasaan keluarga-keluarga mangsa dan menghormati mangsa itu sendiri.
Sepatutnya pada waktu ini, sekadar salam takziah dan kata-kata menenteramkan hati sudah mencukupi buat keluarga mangsa.
Ini tidak. Ucapan takziah diberikan dalam bunyi yang kejam.
“Takziah. Kamu tidak sepatutnya menghantar anak kamu ke tahfiz itu.”
Bayangkan kalau ada orang ucap takziah, “Takziah. Kamu sepatutnya bagi anak kamu pergi dengan kapal terbang” kepada kita yang baru kehilangan anak kerana menaiki bas yang terbabas. Apa perasaan kita? Takziah sebegini sangat tidak berperikemanusiaan walaupun ia tidak diucapkan secara ‘direct’ kepada keluarga-keluarga mangsa.
Baik buruk tahfiz
Kebanyakan tahfiz dibina menggunakan derma. Memang tidak dinafikan, ada pemilik-pemilik tahfiz yang bersifat seperti nila. Tapi usahlah kita kerana nila setitik, susu sebelanga dibuang.
Banyak lagi premis-premis haram di negara kita ini. Contohnya, pusat urut haram, pusat judi haram, pusat rokok haram dan pusat arak haram. Ada juga premis-premis halal tapi aktivitinya memudaratkan masyarakat seperti pusat urut berlesen, pusat judi berlesen dan pusat arak berlesen. Kalau diikut urutan keutamaan, premis-premis perlu ditutup dahulu sebelum tindakan kepada premis-premis yang tidak berlesen tapi menjalankan kebaikan kepada masyarakat, samada ada kebakaran berlaku ataupun tidak.
Tahfiz yang tidak berlesen ini sewajarnya dibantu dan bukannya disuruh ditutup. Jika mereka tiada kelulusan, bantulah mereka mendapat kelulusan. Jika bangunan mereka tidak mematuhi piawai, bantulah mereka memenuhi piawaian. Kerajaan boleh melakukan sesuatu agar semua tahfiz berdaftar dan dipantau.
Saya akui mereka ada kekurangan, tapi sekurang-kurangnya mereka adalah pusat mendidik yang mendekatkan manusia kepada ilmu dan agama dan bukannya mendekatkan manusia kepada keburukan.
Selepas ini, saya akan lebih bermurah hati apabila terjumpa mereka yang meminta derma untuk tahfiz dan mana-mana pusat pendidikan agar mereka dapat meneruskan niat untuk melakukan kebaikan walaupun dalam keadaan serba kekurangan, yang tidak dapat dilakukan oleh saya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.