Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Apabila sirih Mat Taib pulang ke gagang Umno

 | September 18, 2017

Mungkin juga ia rancangan sejak dulu: digugurkan Kabinet, sertai PAS, berbaik dengan Amanah dan sertai PKR, dan kini kembali kepada BN berbekalkan aset strategik merampas Selangor.

KOMEN

najib-mat-taibDengan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno, kini Pakatan Harapan (PH) hanya ada 2 ahli “Team Wawasan”, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara Barisan Nasional (BN) mempunyai 4, iaitu Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman dan Muhammad, atau Mat Taib.

Bagi mereka yang sudah lupa dengan Team Wawasan, perlu disebut bahawa pasukan politik itu sudah tidak ada. Ia hanya terdapat dalam sejarah kontemporari Umno.

Team Wawasan ditubuhkan pada 1993 menjelang pemilihan Umno. Ketika itu Anwar dalam proses bertanding jawatan timbalan presiden Umno sekaligus mencabar Tun Ghafar Baba.

Serentak itu, beliau menubuhkan pasukan politik dalaman Umno yang terdiri daripada calon jawatan tinggi parti iaitu naib presiden termasuk ketua Pemuda dan ketua Wanita.

Tujuan penubuhan Team Wawasan ini ialah untuk menggembleng penyokong masing-masing bagi memberikan kemenangan calon yang menyertainya, sekaligus menjadikan Anwar sebagai timbalan presiden Umno. Melihat Anwar meraih pencalonan yang membolehkan beliau menang, Ghafar menarik diri daripada pertandingan itu. Maka Anwar menang jawatan itu sebelum pertandingan.

Team Wawasan sapu bersih

Nama Team Wawasan mengambil sempena Wawasan 2020 yang digagaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu presiden Umno.

Dari satu segi, ia menggambarkan hasrat pasukan politik itu mendokong wawasan Dr Mahathir. Namun beliau dikatakan tidak senang dengan penubuhan pasukan itu walaupun tidak menghalang manuver politik Anwar itu.

Selepas pemilihan itu, nama Team Wawasan tidak disebut lagi, berkemungkinan untuk memelihara perpaduan parti. Anggota Team Wawasan yang lain masuk bertanding sebagai pasukan dan menyapu bersih semua jawatan yang dipertandingkan.

Mat Taib ketika itu menteri besar Selangor, Najib pula menteri pertahanan dan Muhyiddin, menteri besar Johor. Mereja menang jawatan naib presiden, mengalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi Junid.

Sementara Rahim menang jawatan Ketua Pemuda dan Siti Zaharah mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita.

Team Wawasan ini tidak bertahan lama kerana pada 1994, Rahim terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri dan Ketua Pemuda. Bagi kalangan pemerhati politik ketika itu, usaha menjatuhkan beliau dilakukan oleh “orang Anwar” dengan beranggapan Rahim adalah “orang Mahathir”.

Tempat beliau digantikan Datuk Seri Mohd Zin Ghani sebagai ketua menteri Melaka dan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai pemangku Ketua Pemuda.

Dalam pemilihan Pemuda Umno tahun 1996, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan ketua. Beliau dianggap “orang Anwar.” Pemerhati politik ketika itu melihat kejatuhan Rahim membawa kepada beliau turut menyumbang kepada usaha menjatuhkan Anwar kemudiannya, apabila timbul isu penerbitan buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana Menteri” pada tahun 1998.

Namun begitu, sebelum pergolakan itu berlaku, Mat Taib menjadi tokoh kedua Team Wawasan yang tumbang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan MB Selangor pada 1997, digantikan Dr Khir Toyo.

Tumbangnya tokoh Team Wawasan

Akhirnya tokoh Team Wawasan paling utama, Anwar, yang tumbang. Sebelum itu, beliau berusaha menentang presiden Umno, Dr Mahathir. Usaha bermula dalam Perhimpunan Agung Umno pada 1998. Menurut rancangannya, ia bermula dengan ucapan Zahid. Tidak lama selepas itu, Anwar dipecat, dipenjarakan dan mempunyai parti sendiri iaitu Parti Keadilan Nasional.

Ahli Team Wawasan yang muncul sebagai pemimpin utama Umno selepas ketiadaan Anwar ialah Najib, Mat Taib dan Muhyiddin. Dalam pemilihan tahun 2000, ketiga-tiga pemimpin itu kekal sebagai naib presiden. Zahid menjadi salah seorang ahli Majlis Tertinggi tetapi Siti Zaharah kalah pada Rafidah.

Apabila Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 2003, Abdullah menjadi perdana menteri dan Najib sebagai timbalannya. Dalam pemilihan Umno 2004, Muhyiddin kekal naib presiden tetapi undi beliau adalah kurang daripada 2 calon lain yang menang iaitu Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri Ali Rustam. Zahid kekal sebagai ahli Majlis Tertinggi. Mat Taib terkeluar daripada menjadi naib presiden.

Apabila Barisan Alternatif dan DAP menafikan majoriti 2/3 BN pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Abdullah berundur dan Najib menjadi perdana menteri. Dalam pemilihan parti 2009, Muhyiddin mengalahkan Mat Taib bagi jawatan timbalan presiden. Naib presiden pula ialah Zahid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Lompat 2 parti

Dalam pilihan raya umum 2013, Pakatan Rakyat dapat mengekalkan kedudukannya dengan menafikan majoriti 2/3 kepada BN walaupun terlepas negeri Kedah dan Perak.

Selepas pilihan raya itu, Mat Taib mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PAS, salah sebuah parti Pakatan Rakyat.

Ketika itu, saya hairan mengapa Mat Taib tidak menyertai PKR yang merupakan parti bekas Umno. Namun begitu ada pemerhati politik sempat menyebut kemungkinan ada agenda Anwar untuk menghidupkan Team Wawasan pada pihak Pakatan Rakyat. Tetapi Team Wawasan hanya nostalgia para pengikut Anwar yang menghimbau kenangan ketika mereka berada di puncak kuasa ketika dalam Umno itu.

Apabila berlaku krisis dalaman PAS, Mat Taib kelihatan lebih banyak bersama dengan golongan progresif yang kemudiannya membentuk Gabungan Harapan Baru. Golongan ini mahukan PAS terus bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi apabila PAS berpecah pada 2015 dengan pendokong Harapan Baru menubuhkan Amanah, didapati Mat Taib tidak bersama mereka. Walaupun beliau meninggalkan PAS juga, tetapi Mat Taib tidak menyertai Amanah, sebaliknya menyertai PKR. Seorang lagi bekas ahli politik Umno yang menyertai PAS, kemudian kelihatan berada dalam golongan progresif tetapi akhirnya menyertai PKR, dan bukan Amanah, ialah Datuk Kamaruddin Jaafar.

Mat Taib tidak muncul dalam barisan pemimpin PKR, begitu juga ketika Pakatan Harapan (PH) dilancarkan pada 2015 selepas Amanah ditubuhkan. Ketika PPBM ditubuhkan dan menyertai PH, beliau juga tidak kelihatan dan kedengaran.

Penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan membawa bersama presidennya, Muhyiddin yang juga merupakan anggota Team Wawasan. Mat Taib tidak kelihatan memberi sebarang sumbangan atau bantuan kepada PH. Tetapi beliau ada menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan PPBM.

Kembali berpengalaman?

Semalam, sebelum pengumuman Najib mengenai kemasukan semula Mat Taib ke dalam Umno, sudah beredar spekulasi di kalangan netizen media sosial. Apa yang disebut ialah kemasukan bekas MB Selangor. Maka dispekulasikan bahawa bekas MB Selangor mestilah dimaksudkan sama ada Tan Sri Khalid Ibrahim atau Mat Taib, atau kedua-duanya. Juga dispekulasikan Shafie turut kembali kepada Umno.

Apakah agaknya peranan Mat Taib dalam BN menjelang pilihan raya ke-14 ini? Mungkin beliau pasif seperti ketika dalam PKR dan PAS. Tetapi kalau beliau memainkan peranan, maka tumpuannya dapat dijangka adalah terhadap Selangor.

Sebagai bekas MB dan bekas pengerusi Umno Selangor, dan berpengalaman sebagai anggota PAS, Mat Taib boleh memberi sumbangan kepada usaha Umno untuk merampas kembali Selangor.

Kali ini ada peluang besar untuk BN memenangi Selangor kerana akan berlaku pertandingan 3 penjuru: PH, BN dan PAS. Mungkin kedudukan DAP tidak tergugat tetapi MCA, Gerakan dan MIC tidak akan duduk diam. PKR pula ada perselisihan dalaman mengenai kerjasama dengan PAS.

Bekas MB PKR, Khalid juga mungkin tidak duduk diam. Beliau boleh bersama PAS atau Umno. Sementara Amanah yang gagal memenangi pilihan raya kecil Sungai Besar dahulu belum mantap untuk bertapak bagi mendahului PAS. Selangor pula bukanlah negeri utama bagi PPBM.

Kerjasama Umno dan PAS adalah suatu kemungkinan. Dalam pilihan raya 2008, ada kalangan PAS yang bersedia berunding dengan Umno dan seterusnya boleh menggagalkan penubuhan kerajaan Barisan Alternatif dan DAP.
Tetapi mungkin juga Mat Taib akan membawa beberapa orang PKR kembali ke dalam Umno.

Mungkin juga sememangnya dari awal lagi iaitu ketika Mat Taib menyertai PAS, beliau sudah lama merancang untuk membawa Selangor kembali kepada BN. Mungkin dari awal penggugurannya dari Kabinet adalah untuk misi ini. Duduk bersama PAS, berbaik dengan Amanah dan kemudian memasuki PKR dan kemudian kembali kepada BN berbekalkan aset strategik bagi merampas Selangor.

Pemimpin Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengalu-alukan kembalinya Mat Taib dan akan berbincang mengenai peranan beliau dalam jentera parti.

Semuanya berjalan lancar bagi Najib. Beliau pernah berjaya merampas kembali Perak dan Kedah, sekarang ini ialah giliran Selangor.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments