Sekolah tahfiz yang membunuh budaya tahfiz sebenar
Apa yang berlaku sekarang bukan budaya tahfiz yang sebenar. Ia hanya budaya agama kapitalis yang menggunakan kanak-kanak untuk tujuan mengaut keuntungan sahaja.
Minggu lepas, satu Malaysia berkabung selepas peristiwa kebakaran sekolah tahfiz Darul Quran Iftifaqiyah di mana 23 orang termasuk 21 murid mati rentung.
Selepas siasatan polis, 7 suspek remaja ditangkap. Bagaimana sekumpulan mereka yang juga penagih dadah ini boleh menyelinap masuk ke dalam bangunan pada 5.00 pagi, semasa orang bangun untuk sembahyang subuh, mengusung tong gas ke tingkat 3, memastikan pintu dikunci dan sebagainya masih menjadi tanda tanya.
Namun persoalan lebih penting ialah adakah kita mempunyai budaya tahfiz yang sebenar menurut semangat Islam?
Mungkin soalan yang lebih awal ditanya ialah, perlukah budaya tahfiz dalam era teknologi maklumat?
Dalam era ini, kita mempunyai bukan sahaja mushaf Al-Quran yang dicetak sempurna dan dijaga oleh badan tertentu, kita mempunyai Al-Quran di internet, telefon pintar dan pelbagai alat lain.
Tetapi semua ini bukan poinnya. Walaupun saya dikecam oleh beberapa pihak kerana mengkritik sekolah tahfiz yang leka tentang keselamatan, sebenarnya saya cukup menyokong budaya tahfiz. Bukan sekolah tahfiz tetapi budaya tahfiz.
Maksud saya, budaya menghafal dan menyampaikan teks dan ajaran Al-Quran. Budaya ini adalah tulang belakang ilmu Islam.
Allah menggunakan kalimah “dhikr” iaitu “peringatan” ketika berfirman tentang pemeliharaan Al-Quran dalam Surah Al-Hijr, ayat 9.
Pemeliharaan Al-Quran adalah melalui peringatan. Inilah budaya tahfiz yang sebenar. Asas Al-Quran adalah dhikr dan daripada dhikr ini terbitlah mushaf dalam pelbagai bentuk.
Tetapi pengkritik saya menjawab, apakah masalah dengan sekolah tahfiz? Bukankah sekolah ini baik untuk menyuburkan kesedaran agama?
Zahirnya, memang nampak begitu, tetapi apabila kita meneliti mendalam, jauhlah panggang dari api.
Sebuah laman konservatif Islam melaporkan yang dalam 2 tahun sahaja (2015-2017) berlaku lebih 200 kebakaran melibatkan sekolah tahfiz. Bermakna, satu kebakaran setiap 5 hari!
Dalam kes Darul Quran Iftifaqiyah, pihak bomba mengesahkan yang sekolah ini tidak mengambil langkah keselamatan yang sepatutnya. Mereka memberi pelan sekolah kepada pihak bomba tetapi tidak mengikut pelan ini dan menghalang pintu keluar kecemasan. Mereka juga tidak dapat membuka gril tingkap yang dapat menjadi saluran kecemasan.
Adakah kerana mereka tidak tahu di mana kunci gril atau sememangnya gril tidak dapat dibuka? Apa-apapun, murid-murid tersebut tidak dapat melompat keluar.
Buat masa ini, 7 remaja dituduh membakar sekolah tahfiz Darul Quran Iftifaqiyah. Walaupun ada banyak persoalan yang masih belum dijawab, kita terima dulu kemungkinan ini.
Mengapakah sekolah ini tidak mempunyai pegawai keselamatan yang memantau bangunan? Apakah tugas warden dan jika mereka tidak tidur, mengapa mereka tidak sedar apa yang berlaku.
Walaupun ini kes jenayah, kita tidak patut lupa yang pihak pengurusan sekolah turut bersalah kerana tidak cukup selamat. Apabila kita menjaga anak orang, wajarlah kita memberi keselamatan yang sepatutnya.
Apakah yang berlaku dengan dana berpuluh juta ringgit diberi perdana menteri, dan juga sumbangan daripada rakyat sendiri? Takkan tak cukup mengupah pegawai keselamatan?
Kapitalis agama
Walau macam mana pun orang luar menyanyangi anak kita, tidak sama dengan ibu bapa. Jawapan yang diberi oleh pengetua sekolah, Zahid Mahmod apabila mengulas peristiwa ini ialah seperti melepaskan batuk di tangga. Katanya, “mereka mati syahid”.
Mungkin ini untuk meredakan hati ibubapa yang boleh berkongsi syafaat kanak-kanak ini kerana “mati di jalan Allah”. Tetapi ini bukan budaya tahfiz yang sebenar. Ini hanya budaya agama kapitalis yang menggunakan kanak-kanak untuk tujuan mengaut keuntungan sahaja.
Sebenarnya, ibu bapa dan keluargalah yang patut mewujudkan budaya tahfiz. Mereka sepatutnya menghafal Al-Quran seboleh mana yang dapat, dan menyampaikan hafalan ini kepada anak mereka. Sekurang-kurangnya, Juz Amma (juzuk terakhir Al-Quran) pun boleh.
Tapi apabila kita fikirkan, Al-Quran hanyalah lebih 6,000 ayat sahaja. Kenapa kita dapat menghafal seni kata lagu tetapi tidak dapat menghafal Al-Quran?
Budaya tahfiz sebenar bermula di rumah. Ibu bapa menyampaikan surah dengan ayat demi ayat. Sambil itu, ulaskan maksud ayat tersebut. Kalau tidak boleh belajar bahasa Al-Quran, dengan memakai terjemahan.
Bincangkan maksud dan implikasi ayat tersebut dengan keluarga masing-masing. Mungkin di sini, golongan taksub agamawan akan memberi amaran, kalau-kalau kita “tersimpang jauh” daripada maksud sebenar. Mereka kerap lupa yang sebenarnya, agamawan sendiri banyak perbezaan antara mereka. Jika mereka boleh membuat kesilapan, kenapa kita tidak boleh?
Sebenarnya, sekolah tahfiz, seperti semua sekolah agama, memprofessionalkan suatu proses yang sepatutnya dijalankan oleh seluruh umat Islam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Kita tidak payah menghantar anak ke sekolah seperti ini jika kita sendiri boleh menjalankan tugas ini.