Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bebaskanlah pilihan raya kampus

September 23, 2017

Saya ingin memberikan pesanan kepada mereka yang sering mengotori pilihan raya kampus dengan pelbagai helah supaya tidak terlalu takut dengan mahasiswa.

KOMEN

ukm-5Oleh Rahman Imuda

Pilihan raya kampus umumnya dilaksanakan pada semester September. Pilihan raya kampus akan menentukan siapa yang akan mewakili mahasiswa selama setahun. Setakat ini Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Tun Hussein telah dikunjungi oleh pesta demokrasi ini. Malangnya, setiap kali tiba musim pilihan raya kampus kita akan mendengar cerita-cerita yang tidak enak berkenaan proses pemilihan wakil pelajar itu. Paling menyedihkan apabila “tangan-tangan halus” yang jelas kelihatan mencampuri urusan mahasiswa sehingga proses pemilihan wakil mahasiswa menjadi tidak adil. Mengambil contoh kajian soal selidik Demokrat UKM berkenaan tahap keadilan pilihan raya kampus mereka, daripada 230 responden 73.9% berpandangan pilihan raya kampus di UKM tidak adil. Saya percaya ramai mahasiswa yang dapat melihat betapa kotornya pilihan raya kampus, tetapi hampir kesemuanya memilih untuk bungkam kerana takut dikenakan tindakan. Mahasiswa kita memang terkenal dengan sifat bimbang tidak bertempat, dalam isu pilihan raya kampus, sifat itu terus dipegang teguh.

Saya sering bertanya pada diri saya; apa sebenarnya yang terlalu ditakutkan oleh kebanyakan pihak pengurusan universiti? Mereka terlalu bersungguh-sungguh menyekat mahasiswa yang lantang memperjuangkan isu-isu mahasiswa dan ingin memastikan calon-calon yang mereka gemari menang. Barangkali mereka mahu kerja mereka menjadi mudah, cuma perlu berhadapan dengan wakil mahasiswa yang hanya tahu “angguk” ketika diberikan arahan dan boleh dijadikan benteng ketika menghadapi persoalan-persoalan mahasiswa. Saya fikir inilah penjelasan yang paling masuk akal tentang persoalan “mencabuli” hak mahasiswa ini.

Pilihan raya kampus adalah proses latihan untuk generasi muda mengaplikasikan demokrasi dalam memilih wakil, sesuatu yang akan diamalkan selepas keluar dari alam kampus. Jika sejak dari dalam kampus lagi, “tangan-tangan halus” ini mengajarkan mahasiswa ilmu-ilmu politik yang salah, tidak mustahil ilmu-ilmu ini akan diteruskan. Soalan saya, bukankah fungsi universiti menyemai ilmu-ilmu yang benar dan integriti dalam jiwa mahasiswa? Mengapa setiap kali mahasiswa menghadapi PRK, prinsip itu seolah-olah dibuang?

Nafas baharu, bukan nafas yang busuk

Hal yang paling menarik ketika menjadi mahasiswa adalah anda boleh melakukan kesalahan ketika berpolitik di kampus dan tidak ada sesiapa yang wajar menghukum anda dengan berat. Mahasiswa masih berada pada fasa pembelajaran, ketika belajar tidak salah untuk melakukan kesalahan. Cumanya, mahasiswa harus sedar tentang hakikat risiko yang mereka akan hadapi, jika ditangkap polis, lokap itu “real”, dan kecaman daripada pelbagai pihak juga akan dirasai. Jika bersedia dengan risiko-risiko yang ada, maka teruskanlah perjuangan dengan penuh semangat dan ilmu. Walaupun menjadi mahasiswa bermaksud boleh melakukan kesalahan, tapi ini tidak bermaksud mana-mana gerakan mahasiswa tidak boleh dikritik dan diberikan nasihat.

Mahasiswa seharusnya memberi nafas baharu dan harapan untuk politik masa hadapan. Amat mendukacitakan apabila masih ada gerakan mahasiswa yang terlalu terikut-ikut dengan rentak politik nasional. Bermain dengan sentimen agama dan bangsa secara keterlaluan, seharusnya ‘nafas busuk’ ini dibuang jauh-jauh, dibasuh dengan ‘idea dan method’ gerakan yang menyegarkan. ‘Nafas busuk’ ini menjadi lebih parah apabila mudah diterima oleh kebanyakan mahasiswa, sambutan yang diterima menyebabkan kaedah-kaedah politik orang tua ini masih diamalkan di kampus.

Selaku mahasiswa yang pernah diberikan amanah menjadi wakil mahasiswa, saya berpandangan limitasi kuasa yang dimiliki oleh MPP akan menyebabkan proses-proses menggugat keputusan dan dasar universiti yang tidak mesra mahasiswa akan menjadi sukar. Sejak ‘persatuan mahasiswa’ diragut kuasanya dan universiti diambil autoriti penuhnya, maka tidak banyak yang boleh dilakukan oleh wakil mahasiswa. Namun, dengan kuasa yang kecil, wakil mahasiswa mampu untuk mempengaruhi mahasiswa yang diwakilinya untuk bersifat lebih kritis dan vokal dalam memperjuangkan isu-isu mahasiswa, kemasyarakatan dan negara.

Malangnya, akibat campur tangan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, mahasiswa yang berpotensi untuk mewakili mahasiswa dengan baik sering disekat atau dikhianati. Hasilnya, mahasiswa yang tidak layak dipilih menjadi wakil, mahasiswa yang menjadi ‘kegemaran’ tangan ghaib dijulang tinggi. Mereka sering menjadi boneka yang digunakan untuk mengizinkan semua kebatilan, termasuk memujuk mahasiswa untuk menerima dasar-dasar yang menindas. Secara logiknya, mustahil mereka ingin mengkritik dasar-dasar menindas mahasiswa sedangkan mereka telah dinaikkan oleh orang-orang yang memperkenalkan dasar-dasar itu.

Jangan bimbang, mahasiswa tak peduli pun

Saya ingin memberikan pesanan kepada mereka yang sering mengotori pilihan raya kampus dengan pelbagai helah supaya tidak terlalu takut dengan mahasiswa. Kebanyakan mahasiswa pada masa kini tidak gemar untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti di luar bilik kuliah atau aktiviti yang tidak diberikan merit dan sijil penghargaan. Fokus utama kebanyakan mahasiswa bukan untuk itu, mereka cuma ingin menghabiskan masa di kampus belajar dan seterusnya terjun dalam bidang pekerjaan. Jadi, anda boleh bertenang, kehadiran MPP yang vokal atau ‘anti-establishment’ tidak akan memberi impak yang terlalu besar terhadap lensa mahasiswa kita. Jadi, anda bolehlah membebaskan pilihan raya kampus dan kembalikan kuasa memilih pada tangan mahasiswa.

Rahman Imuda adalah seorang aktivis mahasiswa dan pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments