Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ahmadiah, Qadiani dan minoriti dalam demokrasi

 | October 11, 2017

Nasib golongan Ahmadiah bertitik tolak daripada suatu sifat demokrasi yang berupaya menzalimi golongan minoriti.

KOMEN

islam_ustaz

Salah satu masalah dengan sistem demokrasi ialah kezaliman pihak majoriti terhadap pihak lain. Kerana pihak majoriti mempunyai pengaruh dengan parti pemerintah, maka tuntutan mereka akan dituruti.

Kesengsaraan Rohingya di Myanmar sekarang mempunyai sebab yang hampir sama. Pemenang Anugerah Keamanan Nobel dan juga Konsul Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi, begitu takut untuk menaikkan api kemarahan rakyat majoriti beragama Buddha jika dia menghalang puak Buddha fundamentalis. Maka dia melupakan sahaja isu hak asasi manusia.

Demokrasi tidak memberi kelebihan kepada semua jika pihak majoriti adalah zalim.

Begitu juga di Malaysia. Parti pemerintah terpaksa akur dengan majoriti, iaitu Melayu Islam. Dengan naiknya pengaruh golongan bergelar ulama, maka penindasan berlaku terhadap golongan minoriti Islam lain.

Kalau dulu golongan Syiah disasari walaupun mereka hidup di kalangan Melayu bermazhab Sunnah selama berabad-abad, kini golongan Ahmadiah pula disasari, seperti mana diluahkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Mengapa Ahmadiah disasari sebegini? Kalau Syiah disasari kerana mereka mempunyai “akidah” yang berlainan, sekurang-kurangnya mereka masih bersetuju dengan aliran Sunnah dalam perkara pokok.

Berlainan dengan Ahmadiah. Dalam perkara yang paling penting dalam akidah Ahlus Sunnah, mereka tidak bersetuju dengan status Nabi Muhammad sebagai penutup segala nabi. Dari kacamata Sunnah, ini sudah cukup untuk mengkafirkan mereka.

Dari manakah muncul golongan Ahmadiah? Ia dimulakan pemikir Islam, Mirza Ghulam Ahmad (1835-1908) yang berasal dari Qadiyan di negeri Punjab, India. Mirza melihat dirinya sebagai seorang mujaddid atau imam Mahdi akhir zaman (yang kadang-kadang disamakan dengan Nabi Isa sendiri).

Golongan Ahmadiah di sini berpecah kepada 2 golongan iaitu Qadiani (yang asal) and golongan Lahori (yang hanya berpegang kepada status Mirza Ghulam Ahmad sebagai Mahdi).

Qadiani mempunyai kepercayaan berunsur kontroversi kerana mereka mempercayai terdapat 2 jenis nabi. Satu, nabi yang membawa undang-undang baru seperti Nabi Muhammad (dengan Al-Quran) dan Nabi Musa (dengan kitab Taurat), dan kedua, Nabi yang tidak membawa undang-undang baru, yang menurut mereka termasuk Mirza Ghulam Ahmad sendiri.

Iktikad sebegini sememangnya akan mengganggu ketenteraman pengikut aliran Sunnah kerana Nabi Muhammad adalah fokus utama dalam akidah mereka.

Pada 1924, golongan Ahmadiah dihukum kafir oleh badan ulama sedunia. Ini kerana, bagi golongan Sunnah, Al-Quran terang-terang berfirman yang Nabi Muhammad adalah penutup segala Nabi (Surah Al-Ahzaab, ayat 40).

Namun begitu, golongan Ahmadiah mentafsirkan frasa tersebut sebagai “yang terbaik di kalangan nabi”. Tafsiran ini sebenarnya bukanlah asing dalam kamus bahasa Arab tetapi ditolak Ahlus Sunnah.

Di serata dunia, golongan Ahmadiah terkenal dengan komitmen mereka kepada kedamaian. Mereka terang-terang menolak konsep perang dalam Islam. Bagi mereka, ayat Al-Quran yang berkenaan dengan perang adalah konteks sirah Nabi Muhammad dan tidak terpakai di zaman ini. Mereka punya prinsip “love for all, hatred for none”.

Sebenarnya, pemikiran Mirza Ghulam Ahmad amatlah mendalam. Kita dapat mengamati kedalaman ini dengan fahamannya tentang beberapa konsep Al-Quran di mana beliau menampakkan sifat kesufian seakan-akan, Shaykh Al-Akbar, Ibn Arabi sendiri.

Ahmadiah di Malaysia berhadapan dengan masalah yang sama dengan rakan-rakan mereka di serata dunia. Namun begitu, sekurang-kurangnya, di Malaysia, mereka dapat hidup damai.

Malangnya, mereka kini kian terserlah sebagai mangsa politik yang mudah diperalatkan oleh sesetengah golongan.

Bulan lalu, PPIM membuat ancaman terselindung terhadap puak Ahmadiah, apabila menggesa pihak berkuasa agama mengambil tindakan terhadap Baitusalam, pusat gerakan Ahmadiah di Batu Caves.

Seorang jurucakap Gerakan Benteras Aktiviti Haram (GBAH) di sebuah sidang media dianjurkan PPIM berkata di Indonesia, pusat Ahmadiah dibakar. Yang hairannya, pihak polis tidak pula mengambil tindakan terhadap ancaman ini. Itulah pengaruh pihak majoriti.

Mengapa PPIM menyibuk dalam hal-ehwal aliran berfahaman lain pula? Bukankah mereka persatuan pengguna yang kononnya menerajui industri halal dan memastikan umat Islam menggunakan produk yang yang halal lagi suci?

Mengapa mereka perlu disasari? Jika mereka dianggap bukan Islam, maka mereka tidak patut diganggu kerana semua orang bukan Islam berhak mempunyai agama masing-masing.

Jika mereka dianggap umat Islam pula, maka mereka tidak terikat dengan mana-mana aliran.

Islam adalah agama rasmi persekutuan, bukannya Islam dalam fahaman Sunnah Wal Jamaah. Malangya, kontroversi dalam iktikad mereka telah memberi peluang untuk penunggang agama mengambil kesempatan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments