Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kassim Ahmad dan Wahhabi

 | October 12, 2017

Walaupun beliau pernah menyeru agar mendakap gerakan Wahhabiyah, tetapi saya tidak akan sekali-kali memerli beliau.

KOMEN

Dr-Mohd-Faizal-Musa_kassim-ahmad_600

Apa yang mengakibatkan saya tertarik kepada Kassim Ahmad? Padahal arwah pernah memuja-muja gerakan Wahhabi.

Ketika berada di Tahun Satu Fakulti Syariah Universiti Malaya, saya membaca sebuah buku berjudul “Teori Sosial Moden Islam” yang kulitnya polos berwarna kehijauan, dengan sebuah gambar tekap menara masjid.

Pada halaman awal buku tersebut, Kassim menulis, “seruan kaum mujaddid Islam pertama, Wahhabiyah, seratus lima puluh tahun dahulu – ‘kembali kepada al-Quran dan Sunah Nabi’ adalah tepat dan masih dikehendaki”.

Itulah kali pertama saya mengenal Kassim, yang kemudiannya menjadikan saya kecanduan meneliti anotasi beliau pada “Kisah Pelayaran Abdullah” dan merebak kepada karya sastera beliau yang tidak banyak itu, khusus di dalam “Kemarau di Lembah”.

Sewaktu saya membaca buku Kassim “Teori Sosial Moden Islam”, kebangkitan Islam masih semarak dan orang masih bercakap untuk “kembali kepada Islam”. Namun demikian, tidak ramai yang ingin mengisi maksud dan pengertian “kembali kepada Islam” itu – apa, bagaimana, prosesnya apa dan lain-lain.

“Kembali kepada Islam” itu rata-rata diterjemahkan sebagai kembali berjubah, berhijab, bermasya-Allah dalam percakapan dan membaca karya sastera Islam.

Akan tetapi, Kassim dalam “Teori Sosial Moden Islam” menyuruh umat untuk kembali mengkaji sejarah Islam secara kritis.

kassimbukuUntuk Kassim, itulah “kembali kepada Islam’ yang tulen. Setelah mengkaji dan menelaah Islam secara kritis, Kassim menyuruh melihat bagaimana ia boleh lancar dan utuh di zaman moden ini, sambil menilai mana yang boleh dan mana yang tidak pada tamadun lain untuk digaulkan serentak.

Memang pada waktu itu saya lebih terkesankan Sayyid Qutb, dan Maududi. Buku Kassim itu serasa aneh, pun, ia segar. Tetapi lapiknya masih sama, pemujaan semberono Wahhabisme.

Ketika itu saya lebih tertarik kepada idea Kassim mengenai kesusasteraan. Apabila saya belajar di bawah Profesor Shahnon Ahmad di Universiti Sains Malaysia kemudiannya, saya mendapati, meskipun Shahnon dan Kassim banyak bergasak dalam pelbagai perkara khusus debat mereka mengenai konsep sastera Islam, Shahnon tidak pernah menghina pandangan Kassim.

Salah satu tulisan Kassim yang sangat bermakna dan meletakkan saya di jalan ini tentulah esei beliau berjudul “Tugas Penulis-Penulis Kita Hari Ini”.

Esei itu ditulis beberapa tahun selepas Merdeka, tetapi masih bermakna isinya sehingga ke hari ini.

Inilah antara tulisan yang membakar saya sehingga saya menulis karya yang dilarang kerajaan.

Sebagai anak muda yang baru bertatih menulis pada waktu itu, ayat Kassim seperti, “nilai-nilai tinggi dan keluhuran yang telah umum diterima manusia walau apapun bangsanya dan agamanya, seperti kebenaran, keadilan, kebebasan berfikir dan beragama dan persaudaraan antara manusia, adalah nilai-nilai yang harus dibela dan dipertahankan oleh para penulis di dalam karya dan kehidupan mereka”, membantu saya menetapkan arah penulisan.

Syarat jadi penulis

Kassim menjelaskan seorang pengarang perlu melengkapkan dirinya dengan 3 jenis kemampuan.

Pertama, kemampuan spiritual. Kedua, kemampuan moral. Ketiga, kemampuan intelek.

Apabila Kassim menekankan kemampuan spiritual atau rohani, ia bukan bermaksud pengalaman dan pengamalan beragama. Apa yang Kassim maksudkan dengan kemampuan rohani adalah kapasiti untuk berjiwa besar, yang menurutnya “mencintai dan membela segala yang baik, dan membenci dan memerangi segala yang jahat”.

Pengarang, katanya, mesti membela kebenaran, keadilan, perdamaian dan manusia tertindas lagi malang dan membenci kedustaan, kezaliman, peperangan dan manusia penindas.

Untuk meraih kemampuan moral, Kassim menganjurkan pengarang berdisiplin dan turun mendampingi masyarakat, mencebur diri di tengah pergolakan orang bawah kerana meraka adalah “telaga inspirasi”, dan agar karya tidak harus berpaksikan khayal-khayal yang dangkal.

Menurut Kassim, pengarang juga perlu memiliki kemampuan intelek, yang mana pengarang samada bersekolah atau tidak, mesti melalui bermacam pemikiran, mengisi dada dengan pelbagai ilmu, mengkaji kitab-kitab suci seperti Al-Quran kerana tujuan mengarang adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat dan manusia.

Kassim menegur pengarang yang banyak bermain dengan teknik kerana pada pendapat beliau, isi tulisan jauh mengatasi teknik. Seni, menurut Kassim terletak kepada “kepatuhan sesuatu karya kepada kebenaran dan keadilan”.

Pandangan Kassim di atas konsisten sehingga tahun 1992, apabila beliau diundang memberi Syarahan Pendeta Za’ba pada 14 September 1992 di University of London.

Menurut Kassim, meminjam Sutan Takdir Alisjahbana, sastera Indonesia, dan dalam konteks kita Malaysia, masih terperuk dengan pengucapan “individualisme yang kecil”, dan “tidak berhubungan dengan keseluruhan masyarakat”.

Kassim menyatakan “individualisme” ini negatif kerana membuatkan seniman melarikan diri dari masyarakat dan menyangka dirinya “peribadi yang besar”.

Akibatnya, sastera tidak memberi bentuk yang besar kepada masyarakat dan apa yang terhasil adalah “sastera kegelisahan”.

Setelah saya dijadikan orang buangan oleh elit sastera tanahair, dan dicop bermacam-macam, saya kembali menelaah gagasan Pak Kassim dalam “Teori Sastera Moden Islam” dan buku “Jalan Yang Lurus”.

Ingatan dan pesan beliau tentang tugas kesenimanan dan kesarjanaan masih utuh dan sama. Seperti dulu, tidak semua idea beliau saya persetujui, tetapi tidak semua akan saya sanggah dan bakulsampahkan.

Memang arwah pernah memuja-muja gerakan Wahhabiyah. Tidak banyak bezanya seorang “Quranist” dengan seorang “Wahhabi” kerana secara dasarnya kedua-dua kumpulan membaca kitab suci tersebut secara literal.

Kedua-duanya mengungguli Al-Quran tanpa mengambil kira Al-Quran ada penjaganya.

Pak Kassim sudah meninggal dunia, walaupun permintaan beliau agar menyahut gerakan Wahhabiyah dalam pendahuluan “Teori Sastera Moden Islam” tidak saya sukai, tetapi saya tidak akan sekali-kali memerli beliau.

Ini kerana salah satu yang ditekankan oleh Pak Kassim adalah akhlak dan adab. Ini jarang ditemukan hari ini, termasuk dalam kalangan agamawan dan mufti termasuk yang Wahhabi.

Inilah beza antara seorang yang dicop “anti-hadis” dengan seorang “mufti progresif”.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 6 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments