Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Rakyat Sabah perlu berdepan realiti sikap ahli politik

October 13, 2017

Satu budaya politik di Malaysia adalah apabila seorang ahli politik kerajaan bertukar haluan dengan menyertai parti pembangkang, beliau seakan-akan suci daripada dosa.

KOMEN

sabah_rasuah_rakyat_600

Oleh Firdani Adam

RM1.5 bilion bukan jumlah yang kecil apatah lagi melibatkan sebanyak 350 buah projek pembangunan luar bandar di 9 buah daerah di Sabah sekitar tahun 2010 hingga 2016. Tetapi bagi ahli politik, ia sekadar angka yang boleh dihitung dengan jari.

Beberapa ahli politik Parti Warisan Sabah dan Umno ditahan reman bagi membantu siasatan dan seperti yang dapat dijangka, ahli politik parti yang terlibat menganggap ia sebagai tangkapan politik, strategi melemahkan seteru politik, dan tidak ada yang serius kerana tahanan politik tersebut merupakan “rakan sekapal”.

Nadanya mungkin jauh berbeza jika tangkapan tersebut dilakukan terhadap ahli politik parti lawan.

Mungkin ada logiknya kerana skandal ini tidak pernah terbongkar ketika presiden Warisan masih menyandang jawatan menteri di Kementerian Luar Bandar dan Wilayah apatah lagi sebagai naib presiden Umno.

Namun setelah bertukar kapal, bermacam bentuk serangan diterima oleh beliau. Serangan yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak kurang hebatnya yang dikatakan bertindak atas telunjuk politik semata.

Pada satu sudut pandangan, pasti ramai yang bersetuju dengan kenyataan sedemikian memandangkan siasatan dijalankan terhadap ahli politik pembangkang sedangkan ahli politik kerajaan seakan-akan tidak “disentuh”.

Tetapi pada sudut pandangan yang lain pula, ia bukanlah sesuatu yang menjadi masalah adalah apabila individu berkenaan merupakan ahli politik Barisan Nasional, yang sudah pasti akan ada sekatan politik terhadap siasatan yang cuba dijalankan.

Kita akui, penahanan bersifat politik pernah berlaku terhadap ahli politik PBS suatu ketika dahulu tetapi ia bukanlah berkaitan dengan penyelewengan dana melainkan atas tuduhan menyokong pemisahan Sabah daripada Malaysia.

Jika sentimen anti-persekutuan dimainkan atas dasar mengabaikan kebajikan dan kepentingan rakyat Sabah, apa yang berlaku kepada peruntukan RM1.5 bilion yang diselewengkan?

Adakah ia juga kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan? Bukankah orang yang dipertanggungjawabkan dengan amanah tersebut merupakan warga Sabah juga?

Kita tidak menafikan ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan terhadap negeri Sabah dan pada masa yang sama juga kita tidak boleh menafikan penyelewengan yang dilakukan oleh ahli politik Sabah itu sendiri. Tuduhan sedemikian boleh diibaratkan seperti “meludah ke langit”.

Satu perkara yang menjadi budaya politik di Malaysia ini adalah, apabila seorang ahli politik kerajaan yang terlibat dengan pelbagai skandal, bertukar haluan dengan menyertai parti pembangkang, ahli politik tersebut seakan-akan suci daripada dosa dan segala pengkhianatan yang pernah dilakukan terpadam serta merta daripada kamus hidup penyokong terbabit sedangkan tidak sedikit pihak yang menderita akibat pengkhianatan tersebut.

Harapnya penyelewengan RM1.5 bilion itu hanya sekadar mitos yang direka oleh pihak berkenaan untuk menjayakan agenda politik mereka dan seterusnya membenarkan kenyataan “penahanan bersifat politik”.

Namun jika sebaliknya, rakyat Sabah harus sedar dan mula membuat penilaian terhadap pilihan politik mereka agar tiada lagi pengkhianatan yang berlaku atas dasar menyokong ahli politik yang berjuang untuk Sabah.

Firdani Adam ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments