Kesucian dan rasisme, menjawab penyokong Zamihan
Konsep sesuatu umat itu ‘tidak suci’ sebenarnya datang daripada ide agama yang wujud di Timur Tengah pada zaman dulu.
Walaupun demikian, menurut satu laporan FMT, dia diangkat “pejuang Islam” oleh pengikutnya kerana membantah pesta arak di Johor. Penghormatan ini datang baru sehari selepas dia dikutuk oleh Sultan Johor sebagai “tin kosong” yang tidak tahu hidup bermasyarakat dan lebih sesuai hidup di gua sahaja (kebetulan gelaran yang dipakainya pun “al-ghari”!).
Di samping itu, muncul berpuluh artikel di media sosial mengkritik Zamihan dan agamawan lain sebagai ekstremis.
Bagi saya, ekstremisme mereka memang menjadi masalah, tapi apa yang memburukkan lagi masalah itu ialah rasisme mereka. Mereka tidak terpisah daripada sifat rasisme jahiliyah walaupun mereka kononnya memperjuangkan Islam.
Ini bukan kali pertama agamawan mengundang kontroversi apabila mencampuri rasisme dengan agama. Dua tahun lalu, Kazim Elias membuat kenyataan berbaur rasisme juga apabila dia mengatakan walaupun negara kita sepatutnya mengamalkan ketuanan Melayu, yang sebenarnya berkuasa adalah orang Cina. Orang Melayu sibuk berhempas pulas menjaga negara dan orang Cina berjoli dan mencemarkan negara dengan amalan kekafiran mereka.
Kenyataan berat sebelah ini tidak patut dikeluarkan oleh agamawan tetapi itulah Islam di Malaysia. Laporan polis dibuat terhadap Kazim tetapi entah apa terjadi.
Berbalik kita kepada Zamihan and kenyataan rasisnya. Menurutnya, orang Cina mempunyai tabiat minum arak dan makan babi, dan oleh itu kekotoran pada baju mereka akan bercampur (kata orang Pulau Pinang, bergelomiang) dengan pakaian orang Islam dalam mesin basuh.
Dengan itu, akan terkompromilah kesucian pakaian umat Islam dan ibadat mereka mungkin tidak diterima Tuhan!
Mentaliti sebegini amatlah dangkal kerana jika Tuhan benar-benar mengambil berat tentang kekotoran sampai ke tahap atom atau zarah begitu, maka orang Islam terpaksalah berpindah ke planet Marikh untuk mengelak daripada terkena dengan atom “haram” berkenaan!
Ataupun mereka patut hidup dalam “plastic bubble” seakan-akan Michael Jackson satu ketika dulu. Dalam isu ini, Zamihan dicemuh oleh agamawan lain juga yang menggunakan kaedah fikah mereka untuk menyanggah pendapatnya.
Penyokong Zamihan
Namun begitu, ada juga agamawan yang menyokong pandangan Zamihan sebagai menepati tuntutan kesucian Islam. Mereka menggunakan Al-Quran sendiri untuk membuat poin mereka.
Mereka mengatakan Al-Quran mengatakan bahawa orang kafir adalah “kotor” (najsun) iaitu dalam Surah At-Tawbah, Ayat 28.
Sebenarnya, bacaan cetek lagi dangkal sebeginilah yang akan merosakkan imej Islam. Orang yang membuat bacaan ini mengikut ahli tafsir kuno tanpa berfikir panjang, apatah lagi menyelidiki teks Al-Quran sendiri.
Sepatutnya, mereka membaca ayat itu mengikut konteks surah itu sendiri. Surah At-Taubah bermula dengan perkataan “al-musyrikin” iaitu golongan yang spesifik. Imbuhan “al” dalam ayat ini menunjukkan kata nama khas. Ia bukan kepada semua orang tetapi kepada orang dalam konteks tersebut.
Jika kita meneliti suruhan dalam surah ini daripada ayat 1 sehingga 27, ia merujuk kepada orang yang melanggar perjanjian damai di antara negeri Islam dan sistem mereka. Inilah sebab mereka diperangi. Inilah sebabnya, dalam ayat 28, mereka dikatakan sebagai “kekotoran” dan mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam sistem Islam.
Tiada kena mengena dengan DNA babi, alkohol atau pun sebab keimanan mereka. Cuma perlakuan mereka yang suka berperang mengotori personaliti mereka.
Sistem Islam yang diasaskan oleh Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk semua manusia, bukan sahaja umat Islam (ayat 2:125 – “mathabat lin naas”).
Jadi, dari mana datangnya ide yang orang bukan Islam adalah insan yang kotor?
Konsep ini sebenarnya datang daripada ide agama yang wujud di Timur Tengah pada zaman itu. Agama pada zaman itu saling bersaing untuk mendapat pengikut yang paling banyak maka salah satu taktik yang digunakan ialah konsep kesucian.
Konsep ini diwarisi oleh puak Sunnah mahupun Syiah, yang mengaitkan akidah dengan kesucian. Maka puak Sunnah menganggap Syiah sebagai “kotor” dan begitu juga sebaliknya.
Jadi bukan sahaja DNA babi dan atom alkohol yang terlibat. Akidah sesorang pun boleh mengacau kesuciannya juga.
Apa yang menghairankan, Al-Quran sendiri tiada konsep sebegini, selain ayat 9:28 di atas yang mengaitkan kekotoran dengan sifat suka berperang dan melanggar perjanjian kedamaian.
Kalimah “rijsun” juga digunakan untuk bermaksud kekotoran tetapi sekali lagi, tiada DNA atau atom dimaksudkan. Hanya daging babi diharamkan kerana ia rijs (6:145).
Mungkin yang paling menghairankan ialah orang yang tidak menggunakan akal mereka akan ditutupi dengan rijs. Maka kita perlu mengelak daripada orang yang menghalang daripada penggunaan akal!
Agaknya siapa ya? Sifat poyo yang dipelopori sesetengah agamawan sampai menjadi rasis sebenarnya tiada kena mengena dengan ajaran Allah. Mereka hanya menampakkan prejudis mereka sahaja yang sebenarnya rasis.
Kalau tak boleh membezakan rasisme dan agama, buruklah padahnya kepada umat Melayu.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.