Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bahana gila fekah

 | October 19, 2017

Ini sebabnya mengapa umat Melayu terkesan dengan najis yang sudah dikincah dengan air mutlak dalam mesin basuh.

KOMEN

islam_ustaz (3)Bekas mufti Johor, Habib Alwi Thahir, dalam kitab “al-Madkhal ila tarikh dukhul al-Islam ila Jazaír”, berpandangan Islam telah tiba sejak zaman sahabat Rasulullah (s.a.w).

Menurut beliau, Islam hadir di pulau Sumatera pada 30 Hijrah, iaitu di zaman khalifah Uthman bin Affan, atau pada tahun 650 Masihi.

Beliau berhujah bahawa Sulaiman as-Sirafi, seorang pedagang dari Pelabuhan Siraf di Teluk Parsi yang pernah mengunjungi Timur Jauh, berkata bahawa di Sala (Sulawesi) terdapat orang-orang Islam pada waktu itu, iaitu kira-kira pada akhir abad ke 2 Hijrah.

Apakah kita perlu berbangga dengan kemasukan Islam yang demikian awal di alam Melayu? Bahawa kita tidak kalah misalnya berbanding bangsa Parsi?

Saya berpandangan Islam tiba di Nusantara seawal abad ke 7 Masihi tetapi hanya benar-benar bertapak di awal abad ke 13. Walau apapun tarikh kemasukan Islam tidaklah begitu penting.

Apa yang perlu ditekankan di sini adalah Islam adalah sebuah agama yang amat mementingkan keadilan sosial dan menekankan aspek tersebut dalam komponen tauhid, fekah dan ihsan.

Malah Rasulullah didatangkan kepada umatnya yang jahil untuk menyempurnakan akhlak, mengajak kepada keadilan dan kemanusiaan.

Dalam erti kata lain, Islam secara giat mengajak kepada kesetaraan dan keadilan, kemurahan dan persaudaraan. Kesejajaran ajaran Islam dan Piagam Hak Asasi Manusia 1948 adalah jelas dan tidak dapat disangkal. Ini misalnya sudah dihujahkan oleh Profesor Abu Bakar Hamzah pada 1960, iaitu menerusi buku “Hak Asasi Manusia Menurut Pandangan Islam”.

Sebagai Melayu yang sudah menerima Islam berkurun lamanya, kita akan mengandaikan Melayu benar-benar menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai rujukan. Kedua-dua sumber hukum dalam Islam itu telah menegaskan persoalan keadilan di banyak tempat.

Sebagai contoh daripada banyak contoh; firman Allah dalam Surah An-Nisa, ayat 135 yang terjemahannya berbunyi:

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Oleh sebab Islam sudah lama bertapak di alam Melayu, dan gembar-gembur mengenai peranan Islam dalam kerajaan Melayu amat ditekankan, maka kita boleh dan haruslah beranggapan bahawa ajaran Islam (baca: penekanan kepada keadilan) benar-benar hadir dan dipraktikkan dalam pemerintahan kerajaan Melayu masa lalu, termasuklah ayat di atas.

Benarkah begitu, duhai pembaca?

Belum tentu.

Apabila Raja Kecil Besar di Melaka memeluk Islam, beliau menerima Islam bukan kerana kekuatan hujah agama ini (teologi), sebaliknya kerana beberapa hal teknikal termasuklah elemen sensasi dan elemen dramatik iaitu menyaksikan solat berjemaah di pantai Melaka.

Islam Parameswara

Saya pernah menamakan Islam seperti yang dianuti Raja Kecil Besar ini sebagai “Islam Parameswara” sempena pemerintah Melayu yang pertama. Istilah ini saya kupas panjang lebar dalam “Aku _____, Maka Aku Ada!” yang baru-baru ini diharamkan kerajaan.

Tulisan saya di dalam itu mengandungi rujukan ilmiah daripada sarjana terdahulu dan bukan ciptaan saya sendiri.

“Islam Parameswara” adalah “Islam Pagan” yang tidak mementingkan sama sekali falsafah dan juga akhlak. Islam jenama ini dipenuhi dengan aspek-aspek pesona yang tidak didokongi kewarasan akal.

Sebagai contoh, belum pun mengucap dua kalimah syahadah, baginda Raja Kecil Besar sudah pun dikhatankan batang zakarnya dalam mimpi.

“Islam Parameswara’ amat mementingkan tanda, atau syiar sedemikian rupa supaya orang lekas dan akan sentiasa percaya. Raja tidak terlupa memberitahu yang beliau bertemu Nabi Muhammad untuk mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan orang.

Padahal, kesemua kaum bangsawan pada waktu itu belum menerima Islam dan tidak diketahui pernah terdedah dengan sebarang dakwah atau ajaran Islam.

Ekoran insiden di atas, terlihat sisi “Islam Parameswara” ini iaitu hal-hal ranting dan trivial. Apabila saudagar Arab yang bernama Syed Abdul Aziz tiba di pantai Melaka dari Jeddah, gegak gempitalah Melaka. Maka orang pun menandu dan mengarak “ulama” Arab tersebut dengan gajah segala bagai ke istana.

Hal pertama yang diajar ulama tersebut, dan dipelajari oleh raja, adalah sembahyang. Dalam Sejarah Melayu tercatat: “Maka segala Orang Besar-besar semuanya masuk Islam; sekalian isi negeri lelaki perempuan, tua muda, kecil besar; sekalian masuk Islam dititahkan baginda. Maka raja pun bergurulah pada Makhdum akan tertib sembahyang.”

Justeru kita mendapat tahu, rakyat Melaka menjadi atau menganut Islam bukan kerana mereka benar-benar tahu, faham, berilmu, dan menggunakan penuh kapasiti akal dan rasio mereka untuk memeluk Islam. Mereka hanya buta-buta masuk Islam. Tidak ada sebab, melainkan kerana mengikut Parameswara.

Oleh kerana pelajaran pertamanya adalah sembahyang, justeru “Islam Parameswara” selain Islam tanda, adalah juga Islam buta ikut-ikutan, ia juga adalah Islam fekah.

Ini menjelaskan mengapa umat Melayu terkesan dengan najis yang sudah dikincah dengan air mutlak dalam mesin basuh.

Sejak itu umat Melayu sudah gila fekah. Sedangkan Islam ada akhlak, dan ihsan. Islam ada akidah dan wacana keadilan.

Paling mustahak, kita perlu rasa kasihan kepada Melayu. Umat Melayu terikut-ikut gila fekah pemimpin mereka iaitu Raja Kecil Besar. Umat Melayu hilang pedoman dalam kepimpinan.

Padahal perihal pemimpin yang adil itu ada diperikan di dalam kitab suci:

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia’. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)’. Allah berfirman: ‘(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim’.”

Seperti ditunjukkan dalam ayat di atas, Nabi Ibrahim dilantik menjadi Imam (pemimpin), dan kemudian kebenaran dan keadilan itu ada pada keturunannya.

Tetapi, seperti difirmankan Allah, ramai sungguh orang zalim mengingkari mereka. Salah satu sebab ialah kerana tidak menggunakan akal untuk berfikir.

Melayu alahai, mereka pun gila fekah selama-lamanya. Bahana kekal bahana.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments