Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pemegang ‘lesen besar’ kebal hina sesiapa

October 19, 2017

Tindakan ke atas Zamihan hanya diambil, apabila beliau menegur Sultan Johor. Kalau kes tersebut tidak melibatkan sultan, saya yakin Zamihan akan terus 'kebal'.

KOMEN

Raja-Bahrin-Shah-zamihan-mat-zin-isu-agamaOleh Raja Bahrin Shah

Kebelakangan ini, begitu banyak kenyataan keterlaluan dan kontroversi dibuat sehingga kita susah hendak percaya ianya berlaku di Malaysia, tanah air kita.

Lebih menghairankan lagi kerajaan yang mengakui mengamalkan nilai “wasatiah” atau kesederhanaan, mengambil sikap membisu di tengah-tengah ribut kontroversi isu keagamaan dan perkauman yang sedang berlaku. Di manakah kepimpinan negara yang sepatutnya membela nasib rakyat yang makin tertekan dan keliru?

Di antara isu perkauman dan keagamaan yang agak lama dibiarkan berterusan adalah:

  • Tuduhan kafir harbi terhadap golongan bukan Islam warga Malaysia tertentu oleh mufti Pahang dan kecaman hebat daripada Zamihan dari Jakim.
  • Kenyataan keterlaluan oleh Zamihan dari Jakim tentang isu dobi “untuk Islam sahaja” dan juga kecaman beliau mempersoalkan kebersihan orang bukan Islam.
  • Kecaman Zamihan terhadap teguran membina Sultan Johor sebagai ketua agama Islam Johor tentang isu dobi untuk Muslim sahaja.
  • Kenyataan kontroversi mufti Perak tentang puak bukan Islam tertentu yang berbaur politik.
  • Kenyataan darah halal berulang kali oleh beberapa ustaz tertentu terhadap sesama Islam yang tidak sependapat dengan mereka.

Perkara ini semua berlaku agak lama tanpa apa-apa kenyataan atau tindakan oleh kerajaan wasatiah Datuk Seri Najib Razak.

Yang jelas di sini, sebahagian besar kenyataan ini dibuat pegawai kerajaan yang agak tinggi dan berpengaruh.

Yang juga jelas di sini, ada pihak yang merupakan “pesalah bersiri” yang mengulangi kesalahan kerana pihak atasan kerajaan tidak mengambil tindakan sepatutnya dari awal lagi.

Contoh yang amat ketara adalah Zamihan dari Jakim yang di antara kesalahannya menuduh kumpulan tertentu boleh “diperangi”, kemudian menghina kebersihan bukan Islam dan terkini memperkecilkan teguran Sultan Johor dalam isu dobi untuk Islam sahaja.

Kalau tindakan sewajarnya diambil di peringkat awal lagi oleh kerajaan, insiden seterusnya tidak mungkin berlaku.

Persoalannya, adakah kerajaan dengan tidak rasmi dan senyap merestui semua perbuatan ini? Datuk Seri Jamil Khir Baharom, menteri yang bertanggungjawab hal ehwal agama dari kerajaan adalah seorang bekas tentera yang terlatih berdisiplin tinggi. Tidak mungkin beliau terlepas pandang insiden kenyataan kontroversi ini semua tanpa teguran dibuat!

Yang jelas dan nyata pada kita, semua ini berlaku tanpa tindakan terdahulu. Mereka memiliki “lesen besar” untuk menyerang dan menghina sesiapa yang mereka suka, bagi pihak tertentu yang melindungi mereka.

Tindakan ke atas Zamihan hanya diambil, apabila beliau menegur Sultan Johor. Itupun kami tidak pasti bagaimana berkesan tindakan tersebut. Kalau kes tersebut tidak melibatkan sultan, saya yakin Zamihan akan terus “kebal”.

Mungkin juga selepas ini dia akan kembali kebal dilindungi pihak tertentu dalam kerajaan. Kalaulah Zamihan dari pihak pembangkang atau pendakwah bebas, sudah lama tindakan diambil. Beliau bukannya mufti, tetapi pegawai Jakim. Bagaimana begitu istimewa layanan untuk beliau?

Tindakan bijaksana Sultan Johor dan Sultan Selangor berjaya mengawal keadaan ekstremis ini daripada menjadi lebih parah. Ini memalukan Jakim yang sepatutnya menjalankan tugas mereka, tetapi nampaknya Jakim lebih berminat menjadi alat kepada agenda politik kerajaan pusat.

Kerajaan Malaysia banyak menyeleweng dan kita sangat bertuah raja-raja Melayu kita bersuara untuk membela hak rakyat kebelakangan ini.

Sebelum ini juga, Majlis Raja-raja Melayu menegur kerajaan dalam isu 1MDB dan Akta Majlis Keselamatan Negara yang memberi kuasa begitu banyak kepada kerajaan. Kerajaan bagaimanapun hanya membisu dalam hal ini.

Rakyat tidak lagi boleh mengharap dan percaya kepada kerajaan hari ini dalam pelbagai isu. Isu perkauman dan keagamaan yang ekstrem menjadi semakin ketara menjelang pilihan raya.

Kita bernasib baik agama Islam masih di bawah kuasa raja Melayu kita, walaupun Jakim dengan kerjasama orang politik Umno cuba menghakis kuasa sultan.

Allah itu maha kaya. Isu kesalahan mereka yang merupakan pesalah bersiri yang kebal dilindungi kerajaan dikenakan tindakan oleh sultan sendiri, yang ironisnya mereka sudah dilucutkan kekebalan yang pernah dinikmati suatu masa dahulu oleh kerajaan Umno.

Ini menunjukkan sebab asal yang dinyatakan kerajaan Umno, iaitu kononnya ia dilakukan demi mengelakkan salah guna kuasa adalah tidak benar.

Salah guna kuasa dan kekebalan masih wujud dalam golongan mesra kerajaan Umno hari ini. Ianya tidak pernah dihapuskan. “Keistimewaan” tersebut hanya berpindah dari istana ke pejabat kerajaan Umno di Putrajaya.

Salah guna kuasa dan kekebalan daripada tindakan kini menjadi lebih berleluasa dalam kerajaan Umno-BN hari ini. Tindakan raja-raja yang menjadi penyelamat dan payung rakyat harus dipuji.

Rupa-rupanya, kerajaan Umno tidak berhasrat menghapuskan kekebalan untuk mengelak kezaliman. Kerajaan Umno hanya ingin memiliki segala-galanya, kuasa dan kekebalan untuk pihaknya sendiri sahaja.

Raja Bahrin Shah ialah ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments