Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Persoalan menarik mengenai Umno oleh Nik Amar

 | October 22, 2017

Jika intipati ceramah Nik Amar dijadikan ukuran, nampaknya hanya Umno yang ingin memikat PAS, dan bukanlah sebaliknya.

KOMEN

amar

Di satu ceramah di DUN Panchor semalam, Naib Presiden PAS merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menimbulkan beberapa persoalan menarik mengenai Umno untuk difikirkan oleh para pengundi kampung.

Dulu, kata beliau, orang Melayu mengharapkan Umno untuk membela orang Melayu dan Islam. Akan tetapi sejarah yang ada di depan mata, harapan orang Melayu kini tinggal harapan semata-mata.

“Dah terbukti kepada kita bahawa Umno ini tak boleh bela orang Melayu… orang Umno ini bila masuk kampung suka royat (mewar-warkan) bahawa mereka nak membela orang Melayu, dan tanpa mereka, orang Melayu tak tahu nak jadi apa.”

“Tapi sampai hari ini, kita boleh tengok nasib orang Melayu ini tidak lebih baik daripada orang lain di Malaysia,” kata beliau.

Sebagai contoh, Nik Amar memberitahu para hadirin bahawa pada tahun 1960-an kerajaan Malaysia boleh membayar anak-anak mengaji ke universiti secara percuma.

“Hari ini, negara makin kaya, Umno makin kuat, tapi anak-anak kita masuk universiti kena bayar. Kena berhutang anak kita, RM8,000 setahun. Kali dengan 4 tahun. Tubek-tubek (lepas habis belajar), kerja takde. Atas belakang itu pikul sudah hutang berpuluh-puluh ribu. Kerja tak ada, tapi hutang duduk atas belakang,” keluh Nik Amar.

Beliau berkata dasar Umno mentadbir negara menyebabkan orang Melayu terpaksa bergantung kepada kerajaan dalam semua perkara. Nik Amar juga membidas cara pemimpin Umno yang suka memuji diri di depan orang kampung bahawa Malaysia ini negara kaya dan maju, dan kononnya, mereka ini pandai memerintah.

“Kalau kita betul-betul kaya, mengapa orang masuk universiti susah? Mengapa rakyat susah? Rumah tak ada. Kerja tak ada. Rakyat terpaksa merempat. Di mana kekayaan negara? Mana pergi pitis negara? Dan ini soalan yang besar,” soal beliau.

Kata beliau lagi, dasar pentadbiran Umno-BN adalah punca mengapa rakyat terpaksa bergantung pada BR1M, dan pelbagai bantuan yang lain.

“(Rakyat perlukan BR1M) ini royatnya, rakyat tiada pitis! Kalau rakyat ada pitis, boleh hidup dengan molek, orang tak akan hidup bergantung pada BR1M. Orang takkan hidup bergantung pada bantuan. Tapi apabila orang berebut nak mengambil wang, nak mengambil BR1M, nak royatnya rakyat kini susah. Kalau rakyat tak susah, dia tak ambil, dia takkan minta,” jelas Nik Amar.

“Jadi selama 60 tahun Umno perintah Malaysia ini, apa yang dia buat? Apa yang dia buat untuk membantu rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat?”

Di mana silapnya pentadbiran Umno-BN?

Menurut Nik Amar, punca terbesar mengapa rakyat susah walaupun Malaysia kaya dengan pelbagai hasil adalah kerana pentadbiran negara, pengurusan negara, pemimpin yang salah guna kuasa, pemimpin yang pecah amanah, pemimpin yang khianat dan pemimpin yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau pemimpin-pemimpin ini betul-betul buat kerja dengan molek, selesai banyak masalah di Malaysia ini. Tapi hari ini negara kita kaya, tiba-tiba kerajaan memperkenalkan GST. GST ini pula 6%. Semua orang menjadi kalut dan jadi susah.

“Orang PAS (ini biasalah susah). Orang Umno pun susah juga. Kita ingat bila sokong Umno itu, senanglah hidupnya. Tapi kadangkala lebih teruk daripada kita orang PAS. Orang PAS ini dia biasa dah susah,” sindir beliau.

Sambil menegaskan bahawa PAS akan menghapuskan GST jika diberi peluang mentadbir negara, Nik Amar turut menolak dakwaan Umno-BN bahawa negara tidak boleh hidup tanpa GST.

“Sebenarnya banyak cara (nak cari sumber kewangan untuk negara.) Nombor 1 sekali kena jaganya ialah jangan tiris. Pitis banyak macam kita ceduk air dari telaga. Tapi apabila sampai rumah, tinggal baldi. Waktu ceduk penuh, tapi sampai rumah tiada. Sebab tiris.”

Ini sama seperti Malaysia. Hasil banyak. Minyak banyak. Gas banyak. Tapi mengapa rakyat susah. Sebab tiris. Tiris itu pula banyak tempat – peringkat pusat, peringkat negeri, peringkat bahagian, peringkat cawangan – tiris belaka.

Peruntukan kerajaan yang patut sampai RM100,000 tapi yang sampai RM50,000 sebab itu runtuh bumbung – bumbung makmal runtuh, bumbung stadium runtuh, bumbung masjid runtuh.

“Ini kerja siapa? Ini kerja pemimpin-pemimpin Umno di setiap peringkat,” sindir Nik Amar.

Ini sebabnya, katanya, orang Umno berebut nak menjadi ketua bahagian kerana masing-masing mengidamkan peruntukan yang diberi daripada pusat.

Dalam ceramah itu, Nik Amar juga menegaskan bahawa terdapat perbezaan yang nyata antara PAS dan Umno.

PAS ditubuhkan untuk bukan menjadi kerajaan semata-mata, tapi nak memperbetulkan apa yang salah berdasarkan konsep amar makruf nahi mungkar.

“Orang Umno berjuang kerana nak kuasa. Bila kuasa ada, pitis ada, projek dapat. Sebab itu, gomol sama sendiri… dan pemimpin Umno ini seorang lepas seorang kena dakwa kes rasuah,” kata beliau, sambil memberikan contoh seorang bekas pemimpin Umno di Sabah yang dicekup SPRM baru-baru ini.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini mengikuti jejak DAP melakukan tuduhan bahawa Umno dan PAS ini sedang memikat antara sama lain.

Jika intipati ceramah Nik Amar dijadikan ukuran, nampaknya hanya Umno yang ingin memikat PAS, dan bukanlah sebaliknya.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments