Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bajet 2018 BN fiksyen terhebat dalam sejarah

October 29, 2017

Demi ekonomi yang makmur, imbangan antara duniawi dan ukhrawi dan demi kesejahteraan sebenar kehidupan rakyat, saya sarankan kerajaan bersikap ikhlas dan jujur dalam mengunjurkan belanjawan.

KOMEN

Syed-Ibrahim-Syed-Noh

Oleh Syed Ibrahim Syed Noh

Sedang angka dan fakta menjadi semakin jelas, saya percaya rumusan awal sudah boleh dibuat mengenai Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib Razak. Bajet 2018 dengan temanya yang panjang, merupakan bajet berunsur fiksyen yang terhebat dalam sejarah negara dan oleh itu, layak menjadi pemenang anugerah filem fiksyen terbaik Malaysia! Ada beberapa sebab mengapa saya katakan demikian.

Pertama, pelbagai peruntukan dan pemberian diumumkan dengan sepintas lalu dan penuh bangga namun dari manakah Najib akan mencekau wang defisit sejumlah RM40.39 bilion akibat daripada unjuran perbelanjaan Bajet 2018 sebanyak RM280.25 bilion yang melebihi hasil sebanyak RM239.86 bilion?

Walaupun disedari bahawa lazimnya, defisit akan ditampung melalui pinjaman atau hutang, namun umum mengetahui bahawa hutang negara sudah tinggi iaitu hampir mencecah siling nisbah hutang KDNK sebanyak 55%. Itu belum dikira hutang kontingensi yang tidak dimasukkan dalam bajet kerajaan seperti 1MDB, MRT dan Felda.

Apakah tambahan hutang RM40.39 bilion sangat perlu? Sudahkah kerajaan mengambil kira kadar faedah yang terpaksa dibayar ke atas hutang itu yang dianggarkan berjumlah RM31 bilion atau lebih kurang 15% daripada perbelanjaan operasi negara? Apakah rakyat kini dicukai untuk membayar hutang atau untuk mendapat manfaat daripada cukai tersebut?

Dalam masa yang sama, mengapakah kerajaan tidak meletakkan keutamaan kepada pembanterasan rasuah, pembaziran dan ketirisan sebagai langkah penjimatan penting kepada perbelanjaan yang terus mengembung?

Saya langsung tidak nampak komitmen kerajaan dalam hal ini. Belanjawan Pakatan Harapan dengan jelas meletakkan asas prinsipnya kepada premis ini dan menolak cukai regresif GST sebagai langkah penampungan perbelanjaan negara, malah dengan berani meletakkan angka RM20 bilion sebagai penjimatan daripada ketirisan dan rasuah termasuk memotong peruntukan Jabatan Perdana Menteri yang diketahui sangat kembung.

Kedua, terdapat penurunan peruntukan beberapa perkara penting jika dibandingkan dengan bajet tahun lalu walaupun pengumuman yang dibuat oleh Najib kedengaran sangat hebat. Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan dan latihan yang diumumkan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion. Namun apabila disemak peruntukan bajet tahun lalu, ia sebenarnya lebih tinggi iaitu RM5.9 bilion. Bermakna ada penurunan peruntukan dalam bajet tahun ini.

Ketiga, jurang perbezaan peruntukan yang ketara antara pemberian kepada rakyat secara langsung dan dana yang diperuntukkan kepada projek atau inisiatif tertentu.
Contohnya, walaupun diumumkan bayaran khas bagi penjawat awam sebanyak RM1,500 bagi penjawat awam, bayaran ‘one-off’ sebanyak RM1,500 kepada imam, bilal, guru Kafa dan Takmir serta elaun bagi warga emas dan OKU dinaikkan kepada RM350 and RM100 masing-masing, namun jumlah peruntukan bagi pemberian-pemberian itu adalah kecil jika dibandingkan dengan peruntukan kepada misalnya Dana Pembangunan Pengangkutan dengan peruntukan RM3 bilion. Siapakah yang mendapat faedah daripada dana begini? Sudah tentu bukan rakyat biasa.

Ketiga, isu utama rakyat iaitu kos sara hidup jelas tidak ditangani oleh Bajet 2018. Antara sebab utama kenaikan kos sara hidup ialah kenaikan harga barang, GST dan gaji yang rendah. Apakah Bajet 2018 mengutarakan dasar untuk menangani kos sara hidup selain daripada pemberian segera seperti BR1M dan bayaran khas ‘one-off’?
Sedang Belanjawan Pakatan Harapan mengesyorkan pemansuhan GST dan memperincikan kaedah menampung kekurangan hasil akibat daripadanya, Bajet 2018 masih mengekalkan GST, malah memberikan pelepasan kepada perkara-perkara yang tidak meringankan beban rakyat secara langsung.
Contohnya, pelepasan GST ke atas operator kapal persiaran dan ke atas pengimportan ‘big ticket items’ seperti kapal terbang dan kapal oleh syarikat penerbangan dan perkapalan. Apakah faedah pelepasan itu akan sampai kepada rakyat biasa yang terhimpit dengan derita kehidupan?

Akhir sekali, berkait dengan gaji yang rendah dan lambakan pekerja asing, amatlah jelas bahawa Bajet 2018 juga tidak menyentuh tentang kenaikan gaji minimum. Kadar semasa sebanyak RM1,000 bagi Semenanjung dan RM920 bagi Sabah dan Sarawak tidak boleh lagi dianggap sebagai jumlah sara hidup yang wajar di Malaysia. Belanjawan Pakatan Harapan meningkatkan kadar gaji minimum kepada RM1,500 untuk seluruh negara. Inilah kadar yang dituntut oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Justeru, demi ekonomi yang makmur, imbangan antara duniawi dan ukhrawi dan demi kesejahteraan sebenar kehidupan rakyat, saya sarankan untuk Najib dan kerajaan Umno-BN untuk bersikap ikhlas dan jujur dalam mengunjurkan belanjawan. Jika tidak, akuilah bahawa Bajet 2018 yang dikatakan ‘Ibu Segala Bajet’ itu hanyalah sebuah fiksyen.

Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan PKR

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments