Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Media kena proaktif, kurangkan berita menang loteri

 | October 29, 2017

Berita-berita sedemikian hanya membantu meningkatkan pendapatan syarikat-syarikat menjual nombor ekor kerana lebih ramai yang berangan-angan untuk menjadi kaya sekelip mata akan terjebak di dalam aktiviti judi.

KOMEN

nombor-ekor

Media Malaysia perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak melaporkan berita-berita mereka yang terkena loteri bernilai berjuta ringgit.

Berita-berita sedemikian hanya membantu meningkatkan pendapatan syarikat-syarikat menjual nombor ekor kerana lebih ramai yang berangan-angan untuk menjadi kaya sekelip mata akan terjebak di dalam aktiviti judi.

Hakikatnya, peluang untuk memenangi loteri ini teramatlah tipis.

Umpamanya judi nombor 4 ekor yang melibatkan pembelian nombor 4 angka. Kaki judi boleh bertaruh pada apa-apa nombor bermula daripada 0000 ke 9999. Hanya 23 nombor sahaja yang akan memberikan pulangan hadiah, dengan hadiah pertama bernilai RM2,500 hingga RM3,500 untuk setiap RM1 pertaruhan.

Daripada sudut lain, syarikat-syarikat yang menjual nombor ini mengaut keuntungan dengan menawarkan 9,977 nombor untuk dijual tanpa sebarang pulangan kepada kaki judi.

Jika mengikut peratusan, setiap nombor yang dipertaruhkan oleh kaki judi hanya mempunyai 0.23% untuk terkena hadiah.

Hari ini, syarikat-syarikat nombor 4 ekor telah mempelbagaikan produk mereka yang menawarkan hadiah berjuta-juta nilainya, dengan menawarkan lebih banyak nombor yang tidak memberikan pulangan untuk dijual kepada para kaki judi yang bermimpi menjadi jutawan.

Produk paling popular hari ini ialah Jackpot 4D, di mana hadiah minimum loteri bernilai RM2 juta ke atas akan diberikan kepada mereka yang berjaya membeli 2 set nombor 4 ekor yang muncul sebagai hadiah pertama, kedua dan ketiga pada mana-mana cabutan.

Ini bermakna terdapat 10 juta kombinasi nombor yang dijual kepada para kaki judi yang terkial-kial mengejar hadiah utama yang hanya mempunyai peluang kemenangan sekadar 0.00006% untuk setiap kombinasi dua set nombor 4 ekor yang dibeli.

Dengan peratusan serendah ini, dan jikalau kaki judi dapat melihat daripada perspektif ini, sudah tentu mereka tidak akan membazirkan duit mereka.

Di Malaysia, cabutan pada wajib hanya berlaku 3 kali seminggu iaitu pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad.

Syarikat-syarikat 4 ekor juga boleh mengadakan cabutan ‘extra’ pada hari Selasa tertentu jika mendapat kelulusan kerajaan, dan setakat Oktober ini, cabutan ‘extra’ telah berlaku lebih daripada 15 kali bagi tahun ini.

Selain menggalakkan media tidak menyiarkan berita-berita mereka yang terkena loteri, pihak kerajaan juga harus mengurangkan kekerapan cabutan ‘extra’ diadakan.

Ini kerana terlalu banyak pendapatan boleh guna rakyat telah dibazirkan untuk aktiviti judi ini yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat 4 ekor ini. Jangan kerana kerajaan menginginkan sumber pendapatan yang lumayan daripada sektor perjudian, maka kerajaan menutup mata masalah sosial yang datang bersama-sama aktiviti judi.

Meskipun judi “dibolehkan” untuk orang bukan Islam (bukan kerana agama membenarkannya), tapi ini tidak bermaksud judi tidak mendatangkan kerosakan kepada keluarga dan masyarakat bukan Islam, terutamanya apabila ada ahli keluarga yang mempunyai ahli yang terlalu gian berjudi sehingga sanggup meminjam dari Ah Long dan juga mengabaikan keluarga.

Diharap selepas penerangan ini, media dapat mengambil sikap yang lebih proaktif untuk mendedahkan kerosakan daripada aktiviti judi daripada mewar-warkan bagaimana seorang yang termimpi nombor bertuah lalu terkena loteri berjuta ringgit tanpa menceritakan betapa banyak duitnya yang sudah terbazir sebelum ini di dalam aktiviti judi.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments