Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bawa isu Rohingya ke Parlimen untuk dibahas

October 31, 2017

Kita tidak mahu sejarah hitam yang pernah berlaku di Kosovo, Bosnia dan Rwanda berulang di belakang halaman negara kita.

KOMEN

rohingya-bangladeshOleh Roslan Mohamad

Saya ingin merujuk laporan berita bertajuk “AS bantu Rohingya selepas saya bertemu Trump, kata Najib” bertarikh 30 Oktober 2017 yang disiarkan Free Malaysia Today (FMT). Dalam laporan berita ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau membangkitkan isu Rohingya kepada Presiden Donald Trump.

Jika benar, ini adalah satu usaha yang patut dihargai tetapi terdapat satu lagi artikel mengatakan usul membincangkan isu Rohingya di Parlimen ditolak pada tahun lepas, “Najib bawa isu Rohingya ke Trump tapi tolak usul di Parlimen, kata Amanah” bertarikh 30 Oktober 2017 yang disiarkan FMT.

Jika kita lihat isu Rohingya ini sebenarnya telah lama wujud dan masalah ini tidak selesai sehingga kini. Golongan Rohingya ini dilabelkan “golongan minoriti yang paling dianiaya di dunia”. Ini kerana, walaupun mereka menetap di negeri Rakhine, Myanmar sejak berkurun lamanya, tetapi mereka tidak diiktiraf sebagai salah satu daripada 135 etnik oleh kerajaan Myanmar.

Maka dengan itu, mereka menjadi golongan tanpa kerakyatan (stateless). Selain itu, Rohingya juga dipaksa menjadi tenaga buruh paksa (force labour), pengawal pos (sentry duty) dan kuli untuk pihak berkuasa Myanmar. Mereka tidak dibayar gaji atau diberi upah setimpal untuk kerja ini.

Mereka juga perlu mendapatkan kebenaran untuk bergerak (travel permit) dari sebuah kampung ke kampung lain, dari sebuah daerah ke daerah lain di negeri Rakhine. Mereka juga dikenakan pelbagai peraturan tidak munasabah dan tidak berperikemanusiaan. Peraturan sama tidak dikenakan kepada bangsa lain yang menetap di Rakhine.

Saya mempunyai peluang untuk menemu duga ramai golongan ini dan kebanyakan mereka tidak mahu meninggalkan negeri mereka ke negara lain, tetapi akibat daripada diskriminasi yang mereka lalui setiap hari, maka mereka tiada pilihan lain.

Jika kita mengikuti perkembangan semasa, setakat ini seramai 605,000 orang Rohingya melarikan diri ke Bangladesh akibat kezaliman tentera Myanmar yang membakar perkampungan mereka, merogol wanita dan membunuh ahli keluarga mereka.

Jumlah ini amat membimbangkan kerana Bangladesh sendiri menyatakan mereka tidak dapat menampung jumlah pelarian yang ramai dan tidak mempunyai kemudahan cukup untuk membantu golongan Rohingya di Bangladesh. Maka, Malaysia perlu memainkan peranan penting di sini.

Apa yang perlu Malaysia lakukan?

Kerajaan Malaysia perlu lebih proaktif dalam membangkitkan isu Rohingya kepada negara Asean, Kesatuan Eropah (EU), negara di rantau Asia seperti China dan juga komuniti antarabangsa. Kerajaan Malaysia perlu menggesa Myanmar menghentikan penindasan terhadap Rohingya dengan segera. Kerajaan Malaysia juga perlu terus memberikan tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk mengiktiraf dan memberikan kerakyatan kepada golongan ini.

Jika tidak, isu golongan Rohingya tidak akan selesai selama-lamanya. Memang tidak dinafikan kerajaan Myanmar akan membantah dan mengetengahkan “Asean’s principle of non-interference” supaya Malaysia tidak terlibat dalam isu domestik mereka.

Tetapi, sampai bila lagi kita (Malaysia) sebagai sebuah negara yang mencintakan keamanan perlu mendiamkan diri dan melihat kezaliman yang perlu Rohingya lalui? Mereka juga manusia yang sama seperti kita.

Akhir kata, saya berharap kerajaan Malaysia akan memandang isu ini dengan lebih serius dan mempertimbangkan isu Rohingya dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan. Ini kerana, kita tidak mahu sejarah hitam yang pernah berlaku di Kosovo, Bosnia dan Rwanda berulang di belakang halaman negara kita. Adakah patut jika kita hanya mendiamkan diri?

Malaysia juga perlu terus memainkan peranan penting dalam isu ini agar kita dapat menjadi sebuah negara yang sentiasa memperjuangkan “Human Rights” untuk setiap orang di muka bumi ini.

Roslan Mohamad ialah pembaca FMT

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments