Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ops Lalang, kenangan seorang wartawan

 | October 31, 2017

Media Malaysia bukanlah bebas sangat, tetapi Operasi Lalang itu menyempitkan lagi kebebasan akhbar di negara ini.

KOMEN

Operation-Lalang_600Tarikh 27 Oktober lalu adalah ulang tahun ke-30 Operasi Lalang. Akhbar The Star menyiarkan satu sisipan khas mengenai peristiwa itu. Begitu juga dengan satu program diadakan di Dewan Perhimpunan Perniagaan Cina Selangor di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

The Star adalah salah satu akhbar yang diharamkan dalam Operasi Lalang, di samping Sin Chew Jit Poh dan Watan. Sekarang

Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987 secara berperingkat. Ketika itu, saya adalah Ketua Pemberita Harakah, akhbar mingguan yang menjadi lidah rasmi kepada PAS. Ia bermakna saya bekerja bagi pihak pembangkang.

Pada masa itu, pembangkang utama terdiri daripada PAS, DAP dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). Negara baru melaksanakan pilihan raya umum pada 1986 dan PAS mengalami kekalahan teruk dengan hanya memenangi sebuah kerusi Parlimen iaitu di Pengkalan Chepa.

Kedudukan DAP adalah lebih baik. Tetapi PSRM gagal memenangi sebarang kerusi.

Walaupun Barisan Nasional (BN) dan Umno berada dalam kedudukan kuat tetapi terdapat 3 jenis ketegangan yang melanda negara.

Pertama, terdapat suasana hubungan tidak selesa antara orang Melayu dan Cina. Kedudukan baik DAP dalam pilihan raya 1986 dipercayai mendorong sebahagian dalam MCA untuk bersikap lantang membela kaum mereka ini. Keadaan ini pula mendapat reaksi Pemuda Umno.

Ketegangan jenis kedua berlaku di kalangan Umno sendiri. Ini ekoran kemenangan Team A yang diketuai Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad bersama Ghafar Baba, mengalahkan Team B pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah bersama regunya, Datuk (sekarang Tun) Musa Hitam dalam pemilihan Umno yang diadakan pada April 1987.

Pihak Team B tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Sekumpulan anggota Umno tyang dikenali sebagai “kumpulan 11” berusaha membatalkan keputusan itu melalui mahkamah. Keadaan ini menguatkan perpecahan dalaman Umno.

Ketegangan ketiga adalah berbentuk kelantangan pihak pembangkang khususnya PAS bersuara menentang kerajaan. Antara pemimpin muda yang lantang dan popular dalam ceramahnya ialah Mohamad Sabu, dan Khalid Samad sebagai penceramah yang keras dan jelas hujahnya.

Pada pagi 28 Oktober 1987, saya berada di depan pusat membeli belah Ampang Park, Kuala Lumpur. Ketika itu terdapat deretan gerai di kiri dan kanan bahu Jalan Binjai yang bersetentangan dengan pintu depan Ampang Park. Di situlah saya membaca laporan mengenai Operasi Lalang yang disiarkan oleh akhbar The Star.

Akhbar itu menyiarkan gambar tokoh yang ditangkap oleh pihak polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Dengan tajuk “Detained” (Ditahan), gambar tokoh-tokoh yang saya ingat terpampang di dada akhbar itu ialah Lim Kit Siang dan Dr Chandra Muzaffar. Banyak lagi tokoh politik dan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang disiarkan di muka depan itu tetapi hanya Kit Siang dan Chandra yang jelas pada ingatan saya.

Pada petang, laporan sampai bahawa banyak lagi tokoh ditahan dalam Operasi Lalang. Tetapi apa yang memeranjatkan ialah penarikan permit penerbitan 3 akhbar itu.

The Star mula diterbitkan pada 1971 dan Watan pada 1975. Pada mulanya Watan diterbitkan secara harian dalam bentuk dwibahasa. Pada mulanya permit penerbitan Watan dipegang oleh bekas menteri pelajaran, Tan Sri Khir Johari sementara pengarangnya ialah Subky Latif.
Permit penerbitan The Star dan Watan dikaitkan dengan Tunku Abdul Rahman apabila beliau berundur daripada jawatan perdana menteri.

Turut berundur ialah Khir Johari. Suara dan tulisan Tunku Abdul Rahman sering disiarkan dalam akhbar The Star dan Watan tetapi tidak dalam Utusan Malaysia dan New Straits Times yang pada tahun 1970-an dikuasai oleh pendokong Tun Razak Hussein.

Malah ada pengulas tahun 1970-an menyebut bahawa STAR itu adalah kependekan kepada “Suara Tunku Abdul Rahman”. Apapun, pada awal-awal penerbitannya, The Star dan Watan menjadi suara alternatif kepada Utusan dan New Straits Times.

Watan kemudian menjadi mingguan dan diambil alih oleh Pustaka Antara sebelum berpindah ke tangan Karangkraf. Sebelum Operasi Lalang, kedua-duanya dikenali sebagai akhbar yang menyiarkan berita pihak pembangkang dan NGO yang mengkritik kerajaan seperti Aliran. Malah pemberita Watan sering dilarang masuk acara-acara kerajaan.

Akhbar parti pembangkang ketika itu adalah Harakah milik PAS, The Rocket milik DAP dan Mimbar Sosialis milik PSRM. Tetapi hanya Harakah yang diterbitkan secara konsisten setiap minggu dengan jumlah edarannya yang ketika itu semakin meningkat.

Apabila mendapat tahu mengenai pengharaman The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan, para petugas Harakah berasa bimbang kalau-kalau akhbar parti pembangkang ini akan turut diharamkan. Harakah yang mula diterbitkan pada awal 1987 dipimpin oleh Datuk Nakhaie Ahmad selaku ketua pengarang dan ketua penerangan PAS, dan Subky Latif sebagai pengarang.

Ia sentiasa menyiarkan berita-berita mengkritik kerajaan BN dan Umno khususnya Dr Mahathir. Pada masa itu, pengurus Harakah ialah Ishak Surin, yang kini aktivis Amanah. Maka kebimbangan bahawa ia diharamkan ketika itu adalah nyata.

Satu mesyuarat dipanggil bagi membincangkan apa yang perlu dilakukan jika Harakah diharamkan. Saya dan pemberita lain iaitu Zulkifli Sulong dan Ahmad Lutfi Othman turut serta dalam mesyuarat itu. Kini mereka adalah antara wartawan yang turut menjayakan akhbar rasmi Amanah iaitu Warta Amanah.

Kami duduk bersila dalam sebuah bilik kecil di pejabat Harakah. Turut serta ialah pengurus Harakah bahagian pengeluaran dan pengedaran. Keputusannya ialah jika Harakah diharamkan, kami akan menerbitkan suatu bentuk majalah tetapi tidak bersifat berkala. Maknanya, walaupun ia diterbitkan setiap minggu tetapi namanya berubah-ubah. Dengan bentuk demikian, ia tidak memerlukan permit penerbitan. Walau apapun tindakan kerajaan terhadap Harakah, kami berazam untuk terus menerbitkan sesuatu bagi menyampaikan maklumat menurut pendirian parti.

Tetapi ternyata Harakah tidak diharamkan. Oleh kerana banyak aktivis PAS ditahan ISA, maka Harakah bagi setiap keluarannya menyiarkan berita menuntut supaya mereka dibebaskan.

Dua pemimpin penting PAS yang ditahan ISA ialah Mohamad Sabu dan Khalid Samad. Namun begitu Harakah tidaklah tumpukan pada pembelaan terhadap pemimpin PAS semata-mata. Akhbar itu membela semua mereka yang ditahan ISA termasuk pemimpin DAP. Kecaman Harakah adalah kepada ISA.

Pengharaman The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan memberi kesan besar kepada kewartawanan Malaysia. Media Malaysia bukanlah bebas sangat, tetapi Operasi Lalang itu menyempitkan lagi kebebasan akhbar di negara ini. Banyak wartawan berasa kecewa dengan Operasi Lalang ini dan ada antara mereka, iaitu pemberita The Star, bukan saja meninggalkan bidang kewartawanan tetapi meninggalkan negara ini kerana kecewa dengan kongkongan politik dan media di negara ini.

Pada Mac 1988, permit penerbitan dikembalikan kepada ketiga-tiga akhbar itu. Tetapi keadaan sudah berbeza. Ada wartawan yang lantang dalam The Star tidak kembali.

Dari pemerhatian saya, The Star juga berubah dan tidak seberimbang seperti sebelum Operasi Lalang. Tentunya semua pihak menjaga periuk nasi masing-masing.

Watan juga diterbitkan semula oleh Karangkraf. Tetapi tentu nadanya tidak selantang sebelum Operasi Lalang. Ada pemberita Watan mengatur supaya saya meninggalkan Harakah dan menyertai mereka. Pada saat akhir saya mengambil keputusan untuk kekal dalam Harakah.

Tetapi pada 1993, Watan dijual oleh Karangkraf kepada syarikat milik pemimpin Umno iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor. Rancangan awalnya ialah untuk mewujudkan satu kumpulan syarikat media baharu yang terdiri daripada akhbar Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, serta majalah. Untuk itu Watan dijadikan akhbar harian dengan nama Harian Watan. Sementara akhbar bahasa Inggeris untuk kumpulan ini ialah The Sun.

Saya menyertai Harian Watan pada 1993 dengan janji ketua pengarangnya bahawa ia hendak dijadikan akhbar yang berkecuali politik. Tetapi akhirnya akhbar ini ditutup pada 1996. Usaha kemudian untuk menerbitkan semula dalam bentuk mingguan hanya berjaya untuk beberapa keluaran saja.

The Sun pula menjadi akhbar edaran percuma. Sementara Karangkraf telah dapat pengganti Watan iaitu akhbar Sinar Harian yang diterbitkan sejak tahun 2006.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments