Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Benarkah bukan Melayu, Islam tak layak jadi pemimpin?

November 1, 2017

Jangan kita hanya merdeka fizikal, tetapi mental masih terkurung dan terpenjara.

KOMEN

politics_islam_600

Oleh Muhammad Syafiq Azmi

Allah melalui firmanNya di dalam surah ke-60, Al-Mumtahanah ayat 8:

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Ini bermakna tidaklah menjadi kesalahan orang bukan Muslim itu dilayan seadilnya selagi mereka tidak memerangi agama Islam. Juga dalam huraian ayat tersebut memberi maksud Muslim tidak pernah ditegah sama sekali untuk memberi layanan yang baik kepada mereka yang bukan Muslim.

Menurut Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya “Fiqh Daulah Menurut Perspektif Islam”, mengikut syarak tiada suatu pun dalil yang melarang namanya Muslim untuk mengambil teori ilmiah serta penyelesaian amali yang datangnya dari bukan Muslim.

Lihat saja dalam peperangan Badar, bagaimana tawanan perang yang mempunyai kebolehan membaca dan menulis diberikan ruang untuk mengajar anak-anak orang Muslim, sekalipun mereka musyrik.

Di dalam pengisahan perang Khandak, Nabi Muhammad sendiri mendengar pandangan untuk menggali parit yang merupakan antara strategi perang orang Parsi.

Ini kerana hikmah merupakan sesuatu (barang berharga) yang hilang daripada umat Islam. Di mana sahaja dia menjumpainya, maka dialah orang yang paling berhak dan layak dengannya.

Ayat 8 dalam surah al-Mumtahanah di permulaan tulisan penulis boleh menjawab persoalan kepada tajuk perbincangan di atas.

Selain memberi layanan yang adil kepada bukan Muslim dalam pelbagai aspek, adil yang dimaksudkan juga boleh diterjemah dengan kesanggupan perkongsian kuasa di antara Muslim dan bukan Muslim.

Keberadaan mereka di dalam dewan Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri bagi konteks politik Malaysia, ia adalah perlu untuk mereka menjadi wakil kepada suara rakyat di bawah.

Ini juga adalah jalan untuk mereka terus merasakan mereka adalah sebahagian daripada sistem negara yang mereka menjadi warganegaranya yang sah mengikut lunas undang-undang dalam Perlembagaan. Khuatir dengan kesenjangan kesatuan yang masih samar kewujudannya hari ini, bila-bila masa saja usaha ini mampu dieksploitasi musuh perpaduan dan kemanusiaan.

Dalam kita menjustifikasi kemunasabahan orang bukan Melayu dan bukan Muslim diberi ruang menjadi pemimpin, jangan pula kita lupa melihat corak kepimpinan yang ditonjolkan kelompok Melayu dan Muslim. Apakah dengan kita mempertahankan pemimpin Melayu yang korup itu menjadi jaminan nasib Melayu dan Muslim akan terus terbela?

Pada 9 Januari 1975, New Straits Times melaporkan pendirian Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusof berkaitan rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan.

Beliau menyatakan setinggi manapun kejujuran pegawai-pegawai kerajaan, masih belum mampu memberi jaminan perlakuan rasuah itu tidak akan berlaku. Kadir berpandangan selagi mana ada yang sanggup memberi sogokan, kejujuran pegawai kerajaan bila-bila masa saja boleh “terlebur”.

Sarjana yang menjadi rujukan dunia Islam, Al-Ghazali menyatakan kerosakan itu merebak dari atas hingga ke bawah. Begitulah bercanggahnya pandangan dan amalan di antara pemikir hebat dunia dan pemimpin Melayu Muslim yang dari dulu beriman dengan pandangan seperti bekas peguam negara itu.

Maka, perdebatan yang kian rancak hari ini adalah perbicaraan andai berlaku pertembungan antara calon pemimpin Muslim dan bukan Muslim atau Melayu dan bukan Melayu. Ada yang dari awal naratif politiknya berkisar tentang Melayu dan Muslim dominan dalam pengertian diktator, pasti alergi dengan perbincangan seperti di atas.

Ada pihak yang pada awalnya memperkenalkan terma tahaluf siyasi akhirnya mereka sendiri mencabut akar semata untuk bertaawun atas prinsip kepentingan agama dan bangsa. Inilah ragam fikir yang harus didepani untuk melihat karamah insaniah dimartabatkan. Akan ada cabaran hebat dari gerombolan yang ekstrem dalam hidup bermasyarakat. Itu bukanlah sesuatu yang mustahil.

Iktibar yang ditunjukkan oleh pelbagai figura sama ada Muslim atau bukan, sama ada Melayu atau bukan adalah cabaran untuk dipenuhi bersama. Anjakan pemikiran dan perlakuan tidak bisa statik jika mahu melihat negara maju dan sejahtera.

Jika tidak kita akan hidup di bawah penindasan ala zaman kolonial, cuma yang beda watak dan galur penjajah tersebut. Jangan kita hanya merdeka fizikal, tetapi mental masih terkurung dan terpenjara.

Muhammad Syafiq Azmi adalah Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments