Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Selamat Hari Krismas, Mufti Menk!

 | November 2, 2017

Jangan cuba memandai mengajar bukan Islam kepercayaan kita pada hari mulia mereka.

KOMEN

Mufti-Menk_islam_600

Baru-baru ini, Singapura mengharamkan pendakwah bebas Ismail Menk atau Mufti Menk dan seorang lagi penceramah Haslin Baharim yang bergelar “Ustad Bollywood”.

Kerajaan Singapura berkata ia kerana ceramah mereka mengandungi unsur yang memecah belah rakyat. Ini bermakna mereka tidak boleh berada dalam kapal “Islamic Cruises” yang berpengkalan di Singapura.

Sejurus selepas itu, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua mereka masih dibenarkan di Malaysia.

Zahid, yang cukup rapat dengan seorang lagi penceramah kontroversial, Dr Zakir Naik, menyatakan yang ceramah Mufti Menk tidak dianggap berbahaya. Tetapi semalam, Sultan Johor mengharamkan ceramah mereka di negerinya.

Apa yang menyebabkan tindakan pengharaman oleh Singapura? Mufti Menk tidak menggalakkan keganasan secara langsung, jadi dia bukanlah seperti pendakwah radikal yang mengatakan umat Islam perlu menyertai kumpulan militan.

Masalahnya ialah dia memberi gambaran yang Islam itu agama yang tiada toleransi dan menggambarkan dunia dengan kaca mata cetek dan dangkal.

Satu contoh ialah dalam ucapan Mufti Menk mengenai “Merry Christmas”. Menurutnya, sebagai penganut Islam, kita bersetuju beribadat kepada Allah sahaja dan kita menganggap syirik sebagai dosa paling besar. Maka, kita tidak boleh mengucap kepada orang Kristian “Merry Christmas” kerana kita bersetuju yang sebenarnya, Allah mempunyai anak bernama Jesus!

Inilah analisa seorang yang tidak memahami fenomena bahasa. Pertama sekali, kita perlu tahu yang Krismas, walaupun asalnya sebuah cuti diambil daripada budaya pra-Kristian, kini ia bukan lagi sedemikian.

Di United Kingdom, Krismas diraikan segenap lapisan masyarakat tak kira bangsa dan agama. Tarikh Krismas sehingga minggu pertama tahun baharu adalah cuti tidak rasmi yang diambil oleh hampir semua orang. Ia sudah mengalami evolusi daripada cuti yang berpaksikan agama kepada cuti sekular yang dinikmati semua lapisan masyarakat.

Samalah seperti “cuti raya” di Malaysia ataupun “Tahun Baharu Cina”. Kedua-duanya dinikmati semua walaupun asalnya ialah cuti yang diraikan hanya satu agama atau satu bangsa sahaja.

“Merry Christmas” tidak bermakna “saya memperakui akidah anda yang mengatakan Tuhan mempunyai anak bernama Jesus dan inilah hari jadinya!” Ini satu persepsi yang bergelumang dalam ilusi!

Sebenarnya, “Merry Christmas” itu lazimnya bermaksud “Selamat bercuti dan bergembira”.

Sangka baik

Kenapa perlu kita menganggap orang selalu berniat serong? Ambil sahaja sentimen itu dengan baik.

Begitu juga dengan amalan bertukar-tukar hadiah di musim Krismas. Saya yang lama bekerja di suasana ofis UK selalu diberi hadiah oleh rakan sekerja walaupun mereka tahu yang saya beragama Islam. Ini bukanlah percubaan berdakwah kepada saya, tetapi sentimen yang mengatakan bahawa “saya menghargai kehadiran kamu dalam hidup saya”.

Mereka yang memberi hadiah pun bukanlah penganut Kristian tegar. Mereka tidak pun berfikir memberi hadiah itu perkara yang boleh melukai perasaan orang yang bersangka buruk terhadap mereka.

Bagaimana patut umat Islam memberi respon kepada perayaan bangsa dan agama lain? Dengan mudahnya – berilah sangkaan yang baik. Jika kawan atau jiran kita menyambut sesuatu perayaan itu, berilah ucapan yang sepatutnya terhadap mereka.

Kita tidak menerima apa yang mereka sambut itu sebagai kebenaran, tetapi kita memperakui yang mereka mempunyai agama dan budaya mereka dan mereka berhak menyambut sebagaimana yang mereka anggap cara yang terbaik.

Jangan pula kita mahu memandai cuba mengajar mereka kepercayaan kita pada hari mulia mereka. Itu perangai yang tidak bersesuaian langsung.

Jika kita mahu mengadakan perbincangan sedemikian, dengan persetujuan dan “mood” yang baik, buatlah perbincangan itu di masa yang lain.

Dulu lain

Sebenarnya, masalah sebegini tidak pernah timbul pada zaman kanak-kanak dan remaja saya. Dulu, kami tidak pernah memikirkan yang akidah kami boleh rosak hanya dengan mengucap “Happy Deepavali” atau “Merry Christmas”.

Pada Hari Raya, kawan berkunjung ke rumah kami dan kadang-kala membawa buah tangan. Begitu juga saya dan rakan Melayu Islam lain, mengunjungi rumah bukan Islam.

Saya tidak pernah merasai yang kepercayaan saya boleh tergugat dengan sentimen yang begitu luhur sebegitu.

Kerajaan tidak boleh leka kepada penceramah-penceramah sebegini. Walaupun kita patut mengambil kira kebebasan bersuara, namun jabatan agamawan tidak memberi kebebasan kepada pihak lain.

Jadi jika sesorang penceramah itu menyanggahi Mufti Menk, dia mungkin akan ditangkap kerana membawa “ajaran sesat” dan sebagainya.

Sepatutnya, Mufti Menk didebat dan hujahnya dipatahkan dengan cara baik. Biarlah kebenaran terserlah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments