Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Fungsi masjid sudah dipenuhi

 | November 8, 2017

Mengapa ada yang tidak puas hati dengan sebuah surau membuka pintu kepada mangsa banjir bukan Islam kerana tidak 'menjaga adab pakaian'?

KOMEN

surauSangat sedih memikirkan banjir yang melanda negeri kelahiran saya. Seingat saya, Pulau Pinang tidak pernah mengalami banjir seteruk ini.

Adakah banjir disebabkan pembangunan yang terlalu intensif termasuklah “reclaimed land” atau kerana perubahan cuaca yang disebabkan oleh “global warming”? Susah untuk kita pastikan tanpa kajian yang mendalam.

Apa yang berlaku adalah ujian Tuhan dan kita patut bersabar menghadapinya.

Dalam peristiwa ini, muncul pula cerita sebuah surau membuka pintunya kepada orang bukan Islam. Tindakan ini dipuji rakyat Malaysia segenap lapisan.

Malangnya, ada pula yang sangat kurang ajar dan cuba menyelar perbuatan baik ini. Mereka memberi komen yang “ada banyak tempat lain”, “keadaan bukan darurat sangat”, “jangan menggugat perpaduan Islam” dan banyak lagi kritikan.

Di kalangan mereka yang rasional, mereka mempersoalkan mengapa gereja berlumba-lumba untuk menawarkan pertolongan. Kenyataan ini memang benar.

NGO seperti Christian Aid dan Salvation Army memang cepat dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa. Samalah dengan Muslim Aid, NGO Islam di Barat. Mereka juga menolong orang-orang dengan tidak mengira bangsa atau agama.

Jadi apakah sebab komen negatif ini timbul?

Pada pendapat saya, mereka yang memberi komen ini mempunyai salah faham yang amat asas tentang Islam. Salah faham ini sebenarnya terkandung dalam ilmu syariat sendiri di mana syariat terbahagi kepada ibadat dan muamalat.

Ibadat, kalau kita perhatikan penggunaannya dalam perbualan biasa, ia hampir selalu merujuk kepada ritual. Masih ingat lagi, ketika pemimpin PAS pernah mencadangkan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk “‘bersara daripada politik dan beribadat”. Jika mereka memahami konsep ibadat yang sebenar, mereka tidak akan bercakap begitu.

Dalam syariat, ibadat itu merujuk kepada ritual, walhal muamalat itu berkenaan dengan interaksi manusia. “Muamalat” berasal daripada perkataan “amal” yang dalam bahasa kita pun merujuk kepada pekerjaan.

Sesetengah ulama membahagikan muamalat kepada tijarah (perniagaan), munakahat (hukum kekeluargaan) dan jinayat (hukum jenayah).

Di mana datang pembahagian ini? Sudah tentu bukan daripada Al-Quran yang tidak mengandungi istilah ini. Al-Quran hanya ada perkataan “ibadat”.

Apakah maksud ibadat menurut Al-Quran? Istilah itu berasal daripada kata akar “ayn ba dal” yang bererti menyembah atau berkhidmat. Dalam Al-Quran, ia adalah satu konsep yang total. Tiada pembahagian dalam mengerjakan ritual dan hidup di luar ruang ibadat.

Semua pekerjaan kita, jika dipimpin niat yang betul dan juga selari dengan gaya hidup yang ditentukan Tuhan, adalah ibadah kepadaNya.

Berbalik kita kepada soal surau di Pulau Pinang. Ia telah membuka pintunya kepada mangsa banjir. Mereka memerlukan tempat berteduh. Tidak jauh tersasar jika kita mengatakan bahawa surau ini telah menyelamatkan nyawa mereka ini.

Tindakan menyelamatkan nyawa sesorang itu adalah sangat terpuji dalam Al-Quran. Termaktub dalam Surah Al-Maidah, ayat 32, yang sesiapa yang menyelamatkan walaupun satu nyawa, mereka telah menyelamatkan nyawa manusia sejagat.

Sepatutnya, orang Islam berlumba-lumba menolong mangsa apa-apa bala bencana. Mereka sepatutnya mengejar peluang untuk menyelamatkan nyawa orang.

Bagaimana pula dengan kejian terhadap orang bukan Islam yang kononnya tidak bersih dan sebagainya? Ini juga berpunca daripada kejahilan.

Stereotaip mengatakan bahawa sesuatu kaum tidak membasuh diri mereka dengan air tapi hanya mengelap setelah membuang air besar.

Sepatutnya, agamawan mengajar anak murid mereka supaya jangan menyelar kaum lain kerana ini ditegah Al-Quran (49:11) dan juga mengingatkan mereka bahawa dalam tradisi fekah pun, ada peruntukan untuk menyucikan diri dengan batu dan kayu (iaitu berinstinjak).

Masalahnya, kerana kita tidak hidup di padang pasir, maka terlalu senang untuk kita mendapatkan air jadi kita “terlupa” keperluan ini. Kita patut lebih sensitif.

Sebenarnya, Al-Quran menegaskan inilah fungsi masjid. Kali pertama Allah berfirman tentang masjid yang mengamalkan “ad-din” yang khususnya kepada Allah (“masajid wad’uhu mukhliseen lahu ad-deen” dalam ayat 7:29), ia adalah berkaitan dengan menegakkan keadilan (al-qist).

Masjid mempunyai fungsi sosial yang ketara. Ayat ini tidak menyuruh kita menghadkan perkhidmatan ini kepada orang Islam sahaja.

Sebenarnya, ayat ini ditujukan kepada Bani Adam (bermula dari 7:27) iaitu segenap lapisan manusia.

Masjid merupakan institusi sosial dan tindakan surau di Pulau Pinang adalah sangat bertepatan dengan tuntutan Allah.

Banyak masjid besar dan sederhana sebenarnya mempunyai perkhidmatan di luar lingkungan ibadat seperti kedai, pusat IT, tadika Islam, restoran dan sebagainya. Masalahnya ialah mereka hanya beroperasi dengan paradigma perkhidmatan “Islam” sahaja. Mereka tidak berfikir secara global.

Inilah sebabnya apabila orang bukan Islam memasuki ruang kita, kita jadi tergedik.

 


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments