Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Ini calon Tokoh Maal Hijrah akan datang

 | November 9, 2017

Mereka berdua menyuburkan kebenaran dan keindahan Islam ketika kebanjiran keganasan dan apartheid di kalangan umat Islam.

KOMEN
zakaria-malik-sapno-tukijo-tokoh-maal-hijrah

Pengarah dan bilal di Surau Taman Free School di George Town, Zakaria Malik dan Sapno Tukijo.

Kita harus mengucapkan tahniah yang muluk-muluk kepada pengarah dan bilal di Surau Taman Free School di George Town, Zakaria Malik dan Sapno Tukijo.

Secara peribadi, saya ingin mencadangkan mereka berdua diberi penghormatan setinggi Tokoh Maal Hijrah pada giliran mendatang. Ini memandangkan kedua-duanya berpegang kepada satu ajaran Islam yang tulen, yang bersumber Nabi Muhammad (s.a.w.).

Ketika bencana banjir yang gawat di Pulau Pinang baru-baru ini, Zakaria menegaskan pihak pengurusan surau tidak akan mengusir sesiapa termasuk anjing kerana semua adalah makhluk ciptaan Tuhan.

Beliau terpaksa mempertahankan tindakan Sapno Tukijo, bilal surau tersebut yang menyelamatkan dan memberi perlindungan kepada sekumpulan bukan Islam di saat banjir menggenting di malam yang pekat. Apa yang mereka berdua lakukan adalah melayan manusia tanpa perlu menyelidik warna kulit atau kepercayaan secara setara.

Islam dan kemanusiaan

Islam yang hadir di bawah asuhan Rasulullah sangat mengutamakan kehormatan dan kemuliaan untuk manusia. Ini, misalnya, dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran pada Surah Al-Israa’, ayat 70 yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan”.

Sama ada Zamihan Mat Zin suka atau tidak, manusia kekal memiliki kemuliaan yang setara dalam apa juga keadaan dan ini termasuklah buat mereka yang bukan Islam.

Ini kerana Al-Quran di dalam ayat di atas merujuk kepada seluruh “Bani Adam”. Kemuliaan untuk semua anak Adam yang dimaksudkan di dalam firman Allah mengatasi apa juga perbezaan termasuklah agama kepercayaan, bangsa, jantina dan juga kewarganegaraan.

Kehormatan manusia ini juga merupakan satu tanda penting yang menunjukkan darjat atau kedudukan menjadi sesuatu yang kedua dalam senarai.

Selain Al-Quran, anjuran hadis Nabi terlalu banyak untuk dihadirkan bagi menyokong tindakan Zakaria dan Sapno.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bernombor 1987, Rasulullah menganjurkan supaya pengikutnya menyayangi manusia lainnya:

“Bundar menceritakan kepada kami, Yahya bin Said menceritakan kepada kami, dari Ismail bin Abi Khalid, Qais bin Abi Hazim menceritakan kepada kami, Jarir bin Abdillah berkata: Rasulullah saw bersabda: ‘Barang siapa tidak menyayangi manusia maka dia tidak dikasih sayangi oleh Allah’.”

Sama ada pengikut Zamihan senang atau tidak, tindakan pengurusan surau Taman Free School juga terpakai dan terpuji di dalam dunia dengan sistem yang sekular.

Apa kata hak asasi moden

Di dalam hak asasi manusia moden, maruah dan kehormatan adalah satu status yang mesti dihargai.

Christopher McCrudden, profesor undang-undang di Universiti Oxford dalam tulisannya “Human Dignity and Judicial Interpretation of Human Rights”, menyatakan ketika era Rom, maruah dan kehormatan sering dikaitkan dengan jawatan tertentu dan ini merupakan satu “dignitas”.

Akan tetapi, McCrudden menambah, maruah adalah satu nilai dalaman yang dimiliki oleh semua manusia dan dihargai oleh sesebuah entiti negara sebagai satu kepunyaan individu.

Oleh kerana itu setiap manusia berhak mendapat layanan yang bernilai dan setara dan ini memberi implikasi bahawa negara atau kerajaan mesti memenuhi hak dari segi kehormatan ini.

Jelas, gagasan maruah dan kemuliaan dalam hak asasi manusia moden yang disebutkan McCrudden ini tidaklah bertentangan dengan ajaran Islam.

Maksud ‘wasatan’

Saranan saya agar mereka diberi anugerah Tokoh Maal Hijrah ini tidaklah keterlaluan. Ini kerana Zakaria dan Sapno telah melakukan satu penonjolan dari kesederhanaan Islam.

Perbuatan mereka itu adalah kebalikan daripada herdikan Zamihan. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi bernombor 4039, di mana Rasulullah menjelaskan “wasatan” sebagai adil:

“Ahmad bin Manie menceritakan kepada kami, Abu Muawiyah memberitahukan kepada kami, Al A’masy memberitahukan kepada kami dari Abu Shaleh dari Abu Sa’id dari Nabi s.a.w. di dalam firman Allah: ‘(Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan)’; Nabi bersabda: ‘Adlan (erti lafadz wasatan), iaitu adil’.”

Hadis ini merupakan penjelasan kepada kata ‘wasatan’ yang muncul dalam ayat 143, Surah al-Baqarah: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”

Majid Khadduri, Profesor Emeritus di School of Advanced International Studies, Universiti John Hopkins, menyatakan keadilan dalam Islam adalah kombinasi nilai moral, sosial yang mengacu kepada maksud kesaksamaan, keseimbangan, kesederhanaan atau pertengahan dan ketelusan.

Umat Islam, menurut Khadduri dalam karangannya “The Islamic Conception of Justice”, adalah dituntut untuk bersederhana dan telus selain menjauhi ekstremisme. Tuntutan ini jatuh pada setiap penganut Islam secara individu dan secara kolektif.

Berani berbeza demi keadilan

Kejumudan yang dipelopori Zamihan, seorang pegawai di bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam, mestilah dihindari. Ia tidak Islamik. Ia tidak menampakkan Islam itu maju.

Harus dinyatakan di sini, sisi pandang Khadduri ini penting ditimbulkan di sini memandangkan sebelum berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1947, beliau bertugas bersama kerajaan Iraq, sebagai antara lain, salah seorang anggota delegasi Iraq yang menyertai San Francisco Conference, yang mana pasukan bertanggungjawab menyediakan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bertitik tolak dari hujah di atas, keadilan dan kesederhanaan adalah bahagian dari gagasan hak asasi manusia. Ia merupakan sesuatu yang signifikan dan teras kepada ajaran Islam.

Dalam musim yang penuh keganasan, di mana seruan “Allahu Akbar” diwajarkan untuk melakukan pembunuhan, dalam musim penceramah di masjid dan surau menganjurkan apartheid dan diskriminasi terhadap bukan Islam, pilihan yang ada di tangan Zakaria dan Sapno, pengurusan Surau Taman Free School adalah luar biasa.

Mereka berani berbeza. Mereka melakukan sesuatu yang dicapai oleh Rasulullah ketika hijrahnya ke Madinah.

Inilah model “wasatan” atau tindakan adil. Inilah model individu atau warganegara yang unggul dalam kerangka sekular.

Pengiktirafan terhadap pilihan yang mereka lakukan akan menyuburkan kebenaran dan keindahan Islam.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments