Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

DAP dan realiti politik

 | November 14, 2017

Realiti politik di Malaysia memerlukan Melayu memegang kuasa politik, tetapi ia juga memerlukan penyertaan orang Cina.

KOMEN

parti-dap-delegateAhad lalu, DAP mengadakan kongres khas yang menurut Setiausaha Agung, Lim Guan Eng adalah perlu kerana parti itu diancam pembatalan pendaftarannya. Parti itu menurut saja arahan Pendaftar Pertubuhan walaupun jelas mereka menganggap kongres itu tidak perlu.

Tetapi sepanjang minggu lalu, ketika mereka bersedia mengadakan kongres yang berlangsung di Shah Alam itu, DAP menghadapi satu dugaan besar apabila negeri pimpinannya, Pulau Pinang dilanda banjir. Maka aktivis mereka bersama parti Pakatan Harapan (PH) lain terpaksa sibuk menangani bencana itu. Apa saja bencana akan menjadi ukuran politik pada mana-mana juga parti.

Tetapi di hujung minggu lalu, DAP mendapat markah politik apabila seorang bekas diplomat yang pernah menjadi calon PAS dalam pilihan raya umum telah menyertai parti itu.

Beliau menyertai beberapa tokoh Melayu ternama yang telah memilih DAP sebagai wadah perjuangannya.

Dalam kongres khas itu, slogan yang terpampang pada latar sidang itu ialah “Berjuang Untuk Rakyat Malaysia”. Suatu slogan ringkas dengan penekanannya ialah terhadap Rakyat Malaysia, bukan untuk kaum Cina, tetapi untuk rakyat Malaysia.

Kongres itu menyaksikan 20 orang ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang terdiri daripada 16 dari kaum Cina, 3 India dan seorang Melayu. Walaupun DAP parti yang terbuka untuk semua kaum dengan fahaman politiknya sosialisme demokrasi, tetapi ia dianggap sebagai parti yang mewakili orang bukan Melayu, khususnya Cina.

Realiti politik Malaysia dengan sistem demokrasi terbuka, kepimpinan negara ini akan pastinya dipegang oleh parti kaum majoriti iaitu Melayu. Maknanya parti majoriti kaum Cina tidak akan berpeluang untuk memegang tampuk pemerintahan negara.

DAP, MCA dan Gerakan tidak akan dapat memimpin negara. Setinggi mana yang boleh mereka capai ialah menjadi parti kedua utama dalam kepimpinan negara. Itulah yang dinikmati oleh MCA selama ini.

Maka parti yang berpeluang memegang kepimpinan negara iaitu dari kalangan orang Melayu. Mereka adalah Umno, PAS, PKR, PPBM dan Amanah.

Tetapi satu lagi realiti politik di Malaysia ialah tidak ada parti Melayu yang dapat memerintah tanpa bekerjasama dengan parti Cina. Walaupun orang Cina bukan majoriti tetapi mereka adalah minoriti besar.

Perlu Cina

Katakan menurut kawasan pilihan raya, orang Melayu boleh memerintah sekalipun, dalam realiti nasional, orang Cina mesti diajak dalam pemerintahan negara. Ini belum dikira juga faktor kaum India, Sarawak dan Sabah.

Maka wakil Cina dalam Barisan Nasional (BN) ialah MCA dan Gerakan. Walaupun kedua-dua parti itu kurang mendapat sokongan Cina berbanding DAP tetapi mereka tetap diperlukan dalam kerajaan BN.

Begitu juga dalam PH. DAP menjadi wakil kaum Cina. Parti itu menjadi salah satu tonggak PH. Seperti mana MCA dan Gerakan menjadi tonggak dalam BN. Tetapi oleh kerana ada 2 parti Cina, salah satu boleh jadi tidak diperlukan. Salah satu sudah cukup untuk mewakili kaum Cina. Tetapi dalam PH, hanya ada satu parti kaum Cina iaitu DAP.

Sebab itu bila PAS cuba menyingkirkan DAP dalam Pakatan Rakyat, tindakan itu tidak dapat diterima oleh PKR. Sebuah kerjasama parti di Malaysia perlukan sekurang-kurangnya sebuah parti kaum Cina.

Namun walaupun begitu kuat kedudukan DAP tetapi ia tetap tidak dapat menerajui pakatan itu. Teraju PH mesti dipegang oleh parti orang Melayu, sama ada PKR, Amanah atau PPBM. Buat masa ini PKR yang mepunyai pemimpin utama dapat sokongan dari parti lain dalam pakatan itu memegang terajunya. Walaupun DAP memegang lebih banyak kerusi daripada PKR.

Tetapi kelihatannya terdapat lebih daripada satu parti yang mewakili orang Melayu dalam PH. Buat masa ini ketiga-tiga itu boleh bekerjasama bagi mencapai matlamat bersama. Tetapi hanya sebuah yang boleh menjadi ketua. Walaupun buat masa ini ia adalah PKR tetapi Amanah dan PPBM pun ada peluang.

Parti konservatif agama

Satu lagi realiti Malaysia ialah rakyat negara ini, majoritinya, sama ada orang Islam atau bukan Islam tidak boleh menerima parti agama konservatif untuk menerajui negara. Inilah pengalaman yang dilalui oleh PAS. Ia dicurigai bukan saja oleh orang bukan Islam tetapi juga sebahagian besar orang Islam.

Mereka bimbang PAS akan melaksanakan dasar-dasar ekstrem. Sementara yang lain pula bimbang dengan keupayaan pemimpin PAS mentadbir negara moden. Apa yang PAS lakukan di Kelantan, Terengganu dan Kedah bukan rekod yang baik.

Mereka boleh menerima PAS sebagai parti kedua dalam pakatan. Seperti mana yang berlaku dalam BN, Angkatan Perpaduan Ummah dan Pakatan Rakyat. Tetapi untuk menjadi peneraju, banyak pihak sama ada bukan Islam atau orang Islam sendiri berasa sangsi.

Keadaan inilah yang menimbulkan kekecewaan kepada sebahagian daripada pucuk pimpinan PAS selepas 2008. Mereka percaya Islam mesti memimpin. Mereka menampilkan diri sebagai parti yang mewakili Islam, bukan sekadar mewakili orang Melayu. Mereka lebih tua daripada PKR dan DAP. Mereka mempunyai ahli dan cawangan paling banyak. Aktivis mereka paling gigih berkempen. Tetapi dalam Pakatan Rakyat mereka tidak dapat jadi teraju. Kalah pada PKR. Dengan DAP pun mereka tidak dapat bersemuka.

Akhirnya bukan saja Pakatan Rakyat berpecah tetapi juga PAS sendiri menjadi kecil dengan sebahagiannya menubuhkan Amanah.

Isunya terletak pada fahaman politik Islam konservatif, iaitu political Islam. Iaitu mereka mahu melaksanakan agama Islam melalui politik dengan tafsiran yang boleh menjadi eksklusif dan ekstrem serta tidak menepati keadaan zaman dan tempat.

Isu politik Islam konservatif ini dibahaskan di kalangan cendekiawan Islam sejak dunia masuk zaman moden. Kini ia terus dibincangkan dan rumusannya adalah pelbagai.

Amanah yang ditubuhkan oleh bekas ahli PAS bukan saja tidak mempunyai nama Islam pada parti itu tetapi membuka keahliannya kepada orang bukan Islam. Ia tetap dipandang sebagai parti yang mewakili orang Islam dan Melayu.

Tetapi yang jelas mereka sudah tidak mahu mengikut fahaman yang dibawa oleh PAS. Selama ini ketika dalam PAS, mereka cuba membawa fahaman berbeza tetapi akhirnya ditolak oleh majoriti ahli parti itu.

Buat masa ini Amanah dan DAP boleh menerima di antara satu sama lain dalam PH. Begitu juga dengan kedudukannya yang rendah dalam pakatan berbanding dengan PKR dan PPBM. Tetapi pada masa akan datang keadaan mungkin berubah, bergantung pada prestasi dalam pilihan raya.

Bagi bekas diplomat yang pernah menjadi calon PAS yang menyertai DAP, Datuk Yeop Adlan Che Rose, Amanah tidak cukup baginya. Sebelum ini ada juga tokoh PAS yang kelihatan hampir pada Amanah tetapi akhirnya menyertai PKR.

Begitu juga dengan adanya bekas tokoh Umno dan PKR yang memilih DAP dan bukannya Amanah. Malah ada seorang aktivis PAS yang setelah menyertai Amanah akhirnya memilih DAP.

Dalam DAP terdapat juga pelbagai ragam ahli. Ada antaranya tidak senang dengan kemasukan orang Melayu ke dalam DAP. Mereka mahu DAP kekal menjadi parti mewakili Cina.

Orang Melayu yang sedikit dalam DAP tidak mendatangkan kesan tetapi kalau banyak, ia boleh mengubah sosok parti itu.

Ada sebahagian orang menyokong DAP, baik orang Cina atau Melayu adalah kerana fahaman politiknya, sosialisme demokrasi, liberalisme dan meritokrasi.

Tetapi dalam realiti politik Malaysia masa ini, kepentingan kaum masih menjadikan perkiraan berbanding ideologi.

Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments