Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Agamawan tanpa KBAT

 | November 15, 2017

Pihak berkuasa agama tak berminat menjana umat yang mempunyai KBAT, tetapi lebih berminat untuk menjaga status quo.

KOMEN

skuad-badarTak guna meroyan jika kita sendiri menjadi penyebab masalah.

Minggu lepas, kita tergamam sebentar apabila seorang ibu atau bapa menulis surat kepada akhbar meminta belas kasihan kepada pelajar yang tidak faham soalan kertas SPM Bahasa Inggeris.

Soalannya berbunyi begini: “If you had the opportunity to move to another part of Malaysia, where would you choose to live?” (Jika anda berpeluang berpindah ke bahagian lain dalam Malaysia, di mana pilihan anda?)

Soalannya tidak nampak sukar sangat pun. Saya sendiri pernah menjawab soalan begini pada zaman persekolahan lebih 20 tahun dulu. Namun begitu, penulis surat ini mendakwa yang ramai pelajar keliru dan menjawab memberi tempat seperti Jepun, Mekah, Madinah dan sebagainya.

Penulis ini meminta yang markah penalti untuk pelajar yang berbuat demikian diringankan.

Banyak netizen melenting. Menurut mereka, sasaran kerajaan ialah untuk menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) tetapi jika soalan sebegini pun boleh menyebabkan murid tersungkur, apa lagi soalan yang benar-benar mencabar minda?

Adakah kerajaan hanya akan menurunkan tahap pencapaian sehingga ia nampak seakan-akan murid mendapat markah tinggi sedangkan mereka sebenarnya lebih menurun daripada dulu?

Pada saya, masalah KBAT ada punca yang mungkin tidak begitu jelas tetapi perlu difikirkan.

Agamawan yang terlepas KBAT

Inilah yang digambarkan dengan konsep “interconnectedness”. Masalah ini ialah kegagalan kerajaan untun menangani masalah golongan agamawan dan orang-orang seangkatan dengan mereka.

Kisah terbaru ialah video memaparkan beberapa orang pemuda yang membuat serbuan ke sebuah kafe siber di Taman Keladi, Sungai Petani Kedah. Pemuda-pemuda ini masuk dengan tidak meminta izin dan menuntut supaya pengunjung beragama Islam dalam kafe tersebut mengikut mereka ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Siapakah pemuda-pemuda ini? Menurut video itu, mereka adalah “Skuad Badar”. Mereka mempunyai satu rangkaian di YouTube diketuai seorang yang bernama Azhar Omar. Mereka ini bertindak seolah-olah diberi kuasa untuk menangkap orang yang membuat “mungkar” menurut mereka.

Namun, kita patut bertanya, adakah mereka akan menjana kesan yang sebaiknya dengan tindakan menyerbu kafe tersebut. Budak-budak yang telah mereka tangkap itu akan malu di hadapan khalayak ramai. Kawan mereka mungkin akan memperli mereka kerana menerima nasib sebegitu dan menyebabkan trauma psikologi kepada mereka.

Justeru itu, mereka akan mengaitkan agama dengan perangai suka memaksa orang dan ini akan menyebabkan percanggahan kognitif (cognitive dissonance) iaitu satu kontradiksi dalam minda tentang apa yang diberitahu dengan apa yang dialami dalam realiti. Maka, tidak hairanlah jika mereka membelakangkan agama terus apabila mencapai dewasa kelak.

Semuanya disebabkan oleh skuad agamawan yang tiada otoriti.

Jika kerajaan mempromosikan KBAT, Skuad Badar pula mendemonstrasikan KBAS – Kemampuan Berfikir Aras Sifar. Mereka yang berkelakukan samseng sepatutnya menggunakan daya pemikiran mereka untuk membawa jalan penyelasaian yang dapat menarik minat anak-anak muda kepada aktiviti beragama.

Umpamanya, mengadakan kafe siber di masjid atau memberi galakan di masjid supaya murid-murid boleh mengasah bakat kepada kebolehan tertentu dan mempunyai kaitan langsung dengan hal duniawi.

Imam dan bilal yang dibayar gaji patut mempunyai kebolehan asas supaya mereka boleh mengajar kelas begini. Jika masjid menjadi pusat aktiviti manusia seperti mana yang dijelaskan dalam Al-Quran, anak muda akan sendiri tertarik dan akan mengasah KBAT.

Malangnya, kita mempunyai golongan seperti Skuad Badar yang mengharapkan taktik kasar untuk mendorong anak-anak muda mencintai agama. Islam dilihat sebagai berlawanan dengan penggunaan akal.

Islam dan akal

Sebenarnya, Islam tidak boleh direalisasikan tanpa menggunakan akal. Al-Quran sendiri menyebut yang orang-orang yang tidak menggunakan akal itu sama dengan seburuk-buruk haiwan (Surah Al-Anfal, ayat 22).

Jika begitu, mengapa orang-orang yang berfikir lain daripada pandangan “rasmi” dikatakan sebagai sesat dan akan dibenteras? Mengapa pula orang yang dalam lingkungan pandangan rasmi boleh terlepas begitu sahaja?

Ini adalah kerana badan beragama bukan berminat untuk menjana umat yang mempunyai KBAT tetapi lebih berminat untuk menjaga status quo mereka sahaja.

Dalam tradisi mana-mana agama pun, ada banyak isu yang membolehkan kita menguatkan KBAT kita. Umpamanya dalam bidang metafizika, menggunakan logik untuk memahami konsep ketuhanan.

Sebenarnya umat Islam zaman pertengahan amat kuat dalam perbincangan ini. Juga dalam isu sistem sosio-politik, tradisi Islam mempunyai pemikir seperti Al-Farabi yang telah mengolah bagaimana mewujudkan sistem yang ideal.

Begitu juga dalam isu etika, tokoh seperti Ibn Majah dan Ibn Tufayl. Mereka ini mempunyai KBAT yang sukar dicabar oleh pemikir sepanjang zaman. Jika sistem pendidikan kita diuruskan oleh pemikir sebegini, kita tidak akan mempunyai krisis KBAT langsung.

“Sambil menyelam, sambil minum air”. Jika kerajaan benar-benar mahukan rakyat mempunyai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, maka mereka perlu menolong melepaskan belenggu yang merantai sebahagian besar rakyat Malaysia.

Belenggu itu bukan agama, tetapi agamawan dan kuncu mereka seperti Skuad Badar.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments